Top posts

Featured Posts

Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung Sabah dipilih oleh penduduk jika Parti Sedar Rakyat memerintah

TAMPARULI : Parti Sedar Rakyat (Sedar), sebuah parti berteraskan blok Borneo, akan membenarkan penduduk kampung memilih sendiri pengerusi JKKK dan ketua kampung mereka di Sabah jika parti itu memerintah.

Timbalan pengerusi Sedar Sabah, Dr Julia Emelda Ongkili, menyatakan demikian dalam kenyataan akhbarnya hari ini yang mengulas isu pertindihan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

"Pewujudan JKDM oleh Kerajaan Pusat di semua kampung di Sabah hanyalah bermotif politik dan akan menimbulkan pertindihan tidak sihat dengan JKKK sedia ada di bawah kerajaan negeri," katanya.

"Bukankah tugas JKDM ini sama saja dengan JKKK? Jadi apa motifnya? Kenapa hanya di Sabah, dan tidak di Sarawak? Adakah kerana di Sarawak tiada Umno? Jadi JKDM ini hanya untuk orang Umno saja?

"Adakah ini hanya untuk melemahkan dan meremehkan JKKK di bawah kerajaan negeri yang memangpun banyak kelemahan dan kekurangan peruntukan serta ketara bermotif politik juga?" ujarnya lagi.

Menurutnya lagi situasi ada dua platform pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan di peringkat kampung di Sabah itu boleh menimbulkan konflik di kalangan pemimpin kampung, jika tiada komunikasi yang baik.

Katanya lagi, yang terbaik ialah kerajaan atau kementerian pusat menyalurkan dana kepada kerajaan negeri ke kampung-kampung.

"Bagaimanapun situasi unik di Sabah ini bukan kesalahan pusat 100%. Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah adalah presiden Umno, bagaimana beliau hendak menyalurkan dana dan kuasa kepada JKKK di bawah kerajaan GRS sedangkan GRS mengenepikan Umno dari kerajaan negeri? Ini kita fahami.

"Inilah akibat apabila semua jawatan Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung dipolitikkan oleh GRS. Mereka main lantik di kalangan parti-parti anggota GRS sahaja, menidakkan pilihan penduduk kampung. Sepatutnya amalan demokrasi dilanjutkan kepada pemilihan "ketua menteri" peringkat kampung," tambahnya.

"Parti Sedar Rakyat jika diberi mandat memimpin kerajaan negeri, pasti menimbang dengan serius mengembalikan kuasa rakyat dalam memilih siapa mereka percaya menjadi pengerusi JKKK dan juga Ketua Kampung masing-masing.

"SEDAR mahu kerajaan negeri yang benar-benar menghormati demokrasi dan siapa saja pilihan penduduk setempat harus dilantik kerajaan sebagai pengerusi dan ketua kampung," katanya.

Menurutnya cara itu akan memastikan bukan ahli parti tertentu saja berpeluang dilantik mentadbir kampung, dan ia tidak akan menjemput masalah parti besar lain mengambil tindakan "membalas" seperti yang kini dialami rakyat Sabah.

"Rakyat harus berfikir. Mereka yang menjadi mangsa percaturan politik pemimpin yang berfikiran sempit hanya partinya saja boleh mentadbir kampung-kampung," katanya.#


No comments:

Post a Comment

Search This Blog