RM6.9 Bilion Hasil Sabah: Legasi Shafie Apdal, Bukan Kehebatan GRS
Oleh Mudi Dubing, 27-8-2025
KENYATAAN Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, yang mendabik dada kononnya hasil negeri Sabah mencapai RM6.9 bilion serta rizab negeri RM8.7 bilion sebagai “kejayaan luar biasa” pentadbiran Datuk Hajiji Noor, jelas sekali merupakan propaganda politik murahan yang cuba memperdaya rakyat Sabah.
Hakikat sebenar, peningkatan hasil negeri ini adalah legasi perjuangan Datuk Shafie Apdal semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah. Shafie Apdal-lah yang berunding dan memuktamadkan pelaksanaan cukai jualan petroleum (Sales Tax on Petroleum Products – STP) bersama syarikat-syarikat minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada hasil negeri hari ini. GRS sekadar menumpang hasil perjuangan orang lain.
Infrastruktur Rakyat Masih Terabai
Jika benar GRS begitu cemerlang seperti yang diwar-warkan, mengapa rakyat Sabah masih bergelumang dengan masalah asas?
1. Bekalan air yang terputus-putus, sehingga pusat membeli-belah di Kota Kinabalu pun terpaksa mengalami catuan air.
2. Jalan raya rosak teruk dan projek Pan Borneo terbengkalai tanpa perhatian serius.
3. Ancaman banjir semakin kerap akibat sistem perparitan usang dan sungai yang semakin cetek, tetapi tiada pelan tindakan jangka panjang daripada kerajaan GRS.
Apakah ini wajah sebenar “kejayaan luar biasa” yang dimaksudkan oleh Joniston?
Peruntukan RM4 Juta ADUN
Joniston turut berbangga kononnya setiap ADUN mendapat peruntukan RM4 juta setahun termasuk RM1.5 juta untuk jalan pertanian. Namun persoalan besar timbul iaitu berapa banyak peruntukan ini benar-benar sampai ke rakyat?
Begitu juga dengan pembinaan lebih 120 unit Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) — angka ini terlalu kecil dan hanya dijadikan modal politik sedangkan ribuan keluarga Sabah masih tinggal di rumah usang dan daif.
Hak 40% Masih Gagal Dituntut
Jika GRS benar-benar “berjaya” dan punya pengaruh di Putrajaya, mengapa isu 40% hasil Sabah masih gagal dituntut?
Walaupun parti-parti politik Malaya bergantung kepada sokongan GRS untuk membentuk kerajaan persekutuan, Hajiji dan kepimpinan GRS tidak berani bertegas menuntut hak Sabah, berbeza dengan keberanian GPS di Sarawak di bawah pimpinan Abang Jo yang lantang mempertahankan hak negeri mereka.
GRS lebih rela menjaga kerusi dan jawatan berbanding mempertahankan kepentingan rakyat Sabah.
Angka RM6.9 bilion hanyalah kosmetik politik. Rakyat tidak boleh makan angka dan rakyat tidak boleh minum rizab. Apa yang rakyat mahukan ialah:
1. Air bersih mengalir 24 jam
2. Jalan raya berturap hingga ke kampung
3. Hospital lengkap dengan doktor dan peralatan
4. Peluang pekerjaan untuk anak muda
5. Hak 40% hasil Sabah dikembalikan
Selagi isu-isu asas ini tidak diselesaikan, maka segala dakwaan “kejayaan luar biasa” GRS hanyalah retorik kosong. Hasil Sabah meningkat kerana legasi perjuangan Shafie Apdal, tetapi kegagalan menyalurkannya untuk kesejahteraan rakyat adalah wajah sebenar Hajiji dan GRS.
Mudi Dubing ialah Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan dan juga Ketua Bahagian Warisan Pensiangan.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment