Top posts

Featured Posts

Dr Rimin Maun tinggalkan KDM sertai GAS dijadual bertanding di Tempasuk

                               Dr Rimin Maun

Oleh Jayden Lisandu, 29-9-2025
KOTA BELUD : Dr Rimin Maun, seorang pemimpin tempatan Tempasuk yang disebut-sebut antara bakal calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akhirnya meninggalkan parti itu dan menyertai sebuah parti baru, Parti Gemilang Anak Sabah (GAS).

Dr Rimin, bekas penolong pengarah Jabatan Pertanian Sabah, mengambil keputusan itu selepas KDM mengumumkan calon parti KDM di Tempasuk ialah John Samud, beberapa hari lepas.

"Keputusan untuk menghentikan sokongan terhadap parti KDM bukanlah sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa, tetapi setelah menilai secara mendalam beberapa faktor utama yang telah menjejaskan keyakinan dan komitmen kami terhadap perjuangan parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Rimin (dua dari kiri) bersama Presiden GAS, Jismit Japong (tengah) dan tiga orang kuatnya dari Tempasuk.

Menurutnya antara faktor yang mendorongnya membuat keputusan ini ialah penyertaannya dalam KDM dirasakan tidak dihargai di mana borang keahlian pasukannya tidak diproses.

"Walaupun kami telah mengisi dan menghantar borang keahlian dengan lengkap, pihak parti di peringkat bahagian tidak mengindahkan proses tersebut," dakwanya.
                        Lambang parti GAS.

Dr Rimin juga mendakwa kemasukan mereka juga dilihat sebagai penghalang kepada karier politik individu tertentu di peringkat bahagian dan peringkat DUN.

"Kami juga rasa tiada penekanan kepada merit dan integriti serta tidak mengutamakan kehendak akar umbi sebaliknya lebih cenderung kepada kepentingan peribadi.

"Kepimpinan juga bersifat eksklusif dan tidak mesra rakyat di mana hanya Ketua Bahagian atau penyelaras tertentu yang diberi keistimewaan untuk berhubung dengan pimpinan atasan," katanya lagi sambil menambah panggilan, mesej WhatsApp, mahupun voice mail daripada ahli biasa jarang sekali diambil perhatian.

Menurut Dr Rimin, para penyokongnya yang sudah menubuhkan "20 cawangan" dalam Tempasuk mahukan pemimpin yang berpaksikan suara akar umbi dan membina rangkaian semua lapisan rakyat, bukan untuk sekelompok kecil saja. 

"Pandangan, cadangan, serta keluhan masyarakat di peringkat akar umbi tidak diambil kira secara serius. Ini menjadikan perjuangan parti seolah-olah tidak berpaksikan rakyat, tetapi lebih kepada kepentingan kelompok kecil sahaja.

"Kurangnya ketelusan dan keterbukaan dalam urus tadbir parti turut mewujudkan rasa tidak puas hati dan hilangnya keyakinan terhadap semangat keterangkuman kepimpinan," tambahnya lagi.

DUN Tempasuk mempunyai lebih 16,000 orang pengundi dari tujuh daerah mengundi, yabg terdiri daripada dua etnik yang seimbang ramai iaitu Bajau dan Dusun dengan pengundi Islam membentuk majoriti.

Selain Dr Rimin dan John, seorang lagi pemimpin Dusun yang disebut-sebut bertanding di Tempasuk ialah Timuti Majitol dari Parti Impian Sabah (PIS).

Adun Tempasuk yang ada sekarang ialah Datuk Arshad Bistari yang dulu (PRN 2020) menang atas tiket UmnoBN tapi kini telah berpindah ke GRS/PGRS.#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment

Search This Blog