Oleh Jayden Lisandu, 1-9-2025
TUARAN: Datuk Kalakau Untol, bekas Ahli Parlimen Tuaran, menegaskan bahawa, “Cukuplah sudah! Rakyat Sabah sudah muak dengan permainan politik tanpa henti yang lebih mengutamakan rundingan gabungan berbanding perjuangan sebenar rakyat biasa Sabah. Hari ini, saya menyeru Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) agar membuat satu keputusan berani dan tegas untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).”
Dalam kenyataan yang dibuat di sini, Pengerusi Bahagian STAR Sulaman itu menegaskan bahawa rakyat yang sebelum ini menaruh harapan agar GRS bergerak secara solo kini amat kecewa apabila GRS menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). “Kekecewaan mendalam ini telah mencetuskan kemarahan para penyokong di media sosial,” katanya. “Sekiranya STAR terus melengah-lengahkan keluar daripada GRS, kita berdepan risiko nyata kehilangan sokongan menjelang PRU17.”
“STAR lahir daripada perjuangan untuk mempertahan maruah Sabah, hak-hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta suara rakyat biasa yang terlalu lama diketepikan oleh politik berpusat di Kuala Lumpur,” katanya. “Namun dalam GRS, identiti dan semangat STAR perlahan-lahan dibungkam dan dilemahkan oleh kompromi yang tidak mencerminkan denyut nadi rakyat.”
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak pernah menaruh harapan kepada STAR hanya untuk melihat ia menjadi aksesori dalam sebuah gabungan yang lebih mementingkan kelangsungan politik individu. “Rakyat mahukan keberanian, kebebasan, dan kepimpinan yang lantang bersuara tanpa takut atau pilih kasih,” katanya. “Jika STAR kekal dalam GRS, itu adalah pengkhianatan terhadap harapan mereka!”
Kalakau turut melahirkan rasa kecewanya terhadap pendirian para pemimpin PBS yang masih terikat dengan tuntutan kesetiaan kepada gabungan meskipun wujud konflik kepentingan yang jelas dalam bekerjasama dengan PH dan BN. “Saya mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Panglima Jahid Jahim atas penganugerahan SPDK yang amat layak diterimanya, tetapi saya tidak bersetuju dengan beliau dan pemimpin PBS lain yang terus menyeru agar kekal dalam GRS. PBS kini mengorbankan objektif asal 1985 iaitu memperjuangkan hak dan maruah Sabah, sekali gus mengkhianati impian nasionalis masyarakat peribumi Sabah.”
Kalakau, yang juga bekas Timbalan Menteri Persekutuan bagi Kementerian Buruh, menegaskan bahawa beliau tetap berpegang pada kenyataannya dalam siri podcast sebelum ini bahawa motif tersembunyi blok parti-parti Malaya, yang dimeterai melalui perjanjian PH-BN pada 27 Julai lalu, adalah untuk mendominasi dan mengawal pentadbiran negeri serta sumber ekonomi Sabah.
“Rakyat kini gelisah. Mereka mahukan pemimpin yang berani berdiri sendiri jika perlu, pemimpin yang mengutamakan Sabah terlebih dahulu, bukan tunduk kepada rundingan gabungan yang bertentangan dengan hasrat rakyat untuk bebas daripada campur tangan parti Malaya,” katanya. “Kekal dalam GRS bukan lagi pilihan sekiranya STAR mahu terus setia pada perjuangan asalnya. Keluar dari GRS bukan sekadar soal politik—ia menyentuh soal integriti, maruah, serta kesetiaan kepada mandat rakyat Sabah yang telah mempercayakan STAR untuk memperjuangkan nasib mereka. Saat STAR mengumumkan keluar dari GRS, pasti rakyat akan kembali yakin dan memberikan sokongan padu kepadanya sebagai parti berani dan berprinsip dalam sebuah perjuangan bersejarah yang sejati.”
“Sekiranya PBS mengambil keputusan meninggalkan kerjasama atau penggabungan PBSTAR, biarlah STAR mara terus ke hadapan untuk berjuang dengan bergabing dengan parti-parti tempatan lain,” tambahnya. “Inilah masa yang paling tepat untuk STAR bangkit semula, berdiri gagah dan merdeka, serta membuktikan kepada rakyat Sabah bahawa ia tidak akan sekali-kali menggadaikan harapan dan impian rakyat!”#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment