Top posts

Featured Posts

Cukup Dengan Propaganda – Rakyat Tahu Kebenaran



                               Rahman Jali

Oleh Rahman Jali, 25-9-2025
GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) melalui Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, sekali lagi cuba menutup kelemahan mereka dengan menyerang Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal. Kenyataan Joniston bahawa rakyat “bijak menilai” hanyalah cubaan terdesak untuk menyembunyikan hakikat bahawa kerajaan GRS sendiri sedang menyeleweng dana negeri demi propaganda politik menjelang PRN.

Pertama, isu pokok yang dibangkitkan Shafie tidak dijawab – adakah benar atau tidak dana kerajaan negeri digunakan untuk membiayai kempen media sosial bernilai jutaan ringgit bagi menyerang Warisan? Jika benar-benar telus, GRS patut berani mendedahkan butiran perbelanjaan komunikasi strategik mereka, bukannya sekadar menuduh Shafie bermain retorik. Diam tanpa jawapan sahih hanya mengesahkan kecurigaan rakyat.

Kedua, Joniston bangga menyebut rizab dan hasil negeri, tetapi angka tidak bermakna jika rakyat masih beratur setiap hari mencari air bersih, berdepan elektrik yang kerap terganggu, harga barang naik, dan peluang kerja semakin sempit. GRS mungkin kaya di atas kertas, tetapi rakyat semakin miskin di lapangan. Apakah makna rizab berbilion jika paip rakyat kering dan anak-anak muda terpaksa berhijrah mencari rezeki di luar Sabah?

Ketiga, tuduhan bahawa pentadbiran Warisan menjadi punca masalah air adalah pembohongan separuh masak. Semua rakyat tahu bahawa kegagalan terbesar berlaku selepas GRS mengambil alih. Jika benar Warisan meninggalkan masalah tanpa pelan, mengapa selepas lima tahun GRS memerintah, krisis air semakin teruk, bukan semakin baik? Ini bukti jelas ketidakmampuan Hajiji dan pasukannya menyelesaikan isu asas yang menyeksa rakyat.

Akhir sekali, serangan peribadi berulang terhadap Shafie hanya menonjolkan ketakutan GRS. Jika benar mereka yakin dengan rekod sendiri, fokuslah kepada prestasi dan dasar, bukan kepada poster fitnah atau isu lama yang telah berkali-kali diputar semula.

Rakyat Sabah sudah muak dengan propaganda. Mereka mahu penyelesaian, bukan alasan. Warisan berdiri teguh bersama rakyat, menuntut ketelusan, akauntabiliti dan keberanian politik. GRS boleh cuba menutup langit dengan tangan, tetapi rakyat sudah celik – dan mereka tahu siapa sebenarnya gagal memimpin.

Rahman Jali ialah Ketua Penyelaras Warisan N13 Pantai Dalit Merangkap Ketua Penerangan Warisan Bhg P170 Tuaran#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment

Search This Blog