Projek setengah hati? Tadahan air Kg Komburongoh, Keranaan Ranau timbulkan tanda tanya ramai penduduk, dijangka beri kesan negatif kepada calon GRS Keranaan.
Borneo Herald
9.23PM MYT, 20-11-2025
Oleh Wartawan Komuniti (tdk beredit)
RANAU : Kontraktor lemah di bawah pentadbiran GRS dilihat menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan parti itu pada pilihan raya kali ini. Kegagalan mereka mengurus projek asas dengan baik, khususnya Tadahan Air di Kg. Komburongoh,dan juga dalam kawasan Dun Karanaan Ranau, menimbulkan kemarahan penduduk setempat yang sudah lama bergelut dengan masalah bekalan air.
Projek tadahan air tersebut didakwa dilaksanakan tanpa mengambil kira cadangan atau nasihat penduduk kampung, meskipun mereka lebih memahami keadaan geografi setempat dan mengetahui tapak yang paling sesuai untuk menjamin kelancaran sistem bekalan air. Sebaliknya, kontraktor dilihat hanya mengejar keuntungan, memilih lokasi yang tidak strategik dan akhirnya menimbulkan masalah berulang.
Setiap kali hujan, tadahan air mudah tersumbat menyebabkan air keruh seakan air milo mengalir keluar dari paip rumah penduduk. Keadaan ini bukan sahaja menjengkelkan, malah membebankan kerana mereka terpaksa menunggu air kembali jernih atau mencari sumber air alternatif. Seorang penduduk yang enggan didedahkan namanya menyatakan kekecewaannya: “Kami hairan kenapa masalah ini berlarutan bertahun-tahun. Ketika pembinaan dulu… adakah ada unsur ‘kopi-kopi’ atau ‘manis-manis’? Kerja dibuat seolah-olah tidak mengikut standard."
Menurutnya lagi, beliau tidak faham mengapa wakil rakyat terdahulu tidak memainkan peranan sebagai pemantau yang tegas menasihati kontraktor proksi agar menjalankan kerja dengan telus, berkualiti dan mengutamakan kepentingan rakyat. Tindakan lepas tangan seperti itu akhirnya memakan diri, apabila rakyat sendiri menilai prestasi melalui kesan projek yang gagal memberikan manfaat.
UPPM pula tidak terlepas daripada kritikan. Sebagai pihak yang sepatutnya memantau dan memastikan setiap projek kerajaan berjalan lancar, mereka dilihat gagal untuk peka terhadap masalah yang timbul. Bukan sekadar tidak turun padang, malah didakwa lebih menumpukan kepada keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan kesusahan rakyat yang terpaksa menanggung akibat kerja kontraktor yang tidak bertanggungjawab.
Kesilapan demi kesilapan seperti inilah yang akhirnya membentuk persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan GRS. Apabila projek kecil seperti tadahan air pun tidak mampu diurus dengan baik, rakyat mula hilang keyakinan dan memilih untuk menghantar isyarat jelas melalui undi mereka.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment