Top posts

Featured Posts

Warisan janji siasat rampasan tanah jika kembali memerintah

Mudi Dubing, Ketua Bahagian Warisan Pensiangan.

KOTA KINABALU : Parti Warisan berjanji membuat siasatan terbuka dan menyeluruh mengenai isu rampasan tanah di kawasan pedalaman Sabah jika sekali lagi mendapat mandat untuk membentuk kerajaan negeri Sabah selepas ini.

Ketua Bahagian Pensiangan parti itu, Mudi Dubing berkata Warisan menerusi JPRNnya telahpun menjadikan siasatan rampasan tanah sebagai agenda utama parti kerana isu tersebut telah menyusahkan komuniti Orang Asal Sabah.

“Keputusan JPRN untuk menjadikan siasatan rampasan tanah (sebagai agenda teras) adalah tepat dan Pensiangan sebenarnya telahpun membentangkan dan membahaskan perkara ini ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti Disember tahun lalu," katanya dalam satu kenyataannya beberapa hari lepas.

Katanya ketika AGM Pensiangan, perwakilan telah menekankan keperluan Kerajaan Negeri menyiasat secara menyeluruh isu rampasan tanah di Pedalaman dan membuat pendakwaan terhadap individu-individu, sama ada yang bekerja di sektor swasta ataupun awam, yang mungkin telah menyalahgunakan kedudukan mereka dalam perkara ini.

"Saya juga difahamkan bahawa apabila Warisan membentuk Kerajaan Negeri yang baru, JPRN akan menjemput Transparency International (TI) dan SUHAKAM untuk memantau proses penyiasatan dan pertemuan tidak rasmi sebenarnya telah pun diadakan di antara wakil JPRN dan TI.

"Kami teruja dengan kemungkinan Warisan bekerjasama dengan kedua-dua organisasi ini dan juga organisasi antarabangsa yang lain kerana ini akan membolehkan kita menyelesaikan isu-isu di pedalaman Sabah berdasarkan garis panduan ataupun perjanjian antarabangsa dan pada masa yang sama, akan melonjakkan Warisan ke hadapan dalam agenda membanteras salah-urus di Malaysia," katanya lagi.

Mudi yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi parti itu berkata bahagian Pensiangan turut menyokong cadangan JPRN untuk menubuhkan Jawatankuasa Ombudsmen Negeri mengenai hal tanah sebagai sebahagian daripada plan bagi mempertingkatkan lagi perlindungan untuk masyarakat orang asli.

"Mungkin ada beratus ribu ekar tanah di kawasan Pedalaman yang sedang diduduki oleh komuniti Orang Asal Sabah yang kini menjadi sasaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tetapi mungkin satu-satunya sebab mereka tidak melakukan apa-apa sekarang ialah kerana pilihanraya negeri akan diadakan tidak lama lagi.

"Kita harus menyediakan perlindungan yang lebih kukuh untuk komuniti Orang Asal Sabah berhubung dengan hal-hal tanah dan oleh itu, kami menyokong penuh cadangan JPRN penubuhan Jawatankuasa Ombudsmen Negeri dalam tempoh 6 bulan selepas Warisan membentuk Kerajaan Negeri baharu bagi membolehkan perbicaraan yang telus dan terbuka terhadap konflik atau pertikaian tanah yang melibatkan komuniti ini diadakan," tambahnya lagi.

Menurutnya, di bawah pentadbiran kerajaan negeri Warisan yang singkat pada 2018 sehingga 2020, Warisan telah memberikan beribu-ribu geran tanah kepada penduduk-penduduk kampung dengan harapan bahawa langkah itu akan membantu mereka dari segi ekonomi melalui penghasilan produk-produk pertanian.

"Tiada jeritan mengenai isu rampasan tanah pada ketika itu, tidak seperti hari ini, apabila penduduk-penduduk kampung terpaksa pergi ke Kota Kinabalu menggunakan wang mereka sendiri semata-mata untuk mendaftarkan aduan mereka  melalui demonstrasi.

"Melalui cadangan-cadangan untuk menjalankan siasatan, kerjasama strategik dengan organisasi antarabangsa dan penubuhan Jawatankuasa Ombudsmen Negeri, kami berharap rakyat Sabah menyedari bahawa ini ialah Warisan baharu yang serius dan berazam untuk menyelesaikan isu-isu mendesak yang melibatkan rakyat Sabah," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog