Top posts

Featured Posts

Shafie tetamu luar biasa pada majlis "Membina Masa Depan Bersama" anjuran Keuskupan Keningau

Shafie Apdal (bertanjak) bersama hadirin sedang mendengar mesej Uskup Datuk Cornelius Piong pada majlis semalam di Keningau.

Borneo Herald 
9.37PM MYT, 1-11-2025


Dr Kanul Gindol melaporkan sendiri pengalamannya dijemput Shafie mengikuti majlis makan malam ini di Tuarid Tatal semalam..

KENINGAU : Semalam (31 Okt 2025) di Kg Tuarid Tatal, Keningau mungkin ada 5,000 manusia berhimpun meraikan satu majlis yang dinamakan Memperbaharui Iman Kita, Membina Masa Depan Kita Bersama-Sama yang diadakan di Dewan Kekitaan Rumah Retret Keuskupan Keningau..

Hadirin adalah wakil seluruh keuskupan Keningau. Rata-rata 30 orang dari setiap paroki keuskupan Keningau, yang antara lain meliputi Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan dan Sipitang.

Dua tetamu utama majlis ialah Bishop Keningau, Datuk Cornelius Piong dan tokoh dermawan terkenal, Datuk Victor Paul.

Namun tetamu utama ketiga yang tidak terjadual dalam program tetapi sebenarnya juga jemputan "khas" ialah seorang pemimpin Sabah yang kini semakin diperhati dan diteliti oleh orang ramai, seorang yang pada saya amat luar biasa.. Datuk Shafie Apdal.

Hanya tiga pemimpin atau tokoh inilah yang  berucap dalam majlis ini, kecuali pengerusi majlis sendiri, seorang wanita muda yang petah mengacarakan majlis yang bermula jam 5.30 petang itu.

Tidak lama selepas Uskup dan filantropis duduk, Shafie dan rombongannya (yang mengisi satu meja tersedia) tiba disambut hangat seperti ketibaan dua tokoh berkenaan. 
Saya bersama rakan aktivis dari Camos, Daniel John Jambun dan juga bekas Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong, ketika sedang menunggu rombongan Shafie.

Yang menarik pengamatan saya ialah pihak penganjur mengenakan tanjak ringkas kepada Shafie sejurus beliau tiba, sedangkan Uskup dan Victor tidak diberikan tanjak.

Pada saya, ini merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan dari pihak tuan rumah kepada Shafie sebagai seorang pemimpin tempatan yang semakin mendapat perhatian, atau dalam kata lain seorang yang kehadirannya dinantikan dan dialu-alukan.

Bisikan dan cerita dari orang ramai juga mula kedengaran bahawa Shafie sebenarnya sudah sekian lama menyantuni umat Kristian terutama RC bukan saja di keuskupan Keningau tapi juga tempat lain. Dikhabarkan beliau juga baru-baru ini pun sempat juga singgah di kawasan yang sama bersama umat Katolik yang menganjurkan satu majlis lain, jika tak silap seperti tamu.

Juga, jika tak silap pendengaran saya, Shafie juga telah menghulurkan sumbangan ikhlas di situ, namun tiada sesiapa meminta ia dihebahkan termasuk tuan punya badan juga difahamkan enggan kerja-kerja amal dihebah-hebahkan, namun kerana ramai juga saksi, maka tiadalah kita dapat menutup kebaikan mereka.

Walaupun ucapan Shafie pada malam semalam hanyalah 11 minit (dari 6.19pm-6.30pm), namun mesej perpaduan, persaudaraan dan kasih cinta dari beliau amatlah ketara. Shafie juga turut memohon maaf kepada semua umat jika ada kata-katanya yang menyinggung perasaan sesama manusia selama ini. Memohon maaf begini ketaralah menggambarkan keperibadian beliau seorang pemimpin yang amat merendah diri dan jujur lagi lurus.

Pada saya, mesej ucapan yang serupa seirama dari Victor dan Bishop Cornelius menggambarkan majlis malam semalam - Memperbaharui Iman Kita, Membina Masa Depan Kita Bersama-Sama - benar-benar tepat pada tempatnya.

Selepas jamuan, kesudian Shafie melawat di banyak meja dan bersalaman serta melayan semua orang yang berselfie dengan beliau turut mengujakan rakyat yang hadir.

Kehadiran Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan beberapa rakannya (walaupun beliau datang sedikit lewat ketika majlis sudah bermula) turut dapat perhatian Uskup yang menyebut nama beliau di penghujung ucapannya.

Saya berterima kasih kepada Shafie kerana turut menjemput saya, jika tidak dijemput, sudah tentu saya terlepas peluang menikmati majlis Keningau ini, hidangannya, muzik hebatnya, mesej-mesej yang baik dan persahabatan.. 😀#~Borneo Herald™

Rakyat Kecewa Dengan GRS, Bukan Dengan Warisan Kata Majamis

                           Majamis Timbuong

Borneo Herald 
6.10PM MYT, 3-11-2025


KOTA MARUDU : Parti Warisan hari ini menolak dakwaan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bahawa kemasukan beberapa bekas pemimpin GRS ke dalam Warisan merupakan “gelombang kekecewaan”, sambil menegaskan bahawa kenyataan itu sebenarnya mencerminkan ketakutan GRS terhadap kebangkitan gerakan rakyat sebenar di seluruh Sabah.

Ketua Bahagian Parti Warisan Kota Marudu, Majamis Timbuong, berkata kenyataan Nizam mencerminkan sikap sebuah kerajaan yang tidak lagi mampu mengekalkan kesetiaan dan keyakinan dalam kalangan ahli sendiri, lalu memilih untuk menghina dan menuduh bagi menutup kegagalan dalaman mereka.

“Apabila orang mula meninggalkan GRS, bukan kerana mereka kecewa tidak dapat jawatan — tetapi kerana mereka kecewa dengan kerajaan,” kata Majamis.

“Mereka telah melihat sendiri bagaimana GRS gagal menunaikan janji, gagal mempertahankan hak Sabah, dan gagal memimpin dengan integriti. Inilah gelombang sebenar — gelombang kesedaran rakyat,” katanya lagi.

Naratif GRS Runtuh Kerana Kegagalannya Sendiri

Majamis menegaskan bahawa mereka yang kini dihina sebagai ‘golongan kecewa’ oleh Nizam sebenarnya dahulu diangkat tinggi oleh GRS sebagai “pemimpin akar umbi yang setia” — satu bentuk hipokrasi politik yang ketara.

“Semasa mereka bersama GRS, mereka dipuji. Bila mereka keluar, terus dilabel tamak dan kecewa. Itulah standard berganda GRS — kesetiaan diukur berdasarkan kepentingan semasa,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa perpindahan ini bukan kes terpencil, tetapi sebahagian daripada gelombang kekecewaan yang meluas dalam kalangan ahli GRS dan rakyat Sabah secara keseluruhan.

“Ini bukan soal cita-cita peribadi. Ini tentang kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Hajiji yang kini dilihat lemah, elitis dan jauh daripada rakyat,” tambahnya.

Gelombang Harapan, Bukan Gelombang Kekecewaan

Majamis menegaskan bahawa apa yang berlaku hari ini bukanlah “gelombang kekecewaan” seperti didakwa, tetapi gelombang harapan dan pembaharuan — apabila semakin ramai pemimpin dan rakyat menyertai perjuangan Warisan demi maruah dan hak Sabah.

“Gelombang Warisan ialah suara rakyat Sabah yang mahu keadilan dan maruah negeri ini dikembalikan.

“Kami tidak mengejar jawatan, kami membina semula kepercayaan," katanya.

Kekecewaan Sebenar Bertimbun Dalam GRS

“Kalau Nizam mahu bercakap tentang kekecewaan, lihatlah ke dalam GRS sendiri,” tegas Majamis.

“Kekecewaan sebenar ialah melihat hak 40% hasil negeri masih tidak ditunaikan, kos sara hidup meningkat, dan pemimpin GRS masih sibuk bergaduh tentang kerusi. Kerajaan yang gagal mengurus, tetapi pandai mencari alasan," tegas Majamis.

Beliau menambah bahawa rakyat Sabah kini semakin sedar dan bersedia untuk perubahan, manakala peningkatan sokongan terhadap Warisan menandakan peralihan daripada rasa kecewa kepada tekad untuk memperbetulkan hala tuju negeri.

“Panggil apa sahaja — gelombang, gerakan, kebangkitan — hakikatnya jelas: rakyat Sabah sudah bersedia meninggalkan politik alasan GRS,” katanya.#~Borneo Herald™

Armizan Patut Cermin Diri Sendiri — GRS Sebenarnya Parti Katak Politik, Bukan Warisan


                             Rasinin Kautis

Borneo Herald 
5.33PM MYT, 3-11-2025


KENINGAU : Parti Warisan hari ini menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Papar merangkap Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali yang mempersoalkan konsistensi Warisan dalam isu lompat parti sebagai sangat hipokrit, sambil mengingatkannya bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sendiri dibina atas budaya pengkhianatan dan opportunisme politik yang kini kononnya beliau mahu kecam.

Ketua Bahagian Warisan Keningau, Rasinin Kautis, berkata kenyataan Armizan menunjukkan beliau sengaja melupakan sejarah sebenar, kerana GRS — bukan Warisan — yang membentuk kerajaan pada tahun 2020 hasil daripada perancangan dan siri tindakan lompat parti selepas Pilihan Raya Negeri 2018.

“Kalau Armizan mahu bercakap tentang katak politik, dia patut cermin diri sendiri dahulu,” kata Rasinin dalam kenyataannya di sini hari ini.

“GRS wujud hari ini kerana pemimpin dari Warisan dan Upko telah digoda untuk melompat parti pada tahun 2020 — bukan kerana mandat rakyat. Seluruh kerajaan GRS dibina atas asas lompat parti," katanya lagi.

Warisan Sambut Individu, Bukan Pengkhianatan

Rasinin menjelaskan bahawa penerimaan beberapa individu oleh Warisan baru-baru ini tidak bertentangan dengan prinsip parti, kerana Warisan membezakan dengan jelas antara pengkhianatan mandat rakyat dan penyertaan ikhlas hasil kesedaran politik yang tulen.

> “Ada perbezaan moral antara wakil rakyat yang mengkhianati pengundi mereka, dengan pemimpin yang — setelah menilai semula perjuangan mereka — memilih untuk menyokong perjuangan yang mereka yakini,” jelasnya.

“Warisan tidak pernah merestui pengkhianatan. Apa yang kami sambut ialah individu yang ikhlas dan sehaluan dengan perjuangan untuk membina semula Sabah melalui landasan bersih, adil dan berpandangan jauh.”

Pendekatan Dua Wajah Armizan Terbongkar

Rasinin turut menyifatkan tindakan Armizan sebagai bermuka dua, kerana beliau mempertahankan pemimpin-pemimpin yang melompat masuk ke kem Hajiji, tetapi kini mengutuk pula mereka yang meninggalkan GRS untuk menyertai Warisan.

> “Bila orang melompat masuk GRS, Armizan panggil itu ‘kestabilan’; bila mereka keluar dari GRS dan sokong Warisan, tiba-tiba jadi ‘hipokrasi’,” katanya.

“Kalau Armizan benar-benar percaya pada politik bermoral, dia patut mula dengan mengutuk pengkhianatan politik yang melahirkan koalisinya sendiri.”

Isu Sebenar — Kepimpinan dan Halatuju, Bukan Katak Politik

> “Hakikatnya mudah — orang meninggalkan GRS kerana mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji yang tiada visi, tiada kesatuan dan tiada masa depan,” tegas Rasinin.

“Ini bukan lompat parti secara opportunistik, tetapi hasil kekecewaan terhadap gabungan yang sudah hilang kredibiliti dan arah perjuangan.”

Beliau menambah bahawa semakin ramai yang beralih menyokong Warisan kerana percaya kepada kepimpinan yang jelas halatujunya — berteraskan integriti, inklusiviti dan hak perlembagaan Sabah.

“Cubaan Armizan mempersoalkan konsistensi Warisan hanya mendedahkan rasa tidak yakin dalam GRS sendiri,” kata Rasinin.

“Rakyat Sabah tahu siapa sebenarnya katak politik — mereka yang mengkhianati mandat rakyat pada tahun 2020 dan kini berpura-pura memberi ceramah tentang moral politik,” katanya.#~Borneo Herald™


Armizan Mengelirukan Rakyat — Warisan Tidak Gagal Dalam Projek Air Kogopon; Kelewatan Kerajaan Persekutuan dan Kelemahan GRS Menjadi Punca

Azhar Matusin, ADUN Darau merangkap Bendahari Agung Warisan Negeri.

Borneo Herald 
12.58PM MYT, 3-11-2025


KOTA KINABALU : Parti Warisan hari ini menafikan dakwaan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, bahawa kerajaan Warisan terdahulu “gagal menyiapkan” Projek Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 bernilai RM300 juta, sambil menyifatkan kenyataannya sebagai mengelirukan dan tidak jujur dari segi politik.

Bendahari Agung Parti Warisan, Azhar Matusin, berkata Armizan sengaja memutarbelitkan garis masa projek untuk menutup kelewatan dan kegagalan berterusan kerajaan GRS dalam menangani masalah bekalan air di Papar.

“Projek Kogopon Fasa 2 telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan mula dilaksanakan pada tahun 2019, iaitu kurang setahun selepas Warisan membentuk kerajaan,” kata Azhar.

“Kemajuan projek terganggu akibat kelewatan pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020–2021, dan kejatuhan kerajaan Warisan pada Julai 2020 — jauh sebelum projek itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.”

Azhar turut menegaskan bahawa kenyataan Armizan sendiri mengakui punca sebenar kelewatan adalah kegagalan Kerajaan Persekutuan menyiapkan Notis Perubahan (NOC) bagi pelarasan kos, memandangkan projek tersebut dibiayai melalui pinjaman mudah Persekutuan.

“Itu membuktikan kelewatan berpunca daripada birokrasi Persekutuan, bukannya kegagalan Warisan. Tiada kerajaan negeri — sama ada Warisan atau GRS — yang boleh meneruskan projek tanpa kelulusan Persekutuan,” tegasnya.

“Namun, daripada mengakui hakikat itu, Armizan memilih untuk memanipulasi isu ini demi kepentingan politik.”

Warisan Letak Asas — GRS Hanya Tumpang Nama

Azhar menjelaskan bahawa projek naik taraf Kogopon Fasa 2 serta projek pengambilan air Kg Kabang adalah kesinambungan daripada inisiatif yang dirancang dan direka bentuk semasa pentadbiran Warisan pada tahun 2019–2020 melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Warisan yang menyediakan asas perancangan dan memastikan projek-projek ini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). GRS hanya meneruskan pelaksanaan yang sudah dirancang oleh Warisan dan kemudian menuntut pujian,” jelas Azhar.

“Kalau Armizan mahu berbangga dengan kelulusan projek, beliau seharusnya jujur mengakui asasnya dibina oleh Warisan.”

Beliau menambah bahawa walaupun GRS telah memerintah sejak tahun 2020, projek Kogopon Fasa 2 hanya mula dibina pada Ogos 2023, manakala projek pengambilan air Kg Kabang hanya bermula pada tahun 2024 — menunjukkan bahawa kelewatan sebenar berlaku di bawah pentadbiran GRS, bukan Warisan.

GRS Gagal Menunaikan Tanggungjawab

“Selepas empat tahun, rakyat Papar masih berhadapan dengan paip kering, pencemaran klorida dan catuan air,” kata Azhar.

“Daripada mengambil tanggungjawab, Armizan memilih untuk menyalahkan kerajaan terdahulu — taktik lama untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan GRS sendiri.”

Beliau juga mengecam cubaan Armizan menyalahkan bekas Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan, sambil menyifatkannya sebagai serangan politik murahan.

“Semua orang tahu Ahli Parlimen tidak mempunyai kuasa meluluskan pinjaman mudah Persekutuan. Projek ini berada di bawah Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) — bukan di bawah pejabat Ahli Parlimen,” tegasnya.

Fokus Pada Penyelesaian, Bukan Alasan

“Rakyat Papar perlukan air bersih, bukan alasan lama yang diulang-ulang,” kata Azhar.

“Warisan tetap komited kepada penyelesaian struktur — memberi kuasa kepada negeri untuk merancang dan mengawal sistem air dan tenaga sendiri tanpa perlu menunggu kelulusan Persekutuan yang tiada kesudahan.”

“Sudah tiba masanya GRS berhenti menulis semula sejarah dan mula menunjukkan hasil sebenar,” beliau menegaskan.#~Borneo Herald™


Dr Julia Ongkili mengorak langkah ikut jejak bapanya Dr James Ongkili jadi Adun Tamparuli

Gambar lama Adun Tamparuli, Datuk Dr James Ongkili dan anaknya Dr Julia yang kini ikut langkah bapanya di DUN Tamparuli.

Borneo Herald 
1.56PM MYT, 2-11-2025


TAMPARULI : "Ke mana tumpah kuah kalau bukan ke nasi?" Dr Julia Emelda Ongkili bukanlah nama yang asing di Tamparuli. Beliau yang aktif melayani masyarakat sekian lama sebagai aktivis NGO kini menawarkan diri sebagai calon Adun Tamparuli.

Anak ke-4 daripada enam adik-beradik, anak mendiang Datuk Dr James Peter Ongkili dan Datin Margaret Ongkili ini dianggap ramai antara calon pilihanraya yang paling berpotensi diangkat menjadi Adun yang mesra didekati dan sentiasa sedia mendengar.

"Saya ingin mengikuti jejak mendiang bapa saya, Datuk James Ongkili, dalam politik khususnya memberikan khidmat kepada masyarakat Tamparuli, dan meneruskan legasi beliau," katanya kepada Borneo Herald ketika ditemui baru-baru ini.
                        Dr Julia Emelda Ongkili 

Dr Julia, 55, yang berpendidikan komunikasi perniagaan dan sains politik, juga percaya kaum wanita Sabah masih jauh ketinggalan dalam dunia politik, dan oleh sebab itulah beliau tampil ke depan.

"Dalam 10 tahun kebelakangan ini saya melibatkan diri sepenuhnya dalam kegiatan NGO. Sudah tiba masanya saya mencuba pula dalam kepimpinan politik.

"Saya rasa tidak sampai pun 30% bilangan wanita sebagai sama ada Adun mahupun Ahli Parlimen, maka sudah sampai masa kita wanita ambil bahagian memimpin Sabah," kata ibu kepada dua anak itu.

Dua anaknya, Anis Azielea, 32, yang juga sudah berumah tangga, dan Azrel Denilson, 23, hasil perkongsian dengan bekas suaminya Awang Fauzeh, turut menyokong penuh hasrat ibu mereka bukan saja dalam kegiatan NGO tetapi kini politik.

Dr Julia atau lebih mesra dipanggil Lea sahaja, sebenarnya memiliki penampilan yang sangat menarik dan menyenangkan. Semua ini mungkin diwarisinya dari kedua ibu bapanya ditambah pengalaman bekerja 10 tahun sebagai Pengurus Jualan di salah sebuah hotel terkemuka.
Dr Julia juga penerbit dan sedang menyiapkan biografi bapanya, Datuk Dr James P Ongkili, yang dijadual dilancar tidak lama lagi.

Semangat cekal Lea juga diwarisi dari kedua-dua ibu bapanya yang terkenal tidak pernah putus asa dengan mudah bahkan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan.

Ibunya, Datin Margaret, walau pada usia tuanya masih cergas dan sentiasa tersenyum. Datuk Dr James pula pada kemuncak kerjayanya pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Ini sebahagian jentera pilihanraya Dr Julia di DUN Tamparuli.

Sebelum terjun ke dunia politik,  Dr James merupakan pensyarah Sejarah di Universiti Malaya. Apakah anaknya Dr Julia bakal diberi kepercayaan rakyat Tamparuli menjadi Adun Tamparuli, kita akan dapat keputusannya pada 29 November ini.

Kata-kata hikmat "tiada yang mustahil dalam politik, apapun boleh terjadi..." mungkin sejarah bakal tercipta di Tamparuli tepat sebulan dari hari ini. Tamparuli kini dijangka menjadi medan pertempuran sengit enam hingga 10 calon pilihanraya, dan pada masa ini Dr Julia mungkin satu-satunya calon wanita di situ.

Bertanding atas tiket Parti Impian Sabah (PIS) sebuah parti lokal Sabah yang masih dianggap kecil, tidak mematahkan semangat beliau. "Jika rakyat menyukai dan percaya kepada kita, mereka pasti undi kita. Ramai juga calon yang menang tidak semestinya dari parti besar, bahkan calon bebas juga ada yang menang," tegasnya.

Dr Julia yang sudah melawat berulang kali di kesemua 11 daerah mengundi Tamparuli dilihat boleh membuat kejutan lebih-lebih lagi dengan penampilan beliau yang cepat ramah terutama sekali dengan kaum wanita.

Beliau yang berpengalaman luas dalam industri pelayanan seperti hotel dan juga perniagaan dan aktiviti kebajikan dilihat amat sesuai dipilih sebagai Adun. Ini ditambah lagi dengan fakta beliau sentiasa berada dalam kawasan Tamparuli mendampingi masyarakat, tidak seperti sesetengah calon pilihanraya yang hanya dilihat kelibat bila menjelang pilihanraya.

Dr Julia juga seorang yang pemurah, sering dilihat membawa ole-ole seperti bakul makanan kepada penduduk Tamparuli meskipun di luar musim pilihanraya.

"YB yang beginilah yang kami sukai. Sekarang semakin ramai mengenali Dr Julia dan saya sendiri berdoa sokongan itu terus meningkat menjelang hari pengundian sehingga beliau menang sebagai Adun yang baru di Tamparuli," kata seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Juliana.

Dr Julia terlibat aktif sebagai pemimpin melayani masyarakat melalui tidak kurang lapan NGO atau platform. Platform itu termasuklah SABATA, 100 Wanita Inspirasi Sabah, Persatuan Ibu Tunggal Pantai Barat Sabah, Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah, Persatuan Wanita Progresif Sabah, Persatuan Orang Kerdil Sabah, Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah dan juga Alumni Australia Business College.

DUN Sabah dibubarkan pada 6 Oktober 2025 bagi membolehkan PRN ke-17 diadakan. Penamaan calon ialah pada 15 November ini manakala hari pengundian ialah pada 29 November.#

Warisan Challenges Armizan’s Claims: A Call for Transparency and Truth on Sabah’s Water Projects

                       Benedict Martin Gunir


Borneo Herald 
2.00PM MYT, 1-11-2025


KENINGAU : Parti Warisan Bingkor Coordinator Benedict Martin Gunir strongly rejects Papar MP Datuk Armizan Mohd Ali’s recent claims that Gabungan Rakyat Sabah (GRS) is more effective than Warisan in resolving Sabah’s water issues.

Benedict described Armizan’s remarks as misleading, politically motivated, and an attempt to take credit for projects that were planned and initiated under Warisan’s administration.

Warisan clarified that the key water projects mentioned by Armizan — the Kogopon Water Treatment Plant Phase 2 upgrade and the Kg Kabang intake upgrade — were conceptualized, approved, and set in motion during Warisan’s tenure (2018–2020).

Warisan was the first government in decades to seriously address Sabah’s dilapidated water infrastructure, implementing reforms to accelerate procurement and management despite inherited systemic neglect.

The party further explained that the delays Armizan blamed solely on Warisan were actually linked to federal-level processes, including the Notice of Change (NOC) on project costs — a matter managed by the Ministry of Finance and Economic Planning Unit (EPU) — and therefore beyond the state government’s direct control.

Warisan also reaffirmed that funding for these projects had already been secured under the 12th Malaysia Plan, prior to the GRS administration, directly disproving Armizan’s claim that GRS had to “secure” new funds.

While GRS highlights project progress, independent sources confirm that the Kogopon II Plant is only about 52% complete as of October 2025, with an expected completion in 2026.

This reality contradicts Armizan’s portrayal of rapid and effective project delivery, underscoring that the work remains ongoing — not an overnight success story.

Warisan also rejects the selective focus on Papar as a representation of Sabah’s entire water crisis, which continues to affect many districts across the state. The party stresses the need for comprehensive, statewide institutional reforms.

It is worth noting that Warisan had already begun reforms to curb political appointments and enhance transparency within the State Water Department — a process that appears to have been abandoned under GRS.

Benedict further pointed out the irony of Armizan’s “stop politicizing” remark, noting that his own statement was politically driven and timed just weeks before the Sabah state elections.

“This is not about politics — it’s about truth and accountability. Sabahans deserve clean water, not recycled election propaganda,” he said.

