Top posts

Featured Posts

Program Wanita WCTTK di Kiulu kini 24 & 25 Jun 2024


     Dr Julia Ongkili (kiri) bersama Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag pada kunjungan hormat di Seri Gaya.

KIULU, Tamparuli : Program dua hari untuk wanita di Kiulu dan Tamparuli yang sepatut diadakan hari ini dan telah ditunda, kini dijadual diadakan pada 24 dan 25 Jun 2024 ini di tempat yang sama, Dewan Kiulu.

Menurut Pengarah Program, Dr Julia Ongkili, yang juga timbalan pengerusi Majlis Wanita KDCA Tamparuli-Tuaran-Kiulu (WCTTK)  yang menganjurkan program itu, penundaan dibuat sebab terlalu banyak program dalam April dan Mei ini.

"Pengisian program masih sama, antara lainnya ialah pertandingan ratu dalai biosfera Banjaran Crocker, anugerah ibu suri teladan, tiket bertuah dan peragaan busana rekaan wanita.

"Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag dijadual merasmikan program pada 20 Jun manakala Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dijangka menutup program keesokan harinya," katanya.

Menurut Dr Julia, rombongan WCTTK diketuai pengerusinya Dr Rosalyn Gelumu, membuat kunjungan hormat kepada Datuk Juliah beberapa hari lepas dan telah membincangkan beberapa cadangan baru isteri ketua menteri untuk program tersebut.

Antara cadangan itu ialah mengadakan pemeriksaan percuma kesihatan untuk kaum wanita, pemeriksaan gigi, saringan kanser dan menambah gerak usahawan.

Menurut Dr Julia, program asal seperti ceramah motivasi mengenai "wanita bahagia, keluarga sejahtera", "perkahwinan bawah umur dari perspektif adat dan perundangan", serta "pertanian mensejahterakan keluarga" kekal diadakan.

Katanya pameran keusahawanan, kraf dalai dan produk kesihatan juga turut diadakan.

"Tema program tahun ini iaitu "mengarusperdanakan gender dalam pembangunan luar bandar" diangkat bagi memotivasi semua pihak menyedia ruang dan peluang kepada wanita turut seiring menyumbang dalam pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

"Orang ramai adalah dijemput datang ke program dua hari ini, bukan saja untuk memeriahkan lagi majlis tetapi juga untuk menimba ilmu dan bertukar-tukar pendapat sesama kita," kata Dr Julia lagi.#

Berikut gambar-gambar kunjungan hormat rombongan WCTTK kepada isteri ketua menteri di kediaman rasmi ketua menteri, Seri Gaya :

No comments:

Post a Comment

Search This Blog