Top posts

Featured Posts

PBS Mula Buka Mulut Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja

PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah tahun depan sebagai tanda kesungguhan dan komitmen menangani masalah itu.

Beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan mengambil berat perkara itu memandangkan permintaan tersebut sudah ‘agak lama’.

"Ini hanyalah panduan tetapi perlu diberi penekanan. Tumpuan seharusnya diberikan untuk menubuhkan suruhanjaya ini supaya hati rakyat Malaysia di Sabah akan lega dengan reaksi daripada pihak kerajaan.


"Banyak pihak terutama orang tempatan yang sering bertanya sama ada mereka ini benar-benar dilindungi sebagai warganegara Malaysia di Sabah. Sebab itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja seharusnya diwujudkan pada 2012," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita PBS sempena kongres parti itu yang ke-26 di KDCA, dekat sini.

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata pertambahan penduduk Sabah secara mendadak seharusnya membuka mata kerajaan untuk mengambil langkah drastik bagi mengatasi masalah PATI, sama seperti usaha ketara kerajaan dalam menangani masalah kemisikinan tegar di negeri ini.

Beliau berkata PBS yakin kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan melihat rayuan rakyat Sabah itu sebagai satu keutamaan, selaras konsep 1Malaysia.

Ditanya sama ada ini satu ‘ultimatum’, Pairin berkata PBS mengajukan cadangan itu dalam ‘kesederhanan’ demi kebaikan semua pihak khususnya penduduk tempatan.

Beliau juga berharap kerajaan Persekutan melihat isu mengenai status pelarian yang diberikan kepada warga Filipina dahulu kerana keadaan di negara itu, khususnya di bahagian selatan, sudah aman.

"Status pelarian di Sabah ini agar luar biasa kerana mereka masih berstatus pelarian sehingga sekarang, walaupun keadaan di negara asal mereka sudah berubah. Apa yang menjadi masalah ialah keadaan penempatan yang semakin 'buruk' yang mungkin menjejaskan kesihatan," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment

Search This Blog