Gambar lama Adun Tamparuli, Datuk Dr James Ongkili dan anaknya Dr Julia yang kini ikut langkah bapanya di DUN Tamparuli.
Borneo Herald
1.56PM MYT, 2-11-2025
TAMPARULI : "Ke mana tumpah kuah kalau bukan ke nasi?" Dr Julia Emelda Ongkili bukanlah nama yang asing di Tamparuli. Beliau yang aktif melayani masyarakat sekian lama sebagai aktivis NGO kini menawarkan diri sebagai calon Adun Tamparuli.
Anak ke-4 daripada enam adik-beradik, anak mendiang Datuk Dr James Peter Ongkili dan Datin Margaret Ongkili ini dianggap ramai antara calon pilihanraya yang paling berpotensi diangkat menjadi Adun yang mesra didekati dan sentiasa sedia mendengar.
"Saya ingin mengikuti jejak mendiang bapa saya, Datuk James Ongkili, dalam politik khususnya memberikan khidmat kepada masyarakat Tamparuli, dan meneruskan legasi beliau," katanya kepada Borneo Herald ketika ditemui baru-baru ini.
Dr Julia, 55, yang berpendidikan komunikasi perniagaan dan sains politik, juga percaya kaum wanita Sabah masih jauh ketinggalan dalam dunia politik, dan oleh sebab itulah beliau tampil ke depan.
"Dalam 10 tahun kebelakangan ini saya melibatkan diri sepenuhnya dalam kegiatan NGO. Sudah tiba masanya saya mencuba pula dalam kepimpinan politik.
"Saya rasa tidak sampai pun 30% bilangan wanita sebagai sama ada Adun mahupun Ahli Parlimen, maka sudah sampai masa kita wanita ambil bahagian memimpin Sabah," kata ibu kepada dua anak itu.
Dua anaknya, Anis Azielea, 32, yang juga sudah berumah tangga, dan Azrel Denilson, 23, hasil perkongsian dengan suami Awang Fauzeh, turut menyokong penuh hasrat ibu mereka bukan saja dalam kegiatan NGO tetapi kini politik.
Dr Julia atau lebih mesra dipanggil Lea sahaja, sebenarnya memiliki penampilan yang sangat menarik dan menyenangkan. Semua ini mungkin diwarisinya dari kedua ibu bapanya ditambah pengalaman bekerja 10 tahun sebagai Pengurus Jualan di salah sebuah hotel terkemuka.
Dr Julia juga penerbit dan sedang menyiapkan biografi bapanya, Datuk Dr James P Ongkili, yang dijadual dilancar tidak lama lagi.
Semangat cekal Lea juga diwarisi dari kedua-dua ibu bapanya yang terkenal tidak pernah putus asa dengan mudah bahkan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan.
Ibunya, Datin Margaret, walau pada usia tuanya masih cergas dan sentiasa tersenyum. Datuk Dr James pula pada kemuncak kerjayanya pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum terjun ke dunia politik, Dr James merupakan pensyarah Sejarah di Universiti Malaya. Apakah anaknya Dr Julia bakal diberi kepercayaan rakyat Tamparuli menjadi Adun Tamparuli, kita akan dapat keputusannya pada 29 November ini.
Kata-kata hikmat "tiada yang mustahil dalam politik, apapun boleh terjadi..." mungkin sejarah bakal tercipta di Tamparuli tepat sebulan dari hati ini. Tamparuli kini dijangka menjadi medan pertempuran sengit enam hingga 10 calon pilihanraya, dan pada masa ini Dr Julia mungkin satu-satunya calon wanita di situ.
Bertanding atas tiket Parti Impian Sabah (PIS) sebuah parti lokal Sabah yang masih dianggap kecil, tidak mematahkan semangat beliau. "Jika rakyat menyukai dan percaya kepada kita, mereka pasti undi kita. Ramai juga calon yang menang tidak semestinya dari parti besar, bahkan calon bebas juga ada yang menang," tegasnya.
Dr Julia yang sudah melawat berulang kali di kesemua 11 daerah mengundi Tamparuli dilihat boleh membuat kejutan lebih-lebih lagi dengan penampilan beliau yang cepat ramah terutama sekali dengan kaum wanita.
Beliau yang berpengalaman luas dalam industri pelayanan seperti hotel dan juga perniagaan dan aktiviti kebajikan dilihat amat sesuai dipilih sebagai Adun. Ini ditambah lagi dengan fakta beliau sentiasa berada dalam kawasan Tamparuli mendampingi masyarakat, tidak seperti sesetengah calon pilihanraya yang hanya dilihat kelibat bila menjelang pilihanraya.
Dr Julia juga seorang yang pemurah, sering dilihat membawa ole-ole seperti bakul makanan kepada penduduk Tamparuli meskipun di luar musim pilihanraya.
"YB yang beginilah yang kami sukai. Sekarang semakin ramai mengenali Dr Julia dan saya sendiri berdoa sokongan itu terus meningkat menjelang hari pengundian sehingga beliau menang sebagai Adun yang baru di Tamparuli," kata seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Juliana.
Dr Julia terlibat aktif sebagai pemimpin melayani masyarakat melalui tidak kurang lapan NGO atau platform. Platform itu termasuklah SABATA, 100 Wanita Inspirasi Sabah, Persatuan Ibu Tunggal Pantai Barat Sabah, Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah, Persatuan Wanita Progresif Sabah, Persatuan Orang Kerdil Sabah, Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah dan juga Alumni Australia Business College.
DUN Sabah dibubarkan pada 6 Oktober 2025 bagi membolehkan PRN ke-17 diadakan. Penamaan calon ialah pada 15 November ini manakala hari pengundian ialah pada 29 November.#
No comments:
Post a Comment