Top posts

Featured Posts

Kiulu amat memerlukan sebuah lagi sekolah menengah, kata pemimpin Warisan


Saibin Gunsari sedang mengemukakan usul pada mesyuarat tahunan Warisan bahagian Tuaran hari ini.

Oleh Saibin Gunsari, 1-10-2025
SEBUAH lagi sekolah menengah yang ada asrama perlu dibina segera di kawasan Kiulu memandangkan satu-satunya Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens yang ada sekarang tidak berupaya lagi menampung keperluan pelajar Kiulu.

Bayangkan sepanjang kawasan perjalanan dari Pekan Kiulu hingga ke Bundu Tuhan, Ranau iaitu kira-kira 50 kilometer, tidak ada satupun sekolah menengah lain ada di situ.

Sekolah menengah di Pekan Nabalu juga telah terbengkalai sudah lebih 10 tahun kerana tapak tanah yang tidak selamat. Ini sangat membazir dan merugikan.

Sekolah Menengah Tamparuli yang berdekatan Kiulu juga tidak dapat menampung keperluan pelajar sekitar Kiulu.

Mujur ada Sekolah Menengah Advent Sabah di Tamparuli berdekatan dengan Kiulu tapi sekolah swasta ini pun mempunyai tempat yang amat terhad.

Tempat yang terhad di asrama di sekolah-sekolah berdekatan memang tidak pernah mencukupi dan ini amat mengecewakan rakyat Kiulu. Sepatutnya ini menjadi keutamaan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan namun mereka telah gagal.

Dasar pendidikan wajib seperti dalam Akta Pendidikan 1996 (pindaan 2002) yang mewajibkan anak-anak kita bersekolah sehingga SPM nampaknya terkesan teruk di Kiulu oleh prestasi pimpinan kerajaan yang tidak begitu serius.

Ketidakadilan sosial in akan terus menghambat usaha ibu bapa di Kiulu untuk memberi pendidikan selesa, di mana  anak-anak yang masih kecil terpaksa bangun awal pagi seawal jam empat subuh dan balik lewat petang itupun ramai yang terganggu aktiviti luar bilik darjah sebelah petang kerana jarak perjalanan yang begitu jauh.

Ibu bapa pula menanggung kos perbelanjaan tinggi dan ada yang terpaksa menumpangkan anak di rumah saudara-mara atau menyewa tempat yang kurang selesa.

Sebagai bekas pendidik dan pengetua sekolah menengah, saya memahami kekurangan sekolah dan asrama ini turut menyumbang kepada masalah keciciran di kalangan pelajar sekolah. Ini tidak adil, dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan jika benar mereka jujur mengurus negeri.

Saya berpendapat sebuah sekolah menengah perlu dibina bagi setiap 15-20 kilometer jarak perjalanan dari kawasan para pelajar atau bagi setiap 10 buah sekolah rendah. 

Kita juga mencadangkan agar semua sekolah yang dibina perlu menambah kapasiti kemudahan- kemudahan yang sangat diperlukan seperti  tempat tinggal atau asrama.

Komuniti dan sektor swasta juga perlu membantu mengatasi isu ini dengan cara menyediakan asrama, menaja pengangkutan berjadual ke sekolah dan bantuan lain terutama kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Saibin Gunsari adalah bekas pengetua sekolah menengah dan kini Penyelaras Warisan bagi DUN Kiulu.#~Borneo Herald™


No comments:

Post a Comment

Search This Blog