Borneo Herald
9.13PM MYT, 22-7-2026
Oleh Jayden Lisandu
KOTA BELUD : Aktivis terkenal Sabah, Dr Kanul Gindol, berkata Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim, perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berikutan 'skandal' RM200 juta wang KWAP lesap dalam pelaburan yang hampir tak wujud.
"Saya bersetuju dengan gesaan pemimpin PKR seperti MP Pasir Gudang agar Anwar meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan gara-gara isu KWAP atau Kumpulan Wang Persaraan yang lesap dalam pelaburan di Indonesia itu.
"Lebih dari itu, saya percaya Anwar sepatutnya turut meletak jawatan Perdana Menteri kerana kuasa Perdana Menteri adalah lebih besar dan tinggi dari Menteri Kewangan yang juga dirinya sendiri. Kedudukannya sukar dipertahankan," katanya mengulas isu itu.
Dr Kanul pernah menjadi Setiausaha Perhubungan Negeri PKR Sabah pada tahun 2006-2007, dan Setiausaha Politik Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika itu Naib Presiden PKR.
Di KUALA LUMPUR semalam, MP PKR, Hassan Abdul Karim, menggesa Anwar berhenti sebagai Menteri Kewangan selepas RM200 juta wang KWAP rugi dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, yang didakwa gagal.
Hassan mendakwa berlaku kecuaian besar dari aspek tadbir urus, kawalan serta proses membuat keputusan oleh Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP sehingga dana persaraan penjawat awam terdedah kepada risiko.
Beliau menyifatkan isu berkenaan sebagai perkara serius kerana KWAP dipertanggungjawabkan mengurus dana yang melibatkan kepentingan jutaan penjawat awam.
Menurut Hassan, pengalaman terdahulu berkaitan kontroversi SRC International sepatutnya menjadi pengajaran kepada KWAP supaya memperkukuh sistem kawalan dalaman dan penilaian pelaburan.
“Tidak serik dan mempelajari isu skandal SRC International oleh Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan Pengurusan tertinggi KWAP, kini mereka yang diamanahkan oleh negara melakukan kesalahan yang sama,” katanya.
Beliau menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan supaya mengarahkan siasatan forensik terhadap keputusan pelaburan berkenaan dan mengambil tindakan termasuk pemecatan sekiranya terdapat unsur kecuaian fidusiari, kegagalan tanggungjawab atau pelanggaran prinsip akauntabiliti.
Hassan turut mendakwa oleh kerana KWAP berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan, Anwar perlu mengambil tanggungjawab politik dengan melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan sebagai tanda akauntabiliti.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment