Top posts

Featured Posts

Armizan Mengelirukan Rakyat — Warisan Tidak Gagal Dalam Projek Air Kogopon; Kelewatan Kerajaan Persekutuan dan Kelemahan GRS Menjadi Punca

Azhar Matusin, ADUN Darau merangkap Bendahari Agung Warisan Negeri.

Borneo Herald 
12.58PM MYT, 3-11-2025


KOTA KINABALU : Parti Warisan hari ini menafikan dakwaan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, bahawa kerajaan Warisan terdahulu “gagal menyiapkan” Projek Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 bernilai RM300 juta, sambil menyifatkan kenyataannya sebagai mengelirukan dan tidak jujur dari segi politik.

Bendahari Agung Parti Warisan, Azhar Matusin, berkata Armizan sengaja memutarbelitkan garis masa projek untuk menutup kelewatan dan kegagalan berterusan kerajaan GRS dalam menangani masalah bekalan air di Papar.

“Projek Kogopon Fasa 2 telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan mula dilaksanakan pada tahun 2019, iaitu kurang setahun selepas Warisan membentuk kerajaan,” kata Azhar.

“Kemajuan projek terganggu akibat kelewatan pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020–2021, dan kejatuhan kerajaan Warisan pada Julai 2020 — jauh sebelum projek itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.”

Azhar turut menegaskan bahawa kenyataan Armizan sendiri mengakui punca sebenar kelewatan adalah kegagalan Kerajaan Persekutuan menyiapkan Notis Perubahan (NOC) bagi pelarasan kos, memandangkan projek tersebut dibiayai melalui pinjaman mudah Persekutuan.

“Itu membuktikan kelewatan berpunca daripada birokrasi Persekutuan, bukannya kegagalan Warisan. Tiada kerajaan negeri — sama ada Warisan atau GRS — yang boleh meneruskan projek tanpa kelulusan Persekutuan,” tegasnya.

“Namun, daripada mengakui hakikat itu, Armizan memilih untuk memanipulasi isu ini demi kepentingan politik.”

Warisan Letak Asas — GRS Hanya Tumpang Nama

Azhar menjelaskan bahawa projek naik taraf Kogopon Fasa 2 serta projek pengambilan air Kg Kabang adalah kesinambungan daripada inisiatif yang dirancang dan direka bentuk semasa pentadbiran Warisan pada tahun 2019–2020 melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Warisan yang menyediakan asas perancangan dan memastikan projek-projek ini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). GRS hanya meneruskan pelaksanaan yang sudah dirancang oleh Warisan dan kemudian menuntut pujian,” jelas Azhar.

“Kalau Armizan mahu berbangga dengan kelulusan projek, beliau seharusnya jujur mengakui asasnya dibina oleh Warisan.”

Beliau menambah bahawa walaupun GRS telah memerintah sejak tahun 2020, projek Kogopon Fasa 2 hanya mula dibina pada Ogos 2023, manakala projek pengambilan air Kg Kabang hanya bermula pada tahun 2024 — menunjukkan bahawa kelewatan sebenar berlaku di bawah pentadbiran GRS, bukan Warisan.

GRS Gagal Menunaikan Tanggungjawab

“Selepas empat tahun, rakyat Papar masih berhadapan dengan paip kering, pencemaran klorida dan catuan air,” kata Azhar.

“Daripada mengambil tanggungjawab, Armizan memilih untuk menyalahkan kerajaan terdahulu — taktik lama untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan GRS sendiri.”

Beliau juga mengecam cubaan Armizan menyalahkan bekas Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan, sambil menyifatkannya sebagai serangan politik murahan.

“Semua orang tahu Ahli Parlimen tidak mempunyai kuasa meluluskan pinjaman mudah Persekutuan. Projek ini berada di bawah Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) — bukan di bawah pejabat Ahli Parlimen,” tegasnya.

Fokus Pada Penyelesaian, Bukan Alasan

“Rakyat Papar perlukan air bersih, bukan alasan lama yang diulang-ulang,” kata Azhar.

“Warisan tetap komited kepada penyelesaian struktur — memberi kuasa kepada negeri untuk merancang dan mengawal sistem air dan tenaga sendiri tanpa perlu menunggu kelulusan Persekutuan yang tiada kesudahan.”

“Sudah tiba masanya GRS berhenti menulis semula sejarah dan mula menunjukkan hasil sebenar,” beliau menegaskan.#~Borneo Herald™


Dr Julia Ongkili mengorak langkah ikut jejak bapanya Dr James Ongkili jadi Adun Tamparuli

Gambar lama Adun Tamparuli, Datuk Dr James Ongkili dan anaknya Dr Julia yang kini ikut langkah bapanya di DUN Tamparuli.

Borneo Herald 
1.56PM MYT, 2-11-2025


TAMPARULI : "Ke mana tumpah kuah kalau bukan ke nasi?" Dr Julia Emelda Ongkili bukanlah nama yang asing di Tamparuli. Beliau yang aktif melayani masyarakat sekian lama sebagai aktivis NGO kini menawarkan diri sebagai calon Adun Tamparuli.

