Borneo Herald
12.30PM MYT, 28-5-2026
Dari Sekretariat Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 3.0
Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.
Tujuan sidang media ini dibuat untuk mengekspresikan rasa tidak puas hati terhadap
perkembangan skandal rasuah ADUN Sabah yang tidak berjawab sehingga hari ini.
Menurut Lawyers for Liberty (LFL), skandal rasuah ADUN Sabah merupakan yang terbesar dalam sejarah negara ini, kerana melibatkan sejumlah ADUN yang sangat ramai, termasuk speaker DUN dan mantan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim.
Rentetan daripada respon pasif autoriti dalam kes rasuah ADUN Sabah, kami, Suara Mahasiswa UMS bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Sabah, dengan ini mengisytiharkan menganjurkan :
DEMONSTRASI GEMPUR RASUAH SABAH 3.0 bertarikh 4 hingga 5 Julai 2026
(Sabtu dan Ahad) berlokasikan di Kota Kinabalu, Sabah
PELANCARAN JELAJAH "SAYANGI SABAH, BERSIHKAN RASUAH"
Bagi fasa awal menuju kemuncak demonstrasi, Sekretariat GRS 3.0 akan meluncurkan Jelajah "Sayangi Sabah, Bersihkan Rasuah" yang bakal merentasi beberapa lokasi strategik di sekitar Sabah.
Jadual dan lokaliti rasmi jelajah ini akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi media sosial rasmi kami iaitu @gempurrasuahsabah di
semua platform.
Jelajah ini untuk menyemarakkan kesedaran sivik dan membina kebersamaan dengan masyarakat akar umbi, kerana kami percaya bahawa reformasi institusi yang tulen harus bermula daripada denyut nadi rakyat di lapangan, bukannya sekadar retorik
manis yang muncul hanya ketika politikus-politikus ini memerlukan undi dari rakyat.
PELANCARAN BAJU DEMONSTRASI GRS 3.0 & JUSTIFIKASI GERAKAN
Sekretariat juga ingin mengumumkan penjualan baju sempena demonstrasi ketiga ini.
Penggunaan baju tema berwarna kuning dengan mesej ‘Sayangi Sabah, Bersihkan Rasuah’ dalam demonstrasi kali ini bukan sekadar kod etika berpakaian, malah ia membawa justifikasi fundamental sebagai simbol re-orientasi naratif kebangkitan gerakan rakyat.
Di dataran perhimpunan nanti, keseragaman warna ini bakal memadamkan kasta dan status sosial demi memanifestasikan kesetaraan mutlak warga Sabah, sekali gus membekalkan impak visual berimpak tinggi (media-centric) yang dinamik untuk liputanmedia massa dan penyebaran efektif di media sosial.
Lebih utama, hasil jualan baju ini akan disalurkan sepenuhnya bagi membiayai kos logistik jelajah dan mobilisasi demonstrasi, sekali gus membuktikan secara mutlak bahawa Gempur Rasuah Sabah 3.0 adalah sebuah gerakan akar umbi yang mandiri, berdikari, dan didanai oleh rakyat sendiri, bukannya kapitalis mahupun oligarki politik.
TUNTUTAN UTAMA GEMPUR RASUAH SABAH 3.0
Kami konsisten membawa agenda pembaharuan yang melibatkan tuntutan-tuntutan
dasar seperti berikut :
1. Dakwa segera semua ADUN Sabah yang terpalit dengan isu rasuah
2. Hentikan nepotisme dan kronisme
3. Laksanakan RCI buat skandal mafia korporat SPRM
4. Segerakan Akta Pendanaan Politik
PENEGASAN STATUS BEBAS (INDEPENDENSI) GERAKAN
Kami menegaskan Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 3.0 merupakan gerakan intelektual akar umbi yang berpaksikan kepentingan mahasiswa bersama rakyat, tanpa campur tangan mana-mana entiti politik. Sebagaimana siri demonstrasi yang lepas, seluruh rakyat yang sayangi Sabah dan mahu bersihkan rasuah boleh menyertai
demonstrasi ini dengan menanggalkan segala latar belakang dan fahaman politik.
Pada 4 dan 5 Julai tahun ini, jalanraya di Kota Kinabalu akan sekali lagi bergema lantas menjadi saksi semangat anak muda, gen z dan seluruh rakyat Sabah dalam semangat melawan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme.
Hadir dan buktikan kuasamu, wahai rakyat Sabah!
Merdeka Mahasiswa! Merdeka Rakyat! Hancur Korupsi! #~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment