Borneo Herald
6.13PM MYT, 28-10-2025
KOTA KINABALU : Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS) hari ini mengecam kenyataan seorang pemimpin GRS, Datuk Mazlan Joehari Manan, yang menasihatkan rakyat Sabah supaya tidak menukar kerajaan setiap penggal, sambil menyifatkannya sebagai cubaan terdesak untuk menutup kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penyelaras CAMOS Pensiangan, Donniuslee Dondong, berkata naratif Mazlan itu bukan sahaja bersifat hipokrit, tetapi juga menghina kebijaksanaan rakyat Sabah.
“Ketidakstabilan politik di Sabah bukan berpunca daripada rakyat yang menggunakan hak demokrasi mereka — ia berpunca daripada ahli politik seperti mereka dalam GRS yang mengkhianati mandat rakyat. Kerajaan 2020 bukan dijatuhkan oleh pengundi, tetapi oleh pengkhianatan dan perjanjian belakang pintu,” katanya.
Menurutnya Mazlan dan rakan-rakannya dalam GRS tidak mempunyai kedudukan moral untuk memberi kuliah kepada rakyat Sabah tentang kestabilan setelah mereka sendiri menumbangkan kerajaan yang dipilih secara sahan kini berpegang kepada kuasa atas nama “perpaduan Sabah".
“Kita perlu jelas — apa yang Mazlan panggil sebagai ‘kestabilan’ sebenarnya adalah kemandekan. Ia bermaksud mengekalkan pemimpin tidak produktif, mengitar semula janji lama, dan menutup mulut pengkritik atas nama perpaduan,” kata Donniuslee.
Menurutnya lagi, selepas empat tahun pemerintahan GRS, Sabah masih kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia, dengan infrastruktur yang runtuh, sekolah usang, dan anak muda terus berhijrah mencari pekerjaan di luar negeri.
"Jika ini yang mereka maksudkan dengan kestabilan, maka Sabah sudah cukup menderita. Rakyat tidak mahu kerajaan yang stabil hanya untuk menjaga kroni dan kontraktor,” katanya.
Berhubung dakwaan Mazlan bahawa GRS komited terhadap MA63 dan hak Sabah, Donniuslee berkata satu-satunya perkara yang konsisten dilakukan oleh GRS ialah tunduk kepada arahan Putrajaya sambil menyembunyikan butiran sebenar rundingan hak 40 peratus hasil negeri.
“GRS bercakap tentang maruah, tetapi menandatangani perjanjian rahsia. Mereka kononnya mempertahankan MA63, tetapi enggan dedahkan apa sebenarnya yang Sabah terima.
"Malah, kes mahkamah yang dibawa oleh Sabah Law Society (SLS) berjaya memaksa kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan maklumat — bukan GRS,” tambah kenyataan itu.
Menurut Donniuslee lagi, amaran bahawa seruan “perpaduan tempatan” sambil menuduh Warisan menunjukkan ketakutan sebenar dalam kem GRS.
“Mereka tahu sokongan rakyat sudah berubah. Rakyat kini semakin sedar. Sabahans tidak lagi percaya bahawa perpaduan bermaksud menyerah, dan kestabilan bermaksud tunduk,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan bahawa hak untuk menukar kerajaan adalah intipati demokrasi — dan mana-mana pemimpin yang takut dengan perubahan, sebenarnya takut kepada pertanggungjawaban.
“Sabah tidak perlukan kerajaan yang stabil dalam diam dan rasuah. Kita perlukan kerajaan yang berani, bersih, dan bertanggungjawab kepada rakyat.
"GRS mahu kekal berkuasa bukan untuk berkhidmat, tetapi untuk terus hidup. Itu bukan kestabilan — itu kediktatoran berselindung,” tambahnya lagi.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment