Top posts

Featured Posts

Shafie Zahirkan Visi dan Misi Warisan Untuk Sabah


Borneo Herald
12.23AM MYT, 24-11-2025


KOTA KINABALU : Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal, malam ini menzahirkan visi dan misinya untuk Sabah apabila ia berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN17 29 November 2025 ini.

Misi Warisan ialah untuk "Selamatkan Sabah". Misi ini pula dipandu oleh visi Warisan untuk Sabah iaitu bebas dari kebergantungan, maju dalam pembangunan ekonomi dan sosial, serta makmur untuk semua tanpa mengira banhsa, agama atau daerah.

Shafie yang berucap kira-kira sejam setengah pada ceramah mega Warisan di sini, seperti biasa menyentuh banyak isu semasa dan sejarah Sabah, turut memberi sekilas pandang terhadap kandungan utama 'manifesto' PRN17 Warisan.

Para pegawainya mengedarkan risalah "Misi Selamatkan Sabah: Edisi Warisan" pada pertengahan ceramah Shafie yang juga seorang ahli ekonomi dan teknokrat selain seorang yang berpengalaman luas lebih 36 tahun sebagai pemimpin politik.

Borneo Herald yang menerima risalah itu mendapati Shafie telah membahagikan Sabah kepada lima zon di mana setiap zon mempunyai tumpuan ekonomi dan pembangunannya.

"Warisan akan memastikan pembangunan ekonomi dan infrastruktur tidak tertumpu kepada satu-satu daerah atau kawasan geografi, sebaliknya menjamin perhatian yang seimbang," katanya.

Pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan infrastruktur telah dirancang untuk mencapai matlamat untuk mewujudkan peluang pekerjaan baru dengan purata pendapatan RM1,800-RM5,000 sebulan.

Kerajaan beliau dijangka membuat pelaburan besar bukan saja dalam sektor infrastruktur dan ekonomi tetapi juga sektor sumber manusia, pendidikan dan kesihatan.

Antara lain projeknya ialah membina dua empangan hidro di Kinabatangan dan Segama, Lahad Datu untuk meningkatkan bekalan air dan juga menjana tenaga elektrik.

Pembinaan pelabuhan dalam di Kudat juga dirancang bukan saja kerana lebih dekat kepada China, Hong Kong dan Jepun tetapi ia akan menjana pelbagai kegiatan enonomi lain di rantau ini.

"Kenapa pula kita mengimport beras Vietnam tapi beras itu dibawa keliling begitu jauh ke Pelabuhan Kelang dan dipek oleh Bernas di sana sebelum dihantar ke Sarawak dan Sabah," katanya.

Pembinaan landasan keretapi juga turut mendapat perhatian Shafie di mana satu rangkaian landasan bakal dibina berperingkat sehingga ia dapat menghubungkan seluruh Sabah dari ibu negeri, Beaufort dan Tenom sekarang sehingga ke Kudat, Sandakan, Tawau, Keningau dan Sipitang.

"Komoditi berat lebih mudah diangkut melalui keretapi kerana tiada jem serta ia akan menyelamatkan jalanraya Sabah yang sekarang ini sering rosak kerana dilalui lori muatan tanpa had.

"Kita semua tahu kenapa jalanraya Sabah baru saja dibina diturap tapi tidak lama sudah kembali rosak dan berlubang kerana pihak JPJ tiada penguatkuasaan berhubung berat muatan yang melalui jalanraya kita," katanya lagi.

Shafie juga berjanji mengembalikan dua kementerian iaitu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah seperti ketika beliau Ketua Menteri selama dua tahun pada 2018-2020.

Beliau juga menggariskan pelbagai inisiatif yang ingin dibawa oleh kerajaan Warisan termasuklah mewujudkan ladang pertanian, penternakan, membuka kilang seperti lateks (glove dan tayar), membuat ubat generik, perabot, produk minyak makan dan petroleum, ladang sawah padi Terusan Sapi, hab makanan, universiti pertanian dan hospital.

Shafie juga menegaskan kerajaan Warisan akan berusaha menghidupkan semula SFI sebagai kilang pelbagai produk berasaskan kayu akasia sebab bekalan kayu berkenaan antara yang terbesar di rantau ini.

"Lebih 2,000 orang kakitangan SFI telah kehilangan pekerjaan malah rumah. Kita boleh dapatkan pelabur untuk revive SFI. Takkan kertas dan tisu pun kita tidak boleh buat, kita terpaksa import dari luar," katanya lagi.

Pemprosesan hiliran adalah antara yang mendapat perhatian beliau juga. 

"Rumpai laut misalnya saya diberitahu produk kita diekport ke Paris untuk diproses menjadi bahan solekan. Kita boleh usahakan dengan pelabur kenapa perlu buka kilang di Paris, kita boleh bawa pelabur buka kilang di sini," katanya.

Untuk ini, katanya, menukarkan sumber asli kepada pendapatan yang lumayan (monetising raw materials), membasmi kemiskinan, menjana kekayaan serta memacu ekonomi seluruh Sabah merupakan antara cita-citanya.








No comments:

Post a Comment

Search This Blog