12.50PM MYT, 14-11-2025
Oleh Jayden Lisandu
KOTA KINABALU: Kurang 10 jam ke Penamaan Calon, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) yang sebelum ini beriya-iya bertanding pada PRN17 Sabah, sebaliknya membatal hasrat itu dan mengisytihar menyokong tanpa sebarang syarat GRS.
Pengerusi Perhubungan Aspirasi Sabah, Richard Jimmy, dalam satu kenyataan lewat malam ini berkata keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan semangat kenegaraan.
"Kami secara rasmi menarik diri daripada bertanding di 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu langkah strategik dan berani demi memelihara kepentingan politik rakyat Sabah," katanya.
Katanya lagi keputusan ini dibuat atas prinsip keikhlasan dan semangat perpaduan bagi memastikan undi rakyat Sabah tidak berpecah, seterusnya memperkukuh kemenangan GRS.
"Kami mengiktiraf dan menghormati peranan Datuk Joachim Gunsalam, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), yang telah menunjukkan kepimpinan yang matang dan sokongan terbuka dalam menjayakan langkah ini.
"Terima kasih atas kerjasama strategik ini yang membuktikan kesatuan politik tempatan masih boleh dicapai tanpa campur tangan luar," katanya lagi.
Menurut Richard, Aspirasi menegaskan pendirian untuk menolak semua parti luar yang cuba bertanding di kawasan yang kini pasukannya ingin lepaskan.
"Kami tidak akan membenarkan kuasa dari luar mengambil alih suara dan masa depan rakyat Sabah melalui perpecahan undi.
"Langkah ini adalah simbol penolakan terhadap sebarang bentuk dominasi politik luar," katanya lagi tanpa menyebut sama ada Presiden Aspirasi, Lina Soo, sudah diberitahu mengenai keputusan itu.
Sebaliknya Richard juga menegaskan kewujudan GRS sebagai pakatan tempatan yang tidak bergabung dengan parti Malaya adalah satu titik perubahan sejarah.
Katanya dalam 62 tahun selepas pembentukan Malaysia, inilah peluang terbaik untuk Sabah membina masa depan politik sendiri – atas nama Negara Sabah dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Saya menyeru seluruh rakyat Sabah, khususnya pengundi di 50 kawasan DUN terlibat, untuk memberi sokongan padu kepada calon-calon GRS.
"Undi anda bukan sekadar untuk sebuah parti, tetapi untuk masa depan Sabah yang bebas, berdaulat, dan bermaruah.
"Ini bukan masa untuk berpecah. Ini adalah masa untuk bersatu. Satu undi untuk GRS adalah satu undi untuk Sabah," katanya lagi.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment