Top posts

Featured Posts

Shafie sekali lagi umum Warisan tanding semua 73 kerusi dan bergabung dengan rakyat bukan parti

Shafie ketika bercakap pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi Warisan hari ini.

Oleh Jayden Lisandu, 27-8-2025
KOTA KINABALU : Parti Warisan Sabah hari ini sekali lagi mengesahkan ia akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah pada pilihanraya negeri ke-17.

Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal, berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu di ibu pejabat parti di Kolombong Inanam dekat sini hari ini.

"Maknanya tidak ada gabungan dengan mana-mana parti. Jangan percaya tiktok sana-sini ada gambar konon ada gabungan. Tidak ada.

"Kita akan bekerjasama dengan rakyat Sabah. We are not going to have any alliance with any party," katanya sambil menambah pengalaman lalu mengajar Warisan lebih berhati-hati dengan parti yang ada kepentingan sendiri.

Menurutnya memang ada saja wakil rakyat yang tidak berlandaskan apa yang rakyat mahu, yang mereka mahu hanya kerusi dan apabila ada kerusi mereka mahu menjadi menteri dan sebagainya.

"Kalau kita bekerjasama dengan rakyat, bukan kerusi, bukan jumlah, sebab apa yang rakyat mahu ialah bekalan air, elektrik, kemudahan, jalanraya dan mengatasi kos hidup yang tinggi," katanya lagi.

Dengan pengumuman Shafie itu, PRN17 Sabah bakal menyaksikan perlawanan enam atau lebih penjuru di majoriti kawasan, sekurang-kurangnya melibatkan Warisan, GRS, BN, PN, KDM, PIS dan juga parti-parti kecil.

Selain Warisan, PIS juga telah mengumumkan bertanding 73 kerusi, GRS sekitar 50, BN mungkin 30 manakala PH di lebih 20 sementara KDM juga di lebih 30 kerusi.#~Borneo Herald™



No comments:

Post a Comment

Search This Blog