Top posts

Featured Posts

Pantai Barat Sabah, mungkin di Kota Belud, perlu dibina hospital pakar, Kota Kinabalu sesak

             Muhd Zakaria Rumansa @ Melipan


13-5-2025
KOTA BELUD : Kerajaan Persekutuan perlu segera menimbang membina sebuah hospital pakar di Pantai Barat Utara Sabah bagi menampung keperluan negeri terutama Hospital Queen Elizabeth yang semakin sesak.

Demikian kata Naib presiden Pertubuhan Perpaduan Kebangsaan Rakyat Sabah (PERPADUAN), Muhd Zakaria Rumansa @ Melipan, dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Keperluan untuk sebuah hospital baharu dengan prasarana lengkap dan kehadiran doktor pakar di kawasan Pantai Barat Sabah semakin mendesak, sejajar dengan pertumbuhan populasi dan keperluan kesihatan masyarakat.

"Kota Belud yang terletak di tengah-tengah jajaran Tuaran, Ranau, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Kudat dan Pitas merupakan lokasi strategik untuk pembangunan hospital rujukan serantau," katanya.

Menurut Muhd Zakaria, hospital sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang kian meningkat bukan saja untuk rawatan doktor pakar, tetapi juga sebagai pesakit luar.

Katanya ramai pesakit dari daerah-daerah luar bandar terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, untuk mendapatkan rawatan pakar berhadapan dengan keadaan yang amat membebankan, terutama bagi warga emas dan golongan rentan.

"Daerah lain seperti Sandakan dan Tawau juga tidak mempunyai jumlah doktor pakar yang mencukupi, menambah lagi kesesakan di Kota Kinabalu, dan ini boleh dilihat setiap hari," katanya sambil menambah harapan PERPADUAN pihak kerajaan negeri dan persekutuan mengambil serius cadangan itu. 

Tambah Muhd Zakaria lagi, jumlah penduduk di jajaran pantai barat utara saja menghampiri satu juta orang sekarang dan ini telah memberi beban kepada perkhidmatan perubatan di wilayah itu.# ~ Borneo Herald™







No comments:

Post a Comment

Search This Blog