Anak ke-4 daripada enam adik-beradik, anak mendiang Datuk Dr James Peter Ongkili dan Datin Margaret Ongkili ini dianggap ramai antara calon pilihanraya yang paling berpotensi diangkat menjadi Adun yang mesra didekati dan sentiasa sedia mendengar.

"Saya ingin mengikuti jejak mendiang bapa saya, Datuk James Ongkili, dalam politik khususnya memberikan khidmat kepada masyarakat Tamparuli, dan meneruskan legasi beliau," katanya kepada Borneo Herald ketika ditemui baru-baru ini.
                        Dr Julia Emelda Ongkili 

Dr Julia, 55, yang berpendidikan komunikasi perniagaan dan sains politik, juga percaya kaum wanita Sabah masih jauh ketinggalan dalam dunia politik, dan oleh sebab itulah beliau tampil ke depan.

"Dalam 10 tahun kebelakangan ini saya melibatkan diri sepenuhnya dalam kegiatan NGO. Sudah tiba masanya saya mencuba pula dalam kepimpinan politik.

"Saya rasa tidak sampai pun 30% bilangan wanita sebagai sama ada Adun mahupun Ahli Parlimen, maka sudah sampai masa kita wanita ambil bahagian memimpin Sabah," kata ibu kepada dua anak itu.

Dua anaknya, Anis Azielea, 32, yang juga sudah berumah tangga, dan Azrel Denilson, 23, hasil perkongsian dengan bekas suaminya Awang Fauzeh, turut menyokong penuh hasrat ibu mereka bukan saja dalam kegiatan NGO tetapi kini politik.

Dr Julia atau lebih mesra dipanggil Lea sahaja, sebenarnya memiliki penampilan yang sangat menarik dan menyenangkan. Semua ini mungkin diwarisinya dari kedua ibu bapanya ditambah pengalaman bekerja 10 tahun sebagai Pengurus Jualan di salah sebuah hotel terkemuka.
Dr Julia juga penerbit dan sedang menyiapkan biografi bapanya, Datuk Dr James P Ongkili, yang dijadual dilancar tidak lama lagi.

Semangat cekal Lea juga diwarisi dari kedua-dua ibu bapanya yang terkenal tidak pernah putus asa dengan mudah bahkan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan.

Ibunya, Datin Margaret, walau pada usia tuanya masih cergas dan sentiasa tersenyum. Datuk Dr James pula pada kemuncak kerjayanya pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Ini sebahagian jentera pilihanraya Dr Julia di DUN Tamparuli.

Sebelum terjun ke dunia politik,  Dr James merupakan pensyarah Sejarah di Universiti Malaya. Apakah anaknya Dr Julia bakal diberi kepercayaan rakyat Tamparuli menjadi Adun Tamparuli, kita akan dapat keputusannya pada 29 November ini.

Kata-kata hikmat "tiada yang mustahil dalam politik, apapun boleh terjadi..." mungkin sejarah bakal tercipta di Tamparuli tepat sebulan dari hari ini. Tamparuli kini dijangka menjadi medan pertempuran sengit enam hingga 10 calon pilihanraya, dan pada masa ini Dr Julia mungkin satu-satunya calon wanita di situ.

Bertanding atas tiket Parti Impian Sabah (PIS) sebuah parti lokal Sabah yang masih dianggap kecil, tidak mematahkan semangat beliau. "Jika rakyat menyukai dan percaya kepada kita, mereka pasti undi kita. Ramai juga calon yang menang tidak semestinya dari parti besar, bahkan calon bebas juga ada yang menang," tegasnya.

Dr Julia yang sudah melawat berulang kali di kesemua 11 daerah mengundi Tamparuli dilihat boleh membuat kejutan lebih-lebih lagi dengan penampilan beliau yang cepat ramah terutama sekali dengan kaum wanita.

Beliau yang berpengalaman luas dalam industri pelayanan seperti hotel dan juga perniagaan dan aktiviti kebajikan dilihat amat sesuai dipilih sebagai Adun. Ini ditambah lagi dengan fakta beliau sentiasa berada dalam kawasan Tamparuli mendampingi masyarakat, tidak seperti sesetengah calon pilihanraya yang hanya dilihat kelibat bila menjelang pilihanraya.

Dr Julia juga seorang yang pemurah, sering dilihat membawa ole-ole seperti bakul makanan kepada penduduk Tamparuli meskipun di luar musim pilihanraya.

"YB yang beginilah yang kami sukai. Sekarang semakin ramai mengenali Dr Julia dan saya sendiri berdoa sokongan itu terus meningkat menjelang hari pengundian sehingga beliau menang sebagai Adun yang baru di Tamparuli," kata seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Juliana.

Dr Julia terlibat aktif sebagai pemimpin melayani masyarakat melalui tidak kurang lapan NGO atau platform. Platform itu termasuklah SABATA, 100 Wanita Inspirasi Sabah, Persatuan Ibu Tunggal Pantai Barat Sabah, Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah, Persatuan Wanita Progresif Sabah, Persatuan Orang Kerdil Sabah, Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah dan juga Alumni Australia Business College.

DUN Sabah dibubarkan pada 6 Oktober 2025 bagi membolehkan PRN ke-17 diadakan. Penamaan calon ialah pada 15 November ini manakala hari pengundian ialah pada 29 November.#

Warisan Challenges Armizan’s Claims: A Call for Transparency and Truth on Sabah’s Water Projects

                       Benedict Martin Gunir


Borneo Herald 
2.00PM MYT, 1-11-2025


KENINGAU : Parti Warisan Bingkor Coordinator Benedict Martin Gunir strongly rejects Papar MP Datuk Armizan Mohd Ali’s recent claims that Gabungan Rakyat Sabah (GRS) is more effective than Warisan in resolving Sabah’s water issues.

Benedict described Armizan’s remarks as misleading, politically motivated, and an attempt to take credit for projects that were planned and initiated under Warisan’s administration.

Warisan clarified that the key water projects mentioned by Armizan — the Kogopon Water Treatment Plant Phase 2 upgrade and the Kg Kabang intake upgrade — were conceptualized, approved, and set in motion during Warisan’s tenure (2018–2020).

Warisan was the first government in decades to seriously address Sabah’s dilapidated water infrastructure, implementing reforms to accelerate procurement and management despite inherited systemic neglect.

The party further explained that the delays Armizan blamed solely on Warisan were actually linked to federal-level processes, including the Notice of Change (NOC) on project costs — a matter managed by the Ministry of Finance and Economic Planning Unit (EPU) — and therefore beyond the state government’s direct control.

Warisan also reaffirmed that funding for these projects had already been secured under the 12th Malaysia Plan, prior to the GRS administration, directly disproving Armizan’s claim that GRS had to “secure” new funds.

While GRS highlights project progress, independent sources confirm that the Kogopon II Plant is only about 52% complete as of October 2025, with an expected completion in 2026.

This reality contradicts Armizan’s portrayal of rapid and effective project delivery, underscoring that the work remains ongoing — not an overnight success story.

Warisan also rejects the selective focus on Papar as a representation of Sabah’s entire water crisis, which continues to affect many districts across the state. The party stresses the need for comprehensive, statewide institutional reforms.

It is worth noting that Warisan had already begun reforms to curb political appointments and enhance transparency within the State Water Department — a process that appears to have been abandoned under GRS.

Benedict further pointed out the irony of Armizan’s “stop politicizing” remark, noting that his own statement was politically driven and timed just weeks before the Sabah state elections.

“This is not about politics — it’s about truth and accountability. Sabahans deserve clean water, not recycled election propaganda,” he said.

Warisan demands that GRS immediately publish full and verifiable data on all water infrastructure projects statewide, including detailed timelines, costs, and progress reports.

Sabahan citizens, he said, deserve transparency and accountable governance, not selective press releases designed for electioneering.#~Borneo Herald™

Kiandee Boleh Cakap Apa Sahaja — Tetapi Hanya Warisan Ada Pelan Sebenar untuk “Selamatkan Sabah

                                 Lucia Kihing

Borneo Herald 
11.02AM MYT, 1-11-2025


KOTA KINABALU : Parti Warisan hari ini menegaskan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee, yang mendakwa slogan “Sabah for Sabahans” sudah hilang makna akibat oportunisme politik, sebenarnya tersasar daripada isu sebenar — kerana masalah Sabah bukan soal slogan, tetapi soal kelangsungan hidup.

Ketua Wanita Warisan Pensiangan, Lucia Kihing, berkata Kiandee boleh mengkritik slogan sesuka hati, tetapi rakyat Sabah yang biasa sedang bergelut dengan kesan ketidaksamarataan, kemunduran, dan kehilangan kawalan negeri terhadap kekayaan sendiri sejak berdekad-dekad lamanya.

“Kiandee boleh memperlekeh slogan, tetapi rakyat Sabah tahu siapa yang benar-benar memperjuangkan masa depan negeri ini. Warisan bukan menjual slogan — Warisan berjuang untuk menyelamatkan Sabah,” kata Lucia.

Beliau berkata di bawah kerajaan pimpinan GRS ketika ini, Sabah terus bergantung dan terpinggir — masih menghantar keluar bahan mentah sementara keuntungan daripada pemprosesan, perdagangan, dan pelaburan dikawal pihak luar.

“Bertahun-tahun kita disuruh menunggu — menunggu pembangunan, menunggu keadilan, menunggu peluang. Tetapi yang makin berkembang hanyalah kebergantungan. Warisan satu-satunya parti yang benar-benar serius mahu memecahkan kitaran ini,” tambahnya.

Lucia menjelaskan bahawa pelan “Selamatkan Sabah” oleh Warisan bukan sekadar frasa politik, tetapi satu pelan hala tuju untuk membina semula maruah dan keupayaan Sabah melalui empat matlamat utama:

1. Mengembalikan hak penuh Sabah ke atas minyak, gas, dan sumber asli;

2. Membangunkan industri tempatan agar Sabah dapat menghasilkan dan menikmati keuntungan di negeri sendiri;

3. Mereformasi tadbir urus bagi menjamin ketelusan dan keadilan; dan

4. Memperkasa golongan belia Sabah melalui pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan sebenar.

“Apabila Datuk Shafie Apdal berkata ‘Selamatkan Sabah’, itu bukan soal politik — itu seruan untuk menuntut semula apa yang telah dirampas daripada kita. Ia tentang maruah, keadilan, dan masa depan anak-anak kita,” kata Lucia.

Beliau turut menolak dakwaan Kiandee bahawa “Sabah for Sabahans” hanyalah gimik politik, sebaliknya menegaskan slogan itu kekal relevan kerana ia mencerminkan tuntutan keadilan yang belum ditunaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika rakyat Sabah masih menyebut ‘Sabah for Sabahans’, itu kerana hak kita masih dinafikan. Slogan itu terus hidup kerana perjuangan kita belum selesai,” tegasnya.

Lucia menambah bahawa berbeza dengan parti-parti lain yang bergantung pada pakatan persekutuan, Warisan tetap berpendirian teguh memperjuangkan autonomi negeri, keadilan dalam perkongsian hasil persekutuan, serta memperkasakan rakyat di peringkat akar umbi.

“Warisan bukan di sini untuk bermain politik seperti biasa. Kami di sini untuk membetulkan sistem agar rakyat Sabah tidak lagi perlu merayu untuk sesuatu yang sememangnya hak mereka,” ujarnya.

Lucia menegaskan bahawa pilihan sebenar dalam pilihan raya akan datang bukan antara slogan, tetapi antara mereka yang mahu Sabah terus bergantung — dan mereka yang berani untuk menyelamatkan Sabah.

“Warisan adalah pilihan rakyat kerana kami ada keberanian, pelan, dan visi untuk membina semula masa depan Sabah. Cukuplah menunggu — inilah masanya untuk menyelamatkan Sabah,” kata Lucia.#~Borneo Herald™

CAMOS: Sabah Mengeluarkan, Orang Lain Mengaut Untung

                             Johnny S H Liew 

Borneo Herald
10.07AM MYT, 31-10-2025


Oleh Johnny S H Liew
CHANGE Advocate Movement of Sabah (CAMOS) menegaskan bahawa Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–AS (ART 2025) tidak akan membawa manfaat sebenar kepada Sabah selagi negeri ini tidak diberi kuasa dan keupayaan yang nyata untuk berdagang serta mengeksport atas terma sendiri, melalui saluran dan infrastrukturnya sendiri.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, yang mengatakan bahawa perjanjian tersebut “turut memberi manfaat kepada Sabah,” CAMOS menegaskan bahawa kenyataan itu — walaupun mungkin benar di atas kertas — tidak menggambarkan manfaat ekonomi sebenar yang dirasai oleh rakyat dan pengeluar di Sabah.

Ekonomi Sabah pada tahun 2024 mencatat nilai dagangan melebihi RM100 bilion untuk tahun ketiga berturut-turut. Namun, negeri ini masih berdepan cabaran struktur yang mendalam. Eksport Sabah berjumlah RM61.3 bilion, manakala import meningkat lebih 10%, menyebabkan lebihan dagangan mengecil kepada hanya RM14.9 bilion. Ini mencerminkan kebergantungan berterusan Sabah terhadap pemprosesan luar negeri serta import barangan bernilai tambah dari luar.

Komoditi utama eksport — minyak mentah, kelapa sawit dan gas asli cecair (LNG) — menyumbang lebih 70% daripada jumlah eksport, namun kebanyakannya diproses dan dieksport melalui pelabuhan serta kemudahan di Semenanjung Malaysia. Ini menyebabkan Sabah terus kehilangan peluang nilai tambah dan keuntungan tempatan.

“Sabah kekal sebagai pembekal bahan mentah sementara pihak lain meraih keuntungan daripada pemprosesan hiliran dan logistik eksport,” tegas CAMOS.

CAMOS turut menekankan bahawa ketiadaan autonomi pelabuhan serta infrastruktur eksport yang mencukupi di bawah kawalan Sabah terus memperburuk ketidakseimbangan ini.

Walaupun rancangan menaik taraf Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sedang dijalankan — dengan kerjasama sektor swasta untuk meningkatkan kapasiti kepada 1.25 juta TEU menjelang 2025 — CAMOS menegaskan bahawa pelaburan tambahan, sokongan undang-undang, serta tadbir urus di bawah kuasa kerajaan negeri amat penting agar Sabah benar-benar mendapat manfaat daripada pertumbuhan perdagangan.

Golongan pekebun kecil dan koperasi Sabah juga menghadapi cabaran besar kerana ramai yang masih gagal memenuhi piawaian pensijilan dan pematuhan buruh ketat Amerika Syarikat seperti RSPO, disebabkan kekurangan sokongan kewangan dan teknikal.

