Borneo Herald
6.13PM MYT, 10-11-2025
RANAU : Pengagihan minyak masak "free" yang diwar-warkan di kawasan Ranau khususnya dalam kawasan DUN Karanaan merupakan khabar baik yang dinanti-nantikan, namun rupanya bukan senang mendapatkannya.
Proses "pilih kasih" dikatakan diguna pakai bagi menapis keluarga yang boleh menerima dan tidak layak menerima pemberian tersebut, sejak produk itu muncul di sini minggu lalu.
Ramai penduduk didengar mendakwa sistem yang diguna pakai tidak telus dan bersifat pilih kasih, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.
"Ramai pengundi mendakwa terdapat pihak JPKK di beberapa kampung mengamalkan sikap berat sebelah dalam proses agihan tersebut," kata seorang yang mendakwa mengetahui hal itu kepada Borneo Herald.
Menurutnya, pada peringkat awal, mesej tular di aplikasi WhatsApp menyatakan bahawa setiap pengundi DUN Karanaan bakal menerima minyak masak 1 liter tanpa mengira fahaman politik, asalkan mereka merupakan pengundi di kawasan itu.
Namun, katanya, kemudian timbul dakwaan pengagihan tidak adil selepas ramai penduduk mendapati hanya pihak tertentu yang menerima bantuan tersebut.
Seorang penduduk di Kampung Himbaan dekat sini, yang enggan namanya didedahkan, menyuarakan rasa kecewa dan mempertikaikan tujuan sebenar pemberian minyak masak itu.
Menurutnya, pemberian 1 liter minyak masak itu dilihat seolah-olah hanya “gula-gula pilihan raya”.
“Satu liter itu cukupkah untuk lima tahun? Adakah minyak masak ini boleh menampal jalan berlubang di kampung kami?” katanya dengan nada kesal.
“Cukuplah dengan kempen murahan seperti ini,. Jangan perbodohkan kami dan menyusahkan kami. Kalau mau bagi, bagilah, kalau tidak, tidak usah panggil orang kampung.." katanya lagi.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment