Top posts

Featured Posts

Parti KDM pastikan ia sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN Sabah 2025 ini

Ketika Datuk Wetrom Bahanda tiba di pekarangan rumah John Samud di Kg Tempasuk 1 hari ini.

Oleh Jayson Lisandu, 12-7-2025
KOTA BELUD : Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan mempastikan ia menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah yang bakal dibentuk selepas pilihanraya negeri (PRN) yang bakal diadakan bila-bila masa sekarang.

Pemangku Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, berkata apapun jumlah kerusi DUN yang akan dimenangi KDM pada PRN17 ini, beliau akan mempastikan parti itu berada dalam kerajaan negeri dan bukan pembangkang.

"Sama ada KDM menang 15 kerusi atau lebih, saya akan pastikan kita berada di dalam kerajaan negeri supaya kita boleh membawa pembangunan," katanya ketika melancarkan jentera pilihanraya KDM bagi kawasan DUN Tempasuk di sini hari ini.

Wetrom yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dan Adun Bandau turut berkata KDM juga akan terus bersama-sama dengan kerajaan madani di peringkat persekutuan demi rakyat Sabah.

Tidak pula beliau menjelaskan dengan parti apa KDM bersedia membentuk kerajaan negeri, sekadar menyebut KDM dipastikan bergabung dengan parti atau parti-parti yang diberi mandat membentuk kerajaan negeri nanti.

Menurut amalan demokrasi, untuk membentuk kerajaan negeri Sabah, minimum 37 daripada 73 kerusi DUN dikira mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, dan kerajaan ini dibentuk dengan asas pertama ia diketuai oleh seseorang yang menurut kepercayaan Yang di-Pertua Negeri Sabah memiliki keyakinan majoriti ahli DUN, dan berhak diberi ujian majoriti mudah pada persidangan pertama DUN.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi. Yang berucap pula ialah Penyelaras KDM Tempasuk, John Samud, yang juga tuan rumah, Ketua Bahagian KDM Kota Belud, Datuk Almudin Kaida dan pengerusi penganjur, Johari Hajat yang juga Timbalan Penyelaras KDM Tempasuk.

Kira-kira 300 orang hadir pada majlis tersebut. Wetrom yang juga pengarah pilihanraya KDM Sabah, turut menerima dokumen penyertaan ke KDM dari satu kumpulan 20 cawangan di Tempasuk yang diketuai Dr Rimin Maun yang kini dilantik salah seorang timbalan penyelaras KDM DUN Tempasuk.

Ada empat kerusi DUN di bawah Parlimen Kota Belud iaitu Pintasan, Tempasuk, Usukan dan Kadamaian. Penduduk Pintasan adalah Iranun dan Dusun Tobilung, di Tempasuk pula Bajau dan Dusun Tindal, di Usukan Bajau dan sedikit Cina manakala di Kadamaian majoriti Dusun.#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment

Search This Blog