Sehubungan itu, CAMOS menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar melangkaui jaminan politik semata-mata dan memberi tumpuan kepada pelaburan strategik dalam bidang berikut:

Pembinaan loji pemprosesan dan industri hiliran;

Pembangunan hab logistik dan taman perindustrian; dan

Program promosi eksport berasaskan komuniti akar umbi untuk meningkatkan daya saing dan penyertaan inklusif.

Dalam konteks ini, CAMOS menggesa Parti Warisan — sekiranya diberi mandat semula — untuk menuntut agar Sabah diberi tempat di meja rundingan perdagangan, serta supaya klausa penglokalan (localisation clauses) dimasukkan dalam dasar perdagangan bagi memastikan pembahagian hasil eksport yang adil.

“Keadilan perdagangan sebenar hanya akan tercapai apabila Sabah dapat mengawal sendiri rantaian nilai perdagangannya, mengeksport secara langsung, dan memanfaatkan sumber semula jadinya bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan,” tambah CAMOS.

Akhir sekali, CAMOS menyeru Warisan agar mengadakan dialog terbuka dan kolaborasi berasaskan tindakan dengan Kerajaan Persekutuan bagi merombak ketidaksamarataan struktur dalam sistem perdagangan negara — dengan menumpukan kepada pelaksanaan konkrit, bukan sekadar retorik politik.

Hanya melalui langkah-langkah sebenar ini, barulah ART 2025 mampu menunaikan janjinya untuk Sabah dan Sarawak — mengubah peluang menjadi kemakmuran, bukan sekadar meninggalkan Sabah di pinggir sebagai pengeluar bahan mentah untuk keuntungan orang lain.

JOHNNY S H LIEW ialah Penyelaras
Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS)
Bahagian Kota Kinabalu#~Borneo Herald™

CAMOS: Warisan Perlu Lebih Martabatkan Sistem Mahkamah Anak Negeri Apabila Kembali Memerintah



Borneo Herald 
6.20AM MYT, 31-10-2025


KOTA KINABALU : Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS) hari ini menggesa Parti Warisan menjadikan reformasi Mahkamah Anak Negeri sebagai salah satu tiang utama dalam Pelan Selamatkan Sabah apabila parti itu kembali menerajui kerajaan, dengan menegaskan bahawa sistem tersebut perlu diangkat setaraf dengan kehakiman Syariah bagi memulihkan keadilan dan maruah masyarakat peribumi Sabah.

Presiden CAMOS, Daniel John Jambun, berkata langkah Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia dan memperbaiki skim perkhidmatan hakim-hakim Syariah seharusnya menjadi inspirasi kepada Sabah untuk melakukan perkara yang sama terhadap sistem Mahkamah Anak Negeri — salah satu institusi terpenting dalam pembinaan negeri dan identiti budaya Sabah.

“Jika kehakiman Syariah boleh diprofesionalkan melalui sebuah suruhanjaya kebangsaan, maka Mahkamah Anak Negeri — yang melindungi adat dan undang-undang masyarakat peribumi — juga layak menerima penghormatan, pengiktirafan institusi, dan kedudukan profesional yang setara,” katanya.

Beliau menambah, apabila Warisan kembali membentuk kerajaan, parti itu perlu segera menggubal Rang Undang-Undang Reformasi Mahkamah Anak Negeri bagi mentransformasikan sistem tersebut menjadi sebuah institusi kehakiman moden, bebas, dan profesional melalui penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Adat Sabah yang mempunyai kuasa ke atas perkara berikut:

Pelantikan dan kenaikan pangkat hakim serta ketua Mahkamah Anak Negeri;

Latihan profesional dan piawaian pensijilan;

Skim gaji serta faedah yang setara dengan kehakiman sivil; dan

Penubuhan Mahkamah Agung Adat sebagai badan rayuan tertinggi bagi kes-kes undang-undang adat.

“Mahkamah Anak Negeri tidak boleh lagi dilayan sebagai simbol upacara semata-mata. Ia adalah institusi keadilan hidup yang berakar dalam nilai dan budaya rakyat — jantung kepada identiti Momogun,” tegas Daniel.

Beliau turut mencadangkan agar umur persaraan hakim Mahkamah Anak Negeri dilanjutkan kepada 66 tahun, sejajar dengan reformasi yang dicadangkan dalam kehakiman Syariah, serta memastikan kebebasan kehakiman dan jaminan jawatan diperkukuh melalui mekanisme undang-undang yang sesuai.

“Reformasi ini bukan sekadar urusan pentadbiran — ia adalah soal maruah. Ia melambangkan hak kita untuk mentadbir keadilan mengikut adat sendiri dan memulihkan martabat sistem perundangan peribumi Sabah,” tambahnya lagi.

Daniel menegaskan bahawa reformasi Mahkamah Anak Negeri perlu dimasukkan ke dalam Pelan Selamatkan Sabah dan Rancangan Malaysia Ke-13 Sabah sebagai sebahagian daripada komitmen Warisan untuk memperkasa institusi tempatan, mengukuhkan autonomi negeri, dan memelihara integriti budaya.

“Apabila Warisan kembali mentadbir, ia mesti menunjukkan keberanian politik untuk mengangkat Mahkamah Anak Negeri ke tempat yang sewajarnya — sebagai tiang keadilan yang setara dengan mahkamah sivil dan Syariah,” katanya mengakhiri kenyataan.

Keadilan untuk Orang Asal, Maruah untuk Sabah.#~Borneo Herald™

Bakal Calon Parti Lokal Buat Hal Dalam Karaoke di Ranau?

                            Gambar Hiasan

Borneo Herald 
5.21PM MYT, 30-10-2025



RANAU : Seorang pemimpin pemuda sebuah parti lokal yang juga disebut-sebut "bakal calon" di Keranaan dikatakan telah menimbulkan huru-hara dan tidak senang dalam satu karaoke di sini semalam apabila dia mula "berceramah" politik di karaoke tersebut.

Suasana karaoke di Pasir Putih dekat sini dikatakan berubah kecoh selepas pemuda itu bertindak menjadikan bilik karaoke sebagai ‘pentas ceramah segera’ kira-kira jam 11 malam tadi.

Keadaan bertambah panas dan berakhir dengan insiden fizikal berikutan pemuda itu yang disertai rakan-rakannya tidak "menghormati" pengunjung karaoke berkenaan.

Mereka dikatakan singgah di karaoke berkenaan selepas menghadiri satu program parti yang berlangsung di Dewan Tokong Ranau sebelum itu.

Pemuda terbabit dikatakan masuk ke bilik karaoke dengan penuh semangat, namun bukannya memilih lagu, tetapi terus mencapai mikrofon dan berucap mengenai politik, seolah-olah sedang berkempen menjelang Pilihanraya Negeri.

Tindakan tersebut bukan sahaja merosakkan "mood" pengunjung lain, malah menimbulkan rasa kurang senang kerana ramai hadir untuk menyanyi dan melepaskan tekanan, bukan mendengar ‘manifesto versi karaoke’.

Seorang pelanggan kemudian menegur pemuda terbabit agar tidak menjadikan pusat hiburan sebagai gelanggang politik, tetapi teguran itu dikatakan memburukkan lagi keadaan.

Menurut saksi, berlaku pertikaman lidah apabila pemuda itu didakwa membalas dengan kata-kata sinis dan provokatif, kemudian mengakibatkan ketegangan memuncak dan berlaku tolak-menolak antaranya dan rakan-rakannya serta memukul pelanggan yang menegurnya.

Pelanggan itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka, hidung dan dada, sebelum beberapa individu campur tangan meleraikan pergaduhan.

Menurut sumber, satu laporan polis juga mahu dibuat supaya siasatan kes itu akan dijalankan di bawah kesalahan mengganggu ketenteraman awam.#~Borneo Herald™

Perjanjian Perdagangan AS–Malaysia Boleh Jejaskan Kedaulatan Sumber Sabah — BoPiMaFo Desak Pusat Rundingi Negeri

                         Daniel John Jambun 

Borneo Herald 
5.16PM MYT, 30-10-2025


KOTA KINABALU : The Borneo Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo) hari ini menyuarakan kebimbangan serius terhadap Perjanjian Perdagangan AS–Malaysia yang baru ditandatangani, dengan memberi amaran bahawa perjanjian tersebut boleh menjejaskan kawalan Sabah terhadap sumber aslinya sendiri termasuk minyak, gas, dan mineral kritikal — secara langsung melanggar semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

BoPiMaFo berkata pihaknya berkongsi kebimbangan yang dibangkitkan oleh kumpulan masyarakat sivil Aliran, yang mempersoalkan sifat berat sebelah dan tidak telus perjanjian yang ditandatangani di Washington pada 26 Oktober 2025 itu, sambil menggambarkannya sebagai ancaman terhadap kedaulatan ekonomi dan autonomi strategik Malaysia.

“Ini bukan sekadar perjanjian perdagangan — ia adalah komitmen politik dan ekonomi jangka panjang yang menjejaskan hak perlembagaan Sabah terhadap tanah dan sumbernya,” kata Presiden BoPiMaFo, Daniel J. Jambun.

“Jika Malaysia telah menandatangani perjanjian yang menyerahkan hak untuk mengawal eksport unsur nadir bumi, minyak, gas atau mineral tanpa berunding dengan Sabah, maka Kerajaan Persekutuan telah melampaui batas perlembagaannya di bawah MA63.”

Hak Sumber Sabah Diabaikan

BoPiMaFo menegaskan bahawa salah satu klausa dalam perjanjian itu dilaporkan melarang Malaysia daripada mengenakan kuota eksport atau sekatan ke atas unsur nadir bumi dan “mineral kritikal” lain ke Amerika Syarikat.

“Klausa ini sahaja sudah cukup untuk menafikan kuasa negeri kaya sumber seperti Sabah daripada mengawal kekayaan semula jadinya sendiri. Ia menukar Malaysia menjadi pembekal bahan mentah kepada industri AS sambil menafikan peluang pembangunan hiliran tempatan,” kata Daniel.

“Itu bukanlah bentuk perkongsian — itu adalah penjajahan ekonomi moden," katanya.

Beliau menambah bahawa ketiadaan jaminan timbal balik berkaitan pemindahan teknologi, pemprosesan nilai tambah atau perlindungan alam sekitar bermaksud sumber terhad Sabah boleh dihabiskan tanpa manfaat jangka panjang kepada rakyatnya.

Komitmen Pembelian LNG RM3.4 Bilion Amat Membimbangkan

BoPiMaFo turut menyorot laporan mengenai komitmen Malaysia untuk membeli sehingga RM3.4 bilion setahun gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat melalui perjanjian jangka panjang Petronas.

“Ini sesuatu yang tidak masuk akal — Malaysia, khususnya Sabah, sendiri merupakan pengeluar gas. Mengapa Petronas perlu membeli LNG dari AS sedangkan gas Sabah sendiri masih kurang dimanfaatkan?” soal Daniel.
“Perjanjian seperti ini memperlekeh usaha Sabah untuk menegaskan hak pemilikan dan penyertaan hiliran melalui SMJ Energy. Ia berisiko menyingkirkan Sabah daripada potensi tenaga masa depannya sendiri.”

Tamparan Kepada Ketelusan dan Keneutralan

BoPiMaFo turut memberi amaran bahawa peruntukan dalam perjanjian tersebut mengenai perdagangan digital, kerjasama keselamatan nasional, dan penyelarasan peraturan boleh memperkukuh pengaruh AS terhadap dasar awam Malaysia, sekali gus melemahkan pengawasan di peringkat nasional dan negeri.

“Komitmen untuk ‘mengukuhkan kerjasama ekonomi dan keselamatan nasional’ dengan AS meningkatkan risiko geopolitik kepada Sabah yang terletak di tengah-tengah rantau Laut China Selatan. Kita tidak mampu menjadi bidak dalam persaingan kuasa besar,” kata Daniel.

Beliau menambah bahawa tindakan menandatangani perjanjian sejauh ini tanpa penelitian Parlimen atau rundingan dengan kerajaan negeri merupakan penyalahgunaan kuasa eksekutif yang menjejaskan demokrasi dan sistem persekutuan.

Sabah Mesti Dirunding

BoPiMaFo mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa hak Sabah terhadap tanah, hutan dan sumber asli telah dijamin di bawah MA63, Perlembagaan Persekutuan dan Laporan IGC, dan tidak boleh digadaikan secara unilateral dalam mana-mana perjanjian perdagangan antarabangsa.

“Tiada perdana menteri, kabinet, atau kementerian yang mempunyai kuasa untuk menyerahkan sumber Sabah kepada kuasa asing tanpa persetujuan Kerajaan Negeri,” kata Daniel.
“Jika perjanjian ini menyentuh sumber minyak, gas atau mineral Sabah — walaupun secara tidak langsung — ia mesti dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen dan diteliti oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.”

Seruan Untuk Pendedahan Penuh dan Langkah Perlindungan

BoPiMaFo menggesa Kerajaan Persekutuan untuk:

1. Menerbitkan teks penuh Perjanjian Perdagangan AS–Malaysia untuk penelitian umum dan Parlimen.

2. Mendedahkan semua klausa yang berkaitan dengan sumber asli, tenaga, dasar digital dan kerjasama keselamatan nasional.

3. Berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan pematuhan kepada MA63.

4. Menyertakan klausa tamat tempoh (sunset clause) dan hak rundingan semula bagi mana-mana komitmen yang melibatkan sumber semula jadi yang terhad.

“Jika perjanjian ini benar-benar memberi manfaat kepada Malaysia, ia sepatutnya mampu menahan ujian ketelusan penuh. Apa-apa yang kurang daripada itu menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan,” kata Daniel.#~Borneo Herald™

Veteran Warisan lwn Veteran GRS : Kemajuan dan Perpaduan Bukan Hasil Kerja GRS, kata Warisan


              Ignatius            Lwn        James

Borneo Herald 
4.49PM MYT, 30-10-2025


Retorik Emosi Tidak Mampu Menutup Realiti Pahit Sabah — Ombudsman Warisan Jawab Artikel James Ligunjang

KOTA KINABALU : Ombudsman Outreach Parti Warisan hari ini menolak dakwaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk James Ligunjang, dalam artikelnya bertajuk “Vote for GRS to safeguard our future, our hope, and our Sabah”, yang disifatkan sebagai cubaan sentimental dan romantik untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan GRS dalam menangani isu sebenar ekonomi dan tadbir urus di Sabah.

Wakil Ombudsman Warisan, Ignatius Matayun, berkata artikel tersebut sarat dengan bahasa puitis mengenai “harapan”, “perpaduan” dan “kestabilan”, namun langsung tidak menunjukkan asas fakta untuk menyokong dakwaan kemajuan kerajaan GRS di bawah Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

“Ironinya, setelah lima tahun berkuasa, mereka masih bergantung kepada slogan indah dan bukannya data yang telus. Rakyat Sabah berhak mendapat bukti perubahan sebenar — bukan janji lama yang dibungkus semula dengan kata-kata manis,” kata Ignatius.

