Top posts

Featured Posts

Pemimpin Star Sokong Calon Warisan pada PRK Lamag dan Kinabatangan

Jalibin Paidi (duduk) dan calon Datuk Saddi Abdul Rahman pada rapat umum di Entilibon hari ini.

Borneo Herald 
8.30PM MYT, 14-1-2026


Oleh Jayden Lisandu
TONGOD : Calon Warisan di kawasan Parlimen Kinabatangan, Datuk Saddi Abdul Rahman, mendapat suntikan semangat berikutan Penyelaras Star Kinabatangan menyatakan sokongan padu kepada "parti lokal" Warisan hari ini.

Jalibin Paidi yang juga Pegawai Penerangan Star Kuamut, iaitu salah satu daripada tiga DUN dalam Kinabatangan, berkata Warisan perlu disokong kerana ia satu-satunya parti tempatan yang berani berdepan dengan Umno-BN dalam pilihanraya kecil Kinabatangan dan juga DUN Lamag.

"Sudah sampai masanya orang Sabah bagi isyarat bahawa orang Sabah mesti bersatu, satu hati, satu jiwa memperjuangkan kepentingan Sabah seperti Sarawak..." katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 penyokong di  Entilibon dekat sini hari ini.

Turut hadir dan berucap ialah Saddi yang mendapat sambutan hangat penduduk sekitar Entilibon.
Sebahagian yang hadir pada kempen di Entilibon hari ini.

Majlis itu berlangsung di Dewan Masyarakat Entilibon, di Kg Entilibon Simpang Tongod. PDM Entilibon merupakan pusat mengundi kedua paling ramai dalam DUN Kuamut selepas Tongod sendiri.

Pada PRN 29 November 2025, daerah mengundi Entilibon dimenangi Upko, bagaimanapun Upko kini sudah bersama kerajaan campuran GRS, Umno-BN dan PH.

Jalibin, bekas Pengetua SMK Entilibon dan juga pernah bertugas di SMK Tongod, menjelaskan beliau hadir berkempen untuk Warisan hari ini atas kapasitinya sebagai aktivis masyarakat, dan terpanggil kerana mahu "parti lokal" menang.

Katanya rakyat Kinabatangan khususnya Kuamut perlu mengundi parti tempatan supaya Sabah boleh macam Sarawak.

Sambil mengajak semua penyokong parti tempatan bersatu mengundi calon Warisan, beliau berkata sentimen rakyat sekarang ialah mahukan parti lokal dan itulah sebab BN hanya dapat menang enam kerusi DUN pada PRN baru-baru ini.

Kerusi Kinabatangan dan Lamag kosong enam hari selepas PRN baru lalu apabila Datuk Moktar Radin meninggal dunia di Kota Kinabalu pada 5 Disember 2025.

Pada PRN lepas, Moktar Radin menang tipis hanya 153 undi mengatasi calon Bebas Mohd Ismail Ayob@ Miha ketika itu, tetapi kini Miha dipilih pula sebagai calon Umno-BN.

Miha ditentang satu lawan satu oleh calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua di DUN Lamag.

Saddi pula berdepan Mohd Naim Kurniawan Moktar dan calon Bebas, Goldam Salangah, dalam perseteruan tiga penjuru di kerusi parlimen Kinabatangan.

Menurut Jalibin, tiada faedah mengundi parti Malaya kerana "jika BN kalah pun tiada masalah sebab Warisan juga sebahagian daripada Kerajaan Madani". 

"Fokus kita ialah tolak parti Malaya. BN sudah ditolak di Malaya sendiri.." tambah Jalibin lagi.#~Borneo Herald™









No comments:

Post a Comment

Search This Blog