Top posts

Featured Posts

Selepas 24 Tahun Pemerintahan Gagal UMNO, Rakyat Sabah Mesti Tolak Parti Ini Selama-lamanya

Borneo Herald
11.00AM MYT, 19-10-2025


Oleh Jayson Lisandu
KOTA KINABALU : Change Advocate Movement Sabah (CAMOS) hari ini menyatakan bahawa cubaan terbaru UMNO untuk menggambarkan dirinya sebagai parti “Sabahan” hanyalah sandiwara politik semata-mata bagi memperdayakan pengundi menjelang pilihan raya negeri pada 29 November ini.

Jurucakap CAMOS, Calextus Edwin, berkata kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Zahid Hamidi — bahawa “insya-Allah BN bersedia membentuk kerajaan bersama parti-parti lain atas dasar perkongsian kuasa” (Malay Mail, 18 Oktober 2025) — sebenarnya mendedahkan niat sebenar UMNO: untuk menapak semula di Sabah melalui perjanjian politik, bukan melalui kepercayaan rakyat.

“Selepas 24 tahun pemerintahan panjang UMNO dari 1994 hingga 2018, rakyat Sabah tahu apa maksud sebenar ‘perkongsian kuasa’ — ia bukan kerjasama, tetapi penaklukan Persekutuan yang diselindungi dengan slogan perpaduan.

"Segala dasar, kontrak dan keputusan penting akhirnya tunduk kepada Kuala Lumpur. Hasilnya, Sabah semakin miskin, terbahagi dan bergantung,” kata Calextus yang juga Ketua Penyelaras CAMOS Kimanis dalam satu kenyataan di sini.

Sepanjang tempoh itu, UMNO secara sistematik melemahkan institusi-institusi Sabah, mengurangkan autonomi negeri, dan membiarkan kemiskinan serta rasuah berleluasa, sementara berbilion ringgit hasil minyak, balak dan cukai disedut keluar dari Sabah.

Lebih parah lagi, di bawah pemerintahan UMNO, pendatang tanpa izin diberi kad pengenalan dan kemudiannya didaftarkan sebagai pengundi, sehingga mengubah komposisi demografi dan landskap politik Sabah untuk selama-lamanya.

“Ini bukan sekadar kegagalan pentadbiran — ia adalah tindakan yang disengajakan untuk merampas hak demokratik dan kedaulatan rakyat Sabah,” tegasnya lagi.

Jika benar UMNO peduli tentang Sabah, katanya lagi, mereka sudah lama memulangkan hak 40% hasil bersih negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan — bukannya mempertahankan penggantungannya yang tidak sah, kata lagi.

Menurut Calextus, mereka juga sepatutnya mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan, bukannya menghapuskan sistem tersebut, serta memberdayakan rakyat Sabah, bukannya menggantikan mereka dengan kepentingan luar.

Beliau turut menempelak dakwaan Zahid bahawa UMNO kini mempunyai autonomi di Sabah sebagai janji kosong lama yang diulang dengan kata-kata baharu.

“UMNO tidak boleh membersihkan dosa politiknya hanya dengan mengaku diri sebagai parti ‘Sabahan’. Parti ini sejak awal hingga kini tetap menjadi simbol penguasaan politik Malaya terhadap Sabah. 

"Rekod kegagalannya terukir dalam sejarah pengkhianatan — daripada penindasan ekonomi hinggalah kepada manipulasi demografi,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah — khususnya generasi muda — agar menolak UMNO dan Barisan Nasional sekali dan untuk selamanya.

“Masa depan Sabah tidak boleh lagi ditentukan dari Malaya. Kita telah belajar daripada sejarah, dan kita tidak akan diperbodohkan lagi. Pilihan raya kali ini, Sabah mesti memilih maruah, autonomi, dan masa depan yang diterajui oleh anak-anak Sabah sendiri," katanya.

Calextus Edwin ialah Ketua Penyelaras Kawasan Kimanis bagi NGO Change Advocate Movement Sabah (CAMOS)#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment

Search This Blog