Oleh S L Lim, 27-7-2025
DATUK Masidi Manjun bercakap tentang "kelangsungan" dan "kestabilan politik" sebagai kunci pembangunan Sabah. Tetapi persoalan yang harus kita ajukan ialah: kelangsungan apa sebenarnya?
Adakah beliau meminta rakyat Sabah untuk terus menelan sebuah pemerintahan yang:
Menganugerahkan konsesi tanah hutan selama 100 tahun secara senyap-senyap tanpa tender terbuka?
Terpalit dalam skandal rasuah perlombongan SMM yang melibatkan kepentingan politik dan kroni?
Gagal menyelesaikan krisis air dan elektrik yang telah membelenggu rakyat selama bertahun-tahun?
Membiarkan kadar pengangguran melonjak, sekolah-sekolah usang, dan hospital kekurangan doktor serta kemudahan kesihatan selama lima tahun?
Jika ini yang dianggap sebagai “pencapaian” yang harus dipertahankan, maka itu bukan kelangsungan — itu komplikasi dan pengkhianatan terhadap rakyat.
Kestabilan Tanpa Akauntabiliti Adalah Penindasan Terselindung
Benar, kestabilan politik itu penting. Tetapi kestabilan tanpa integriti adalah bahaya yang lebih besar.
Jangan kita lupa:
GRS sendiri lahir dari ketidakstabilan politik, hasil Langkah Kinabalu — bukan mandat rakyat dalam pilihan raya.
Pemimpin GRS yang mensabotaj kerajaan Warisan di pertengahan pandemik, merampas peluang untuk mentadbir Sabah secara bertanggungjawab selama sepenggal penuh.
GRS telah menukar sokongan persekutuan lebih dari sekali — dari PN ke BN, dan kini PH — semata-mata untuk kekal berkuasa.
Jadi apabila Masidi bercakap tentang “kerapnya pertukaran kerajaan,” beliau sebenarnya mengelak dari mengakui bahawa GRS sendiri adalah hasil pengkhianatan politik — bukan mangsanya.
Sabah vs Sarawak: Perbandingan Yang Salah
Masidi gemar membandingkan Sabah dengan Sarawak. Tetapi hakikatnya:
Sarawak berjaya bukan kerana satu parti memerintah semata-mata, tetapi kerana pemimpin mereka berani menuntut kuasa penuh terhadap sumber minyak, gas dan tenaga.
Sarawak mempunyai syarikat utiliti sendiri (SEB), syarikat minyak dan gas sendiri (Petros) serta autoriti pengawalseliaan sendiri — Sabah di bawah GRS masih tunduk kepada Putrajaya dan Petronas.
Kestabilan di Sarawak membawa hasil kerana ia disertai dengan kecekapan, kesepaduan hala tuju dan tadbir urus yang bersih — bukan sekadar kelangsungan demi kelangsungan.
Di Sabah, GRS sudah diberi lima tahun. Jadi apa hasilnya?
Gangguan bekalan elektrik, catuan air, skandal lesen perlombongan, dan tiada sebarang pencapaian terhadap tuntutan 40% hasil negeri.
Sabah Tidak Perlukan Kelangsungan Buta
Sabah perlukan kepimpinan yang berwibawa, tadbir urus yang jujur, dan kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat — bukan kepada Kuala Lumpur.
Jika inilah bentuk “kestabilan” yang Masidi mahu rakyat pertahankan, maka beliau bukan melindungi masa depan Sabah — beliau hanya menyelamatkan cengkaman kuasa GRS, bukan prestasinya.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment