Top posts

Featured Posts

Menteri Baru, Nizam, Bertekad Buat Yang Terbaik Untuk Sabah

             Datuk Nizam Abu Bakar Titingan 

Borneo Herald 
4.18PM MYT, 29-12-2025


Teks Penuh Ucapan Tahun Baru 2026 Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan...

SEMPENA kehadiran Tahun Baru 2026, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT serta mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah atas kepercayaan dan mandat yang telah diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17 yang baru sahaja selesai. 

Mandat ini jelas membuktikan bahawa rakyat memilih kestabilan, kematangan politik serta sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa Sabah ke arah kemajuan dan kejayaan yang berterusan.

GRS di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah diberikan amanah oleh rakyat untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan Sabah. Keputusan ini bukan sekadar kemenangan politik, tetapi satu isyarat jelas bahawa rakyat Sabah menginginkan kesinambungan dasar, pentadbiran yang stabil serta kepimpinan yang berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

Sebagai Ketua Penerangan Gagasan Rakyat dan kini diamanahkan sebagai Ahli Jemaah Menteri Sabah selaku Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, saya melihat Tahun 2026 sebagai permulaan fasa penting dalam pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030). 

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah, atas kepercayaan dan amanah yang telah diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jemaah Menteri Sabah.

Lantikan ini saya terima dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen untuk bekerja sebaik mungkin bersama pasukan kerajaan negeri, demi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh.

Agenda Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030) akan terus memperkukuh tiga teras utama pembangunan negeri, iaitu S sebagai sektor pertumbuhan ekonomi yang menjana hasil negeri merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan; M sebagai pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta J sebagai usaha memperluas jaringan infrastruktur yang lebih baik, mampan dan berteraskan kelestarian hijau.

Selaras dengan agenda ini, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan memfokuskan usaha kepada pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi.

Penekanan akan diberikan kepada pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta semangat kesukarelawanan agar golongan belia bukan sekadar penerima peluang, tetapi pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam masa yang sama, usaha memperkasa Sabah sebagai sebuah Negeri Sukan akan diteruskan secara holistik, meliputi sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya serta sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat. 

Kementerian juga akan mempergiat pemerkasaan industri ekonomi kreatif melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan pengurusan, khususnya dalam sektor kreatif dan digital, agar ia menjadi antara pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing untuk Sabah.

Pada masa yang sama, Kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
 
Perjuangan ini dilaksanakan secara berhemah dan berprinsip, demi memastikan hak Sabah terus diperkasakan dalam kerangka Persekutuan Malaysia. 

Hubungan yang baik dan akrab antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah SMJ dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat Sabah serta usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan seimbang.

Menjelang tahun baharu ini, saya menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan, dokongan dan kerjasama padu kepada Kerajaan Negeri. 

Kejayaan membina Sabah yang lebih maju dan berjaya bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi merupakan usaha bersama antara kepimpinan dan rakyat.

Akhir kata, semoga Tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan yang berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan seluruh rakyatnya.

Selamat Tahun Baharu 2026
Sabah Maju Jaya#Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment

Search This Blog