Warisan demands that GRS immediately publish full and verifiable data on all water infrastructure projects statewide, including detailed timelines, costs, and progress reports.

Sabahan citizens, he said, deserve transparency and accountable governance, not selective press releases designed for electioneering.#~Borneo Herald™

Kiandee Boleh Cakap Apa Sahaja — Tetapi Hanya Warisan Ada Pelan Sebenar untuk “Selamatkan Sabah

                                 Lucia Kihing

Borneo Herald 
11.02AM MYT, 1-11-2025


KOTA KINABALU : Parti Warisan hari ini menegaskan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee, yang mendakwa slogan “Sabah for Sabahans” sudah hilang makna akibat oportunisme politik, sebenarnya tersasar daripada isu sebenar — kerana masalah Sabah bukan soal slogan, tetapi soal kelangsungan hidup.

Ketua Wanita Warisan Pensiangan, Lucia Kihing, berkata Kiandee boleh mengkritik slogan sesuka hati, tetapi rakyat Sabah yang biasa sedang bergelut dengan kesan ketidaksamarataan, kemunduran, dan kehilangan kawalan negeri terhadap kekayaan sendiri sejak berdekad-dekad lamanya.

“Kiandee boleh memperlekeh slogan, tetapi rakyat Sabah tahu siapa yang benar-benar memperjuangkan masa depan negeri ini. Warisan bukan menjual slogan — Warisan berjuang untuk menyelamatkan Sabah,” kata Lucia.

Beliau berkata di bawah kerajaan pimpinan GRS ketika ini, Sabah terus bergantung dan terpinggir — masih menghantar keluar bahan mentah sementara keuntungan daripada pemprosesan, perdagangan, dan pelaburan dikawal pihak luar.

“Bertahun-tahun kita disuruh menunggu — menunggu pembangunan, menunggu keadilan, menunggu peluang. Tetapi yang makin berkembang hanyalah kebergantungan. Warisan satu-satunya parti yang benar-benar serius mahu memecahkan kitaran ini,” tambahnya.

Lucia menjelaskan bahawa pelan “Selamatkan Sabah” oleh Warisan bukan sekadar frasa politik, tetapi satu pelan hala tuju untuk membina semula maruah dan keupayaan Sabah melalui empat matlamat utama:

1. Mengembalikan hak penuh Sabah ke atas minyak, gas, dan sumber asli;

2. Membangunkan industri tempatan agar Sabah dapat menghasilkan dan menikmati keuntungan di negeri sendiri;

3. Mereformasi tadbir urus bagi menjamin ketelusan dan keadilan; dan

4. Memperkasa golongan belia Sabah melalui pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan sebenar.

“Apabila Datuk Shafie Apdal berkata ‘Selamatkan Sabah’, itu bukan soal politik — itu seruan untuk menuntut semula apa yang telah dirampas daripada kita. Ia tentang maruah, keadilan, dan masa depan anak-anak kita,” kata Lucia.

Beliau turut menolak dakwaan Kiandee bahawa “Sabah for Sabahans” hanyalah gimik politik, sebaliknya menegaskan slogan itu kekal relevan kerana ia mencerminkan tuntutan keadilan yang belum ditunaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika rakyat Sabah masih menyebut ‘Sabah for Sabahans’, itu kerana hak kita masih dinafikan. Slogan itu terus hidup kerana perjuangan kita belum selesai,” tegasnya.

Lucia menambah bahawa berbeza dengan parti-parti lain yang bergantung pada pakatan persekutuan, Warisan tetap berpendirian teguh memperjuangkan autonomi negeri, keadilan dalam perkongsian hasil persekutuan, serta memperkasakan rakyat di peringkat akar umbi.

“Warisan bukan di sini untuk bermain politik seperti biasa. Kami di sini untuk membetulkan sistem agar rakyat Sabah tidak lagi perlu merayu untuk sesuatu yang sememangnya hak mereka,” ujarnya.

Lucia menegaskan bahawa pilihan sebenar dalam pilihan raya akan datang bukan antara slogan, tetapi antara mereka yang mahu Sabah terus bergantung — dan mereka yang berani untuk menyelamatkan Sabah.

“Warisan adalah pilihan rakyat kerana kami ada keberanian, pelan, dan visi untuk membina semula masa depan Sabah. Cukuplah menunggu — inilah masanya untuk menyelamatkan Sabah,” kata Lucia.#~Borneo Herald™

CAMOS: Sabah Mengeluarkan, Orang Lain Mengaut Untung

                             Johnny S H Liew 

Borneo Herald
10.07AM MYT, 31-10-2025


Oleh Johnny S H Liew
CHANGE Advocate Movement of Sabah (CAMOS) menegaskan bahawa Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–AS (ART 2025) tidak akan membawa manfaat sebenar kepada Sabah selagi negeri ini tidak diberi kuasa dan keupayaan yang nyata untuk berdagang serta mengeksport atas terma sendiri, melalui saluran dan infrastrukturnya sendiri.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, yang mengatakan bahawa perjanjian tersebut “turut memberi manfaat kepada Sabah,” CAMOS menegaskan bahawa kenyataan itu — walaupun mungkin benar di atas kertas — tidak menggambarkan manfaat ekonomi sebenar yang dirasai oleh rakyat dan pengeluar di Sabah.

Ekonomi Sabah pada tahun 2024 mencatat nilai dagangan melebihi RM100 bilion untuk tahun ketiga berturut-turut. Namun, negeri ini masih berdepan cabaran struktur yang mendalam. Eksport Sabah berjumlah RM61.3 bilion, manakala import meningkat lebih 10%, menyebabkan lebihan dagangan mengecil kepada hanya RM14.9 bilion. Ini mencerminkan kebergantungan berterusan Sabah terhadap pemprosesan luar negeri serta import barangan bernilai tambah dari luar.

Komoditi utama eksport — minyak mentah, kelapa sawit dan gas asli cecair (LNG) — menyumbang lebih 70% daripada jumlah eksport, namun kebanyakannya diproses dan dieksport melalui pelabuhan serta kemudahan di Semenanjung Malaysia. Ini menyebabkan Sabah terus kehilangan peluang nilai tambah dan keuntungan tempatan.

“Sabah kekal sebagai pembekal bahan mentah sementara pihak lain meraih keuntungan daripada pemprosesan hiliran dan logistik eksport,” tegas CAMOS.

CAMOS turut menekankan bahawa ketiadaan autonomi pelabuhan serta infrastruktur eksport yang mencukupi di bawah kawalan Sabah terus memperburuk ketidakseimbangan ini.

Walaupun rancangan menaik taraf Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sedang dijalankan — dengan kerjasama sektor swasta untuk meningkatkan kapasiti kepada 1.25 juta TEU menjelang 2025 — CAMOS menegaskan bahawa pelaburan tambahan, sokongan undang-undang, serta tadbir urus di bawah kuasa kerajaan negeri amat penting agar Sabah benar-benar mendapat manfaat daripada pertumbuhan perdagangan.

Golongan pekebun kecil dan koperasi Sabah juga menghadapi cabaran besar kerana ramai yang masih gagal memenuhi piawaian pensijilan dan pematuhan buruh ketat Amerika Syarikat seperti RSPO, disebabkan kekurangan sokongan kewangan dan teknikal.

Sehubungan itu, CAMOS menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar melangkaui jaminan politik semata-mata dan memberi tumpuan kepada pelaburan strategik dalam bidang berikut:

Pembinaan loji pemprosesan dan industri hiliran;

Pembangunan hab logistik dan taman perindustrian; dan

Program promosi eksport berasaskan komuniti akar umbi untuk meningkatkan daya saing dan penyertaan inklusif.

Dalam konteks ini, CAMOS menggesa Parti Warisan — sekiranya diberi mandat semula — untuk menuntut agar Sabah diberi tempat di meja rundingan perdagangan, serta supaya klausa penglokalan (localisation clauses) dimasukkan dalam dasar perdagangan bagi memastikan pembahagian hasil eksport yang adil.

“Keadilan perdagangan sebenar hanya akan tercapai apabila Sabah dapat mengawal sendiri rantaian nilai perdagangannya, mengeksport secara langsung, dan memanfaatkan sumber semula jadinya bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan,” tambah CAMOS.

Akhir sekali, CAMOS menyeru Warisan agar mengadakan dialog terbuka dan kolaborasi berasaskan tindakan dengan Kerajaan Persekutuan bagi merombak ketidaksamarataan struktur dalam sistem perdagangan negara — dengan menumpukan kepada pelaksanaan konkrit, bukan sekadar retorik politik.

Hanya melalui langkah-langkah sebenar ini, barulah ART 2025 mampu menunaikan janjinya untuk Sabah dan Sarawak — mengubah peluang menjadi kemakmuran, bukan sekadar meninggalkan Sabah di pinggir sebagai pengeluar bahan mentah untuk keuntungan orang lain.

JOHNNY S H LIEW ialah Penyelaras
Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS)
Bahagian Kota Kinabalu#~Borneo Herald™

CAMOS: Warisan Perlu Lebih Martabatkan Sistem Mahkamah Anak Negeri Apabila Kembali Memerintah



Borneo Herald 
6.20AM MYT, 31-10-2025


KOTA KINABALU : Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS) hari ini menggesa Parti Warisan menjadikan reformasi Mahkamah Anak Negeri sebagai salah satu tiang utama dalam Pelan Selamatkan Sabah apabila parti itu kembali menerajui kerajaan, dengan menegaskan bahawa sistem tersebut perlu diangkat setaraf dengan kehakiman Syariah bagi memulihkan keadilan dan maruah masyarakat peribumi Sabah.

Presiden CAMOS, Daniel John Jambun, berkata langkah Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia dan memperbaiki skim perkhidmatan hakim-hakim Syariah seharusnya menjadi inspirasi kepada Sabah untuk melakukan perkara yang sama terhadap sistem Mahkamah Anak Negeri — salah satu institusi terpenting dalam pembinaan negeri dan identiti budaya Sabah.

“Jika kehakiman Syariah boleh diprofesionalkan melalui sebuah suruhanjaya kebangsaan, maka Mahkamah Anak Negeri — yang melindungi adat dan undang-undang masyarakat peribumi — juga layak menerima penghormatan, pengiktirafan institusi, dan kedudukan profesional yang setara,” katanya.

Beliau menambah, apabila Warisan kembali membentuk kerajaan, parti itu perlu segera menggubal Rang Undang-Undang Reformasi Mahkamah Anak Negeri bagi mentransformasikan sistem tersebut menjadi sebuah institusi kehakiman moden, bebas, dan profesional melalui penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Adat Sabah yang mempunyai kuasa ke atas perkara berikut:

Pelantikan dan kenaikan pangkat hakim serta ketua Mahkamah Anak Negeri;

Latihan profesional dan piawaian pensijilan;

Skim gaji serta faedah yang setara dengan kehakiman sivil; dan

Penubuhan Mahkamah Agung Adat sebagai badan rayuan tertinggi bagi kes-kes undang-undang adat.

“Mahkamah Anak Negeri tidak boleh lagi dilayan sebagai simbol upacara semata-mata. Ia adalah institusi keadilan hidup yang berakar dalam nilai dan budaya rakyat — jantung kepada identiti Momogun,” tegas Daniel.

Beliau turut mencadangkan agar umur persaraan hakim Mahkamah Anak Negeri dilanjutkan kepada 66 tahun, sejajar dengan reformasi yang dicadangkan dalam kehakiman Syariah, serta memastikan kebebasan kehakiman dan jaminan jawatan diperkukuh melalui mekanisme undang-undang yang sesuai.

“Reformasi ini bukan sekadar urusan pentadbiran — ia adalah soal maruah. Ia melambangkan hak kita untuk mentadbir keadilan mengikut adat sendiri dan memulihkan martabat sistem perundangan peribumi Sabah,” tambahnya lagi.

Daniel menegaskan bahawa reformasi Mahkamah Anak Negeri perlu dimasukkan ke dalam Pelan Selamatkan Sabah dan Rancangan Malaysia Ke-13 Sabah sebagai sebahagian daripada komitmen Warisan untuk memperkasa institusi tempatan, mengukuhkan autonomi negeri, dan memelihara integriti budaya.

“Apabila Warisan kembali mentadbir, ia mesti menunjukkan keberanian politik untuk mengangkat Mahkamah Anak Negeri ke tempat yang sewajarnya — sebagai tiang keadilan yang setara dengan mahkamah sivil dan Syariah,” katanya mengakhiri kenyataan.

Keadilan untuk Orang Asal, Maruah untuk Sabah.#~Borneo Herald™

Bakal Calon Parti Lokal Buat Hal Dalam Karaoke di Ranau?

                            Gambar Hiasan

Borneo Herald 
5.21PM MYT, 30-10-2025



RANAU : Seorang pemimpin pemuda sebuah parti lokal yang juga disebut-sebut "bakal calon" di Keranaan dikatakan telah menimbulkan huru-hara dan tidak senang dalam satu karaoke di sini semalam apabila dia mula "berceramah" politik di karaoke tersebut.

Suasana karaoke di Pasir Putih dekat sini dikatakan berubah kecoh selepas pemuda itu bertindak menjadikan bilik karaoke sebagai ‘pentas ceramah segera’ kira-kira jam 11 malam tadi.

Keadaan bertambah panas dan berakhir dengan insiden fizikal berikutan pemuda itu yang disertai rakan-rakannya tidak "menghormati" pengunjung karaoke berkenaan.

Mereka dikatakan singgah di karaoke berkenaan selepas menghadiri satu program parti yang berlangsung di Dewan Tokong Ranau sebelum itu.

Pemuda terbabit dikatakan masuk ke bilik karaoke dengan penuh semangat, namun bukannya memilih lagu, tetapi terus mencapai mikrofon dan berucap mengenai politik, seolah-olah sedang berkempen menjelang Pilihanraya Negeri.

Tindakan tersebut bukan sahaja merosakkan "mood" pengunjung lain, malah menimbulkan rasa kurang senang kerana ramai hadir untuk menyanyi dan melepaskan tekanan, bukan mendengar ‘manifesto versi karaoke’.

Seorang pelanggan kemudian menegur pemuda terbabit agar tidak menjadikan pusat hiburan sebagai gelanggang politik, tetapi teguran itu dikatakan memburukkan lagi keadaan.

Menurut saksi, berlaku pertikaman lidah apabila pemuda itu didakwa membalas dengan kata-kata sinis dan provokatif, kemudian mengakibatkan ketegangan memuncak dan berlaku tolak-menolak antaranya dan rakan-rakannya serta memukul pelanggan yang menegurnya.

Pelanggan itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka, hidung dan dada, sebelum beberapa individu campur tangan meleraikan pergaduhan.

Menurut sumber, satu laporan polis juga mahu dibuat supaya siasatan kes itu akan dijalankan di bawah kesalahan mengganggu ketenteraman awam.#~Borneo Herald™

Search This Blog