1️⃣ ‘Pendapatan Luar Biasa’ Tetapi Kemiskinan Juga Luar Biasa

Katanya dakwaan kononnya hasil negeri Sabah mencapai tahap “tertinggi dalam sejarah” adalah mengelirukan.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan hasil itu berpunca daripada kenaikan sementara harga komoditi global, bukan hasil daripada reformasi struktur oleh kerajaan negeri.

“Jika benar hasil meningkat begitu tinggi, mengapa sekolah masih roboh, hospital sesak, dan jalan luar bandar masih teruk? Ke mana wang itu pergi?”

Beliau menegaskan, “Pertumbuhan hasil tanpa pengagihan adil bukan kemajuan — itu hanya ilusi.”

Ignatius turut mendedahkan bahawa sebahagian besar peruntukan pembangunan tidak pun masuk ke Dana Disatukan Negeri (State Consolidated Fund), dan hanya sekitar 60% daripada jumlah peruntukan benar-benar dibelanjakan, manakala selebihnya dipulangkan semula ke Perbendaharaan Persekutuan — bukti jelas ketidakcekapan dan kelemahan tadbir urus.

2️⃣ Kestabilan atau Kejumudan?

Artikel tersebut menggambarkan Hajiji sebagai lambang “kestabilan”.
Namun Ignatius berhujah bahawa satu-satunya kestabilan di bawah GRS ialah kejumudan politik dan pengukuhan kuasa elit.

“Sabah telah menyaksikan dua kali perubahan jajaran politik besar sejak 2020, lompat parti berulang kali, dan kerajaan yang hidup atas ihsan peruntukan Persekutuan. Itu bukan kestabilan — itu kebergantungan,” tegasnya.

Katanya lagi, kestabilan sebenar hanya wujud melalui tadbir urus baik, ketelusan, dan akauntabiliti — bukan melalui ketakutan atau kawalan kuasa.

3️⃣ Retorik Kosong ‘Cinta kepada Sabah’

Katanya Ignatius adalah tidak wajar untuk menyamakan sokongan kepada GRS dengan “cinta kepada Sabah”.

“Mencintai Sabah bermakna menuntut tadbir urus yang lebih baik, mempertahankan hak kita di bawah MA63, dan memastikan setiap ringgit hasil negeri dinikmati rakyat. Kesetiaan buta kepada kerajaan yang gagal bukan tanda cinta — itu tanda menyerah,” katanya.

4️⃣ Kontradiksi MA63

Menjawab dakwaan Ligunjang bahawa kerjasama GRS dengan PH kononnya memastikan hak MA63 dilindungi, Ignatius berkata fakta menunjukkan sebaliknya.

“Jika hak kita benar-benar dihormati, mengapa Kerajaan Persekutuan merayu keputusan mahkamah yang memihak kepada Sabah dalam isu 40% hasil bersih Persekutuan?”

“GRS memilih untuk berdiam diri — mengutamakan keselesaan politik berbanding tanggungjawab perlembagaan. Pendiran Warisan jelas — kami tidak akan menggadaikan hak perlembagaan Sabah demi kepentingan politik,” tegasnya.

5️⃣ Keharmonian Sabah Wujud Bukan Kerana GRS, Tetapi Walau Tanpa GRS

Ignatius turut menolak cubaan memberi kredit kepada GRS atas keharmonian kaum dan agama di Sabah, sambil menegaskan bahawa rakyat Sabah telah hidup dalam aman dan harmoni jauh sebelum GRS wujud.

“Perpaduan pelbagai kaum dan agama adalah jiwa Sabah, bukan hasil GRS. Malangnya kini ia dijadikan bahan politik untuk menutup kegagalan pentadbiran,” katanya.

6️⃣ GRS Bukan GPS

Beliau menyifatkan perbandingan antara GRS dan GPS yang dibuat oleh Ligunjang sebagai “tidak masuk akal”.

“GPS menegaskan autonomi Sarawak, mengurus sendiri minyak dan gasnya, dan mempertahankan hak negeri walaupun berdepan tekanan Persekutuan. GRS pula bergantung sepenuhnya kepada belas ihsan Putrajaya,” katanya.

Menurut Ignatius perbezaan paling ketara ialah GPS tidak mempunyai parti berasaskan Semenanjung dalam gabungannya, sedangkan GRS turut dianggotai oleh PKR, DAP dan juga PAS — semua parti dari Semenanjung dengan agenda nasional masing-masing.

"Bagaimana GRS boleh mendakwa memperjuangkan autonomi Sabah, sedangkan mereka berkongsi kuasa dengan parti-parti yang mewakili kepentingan Persekutuan?” katanya.

“Ini sahaja sudah cukup membongkar kontradiksi besar dalam naratif GRS,” tambahnya.

7️⃣ Kultus Kepimpinan

Ignatius turut memberi amaran terhadap cubaan membentuk naratif bahawa Hajiji ialah “pelindung” atau “penyelamat” Sabah.

"Sabah tidak perlukan penyelamat peribadi. Yang Sabah perlukan ialah institusi yang melindungi rakyat daripada penyelewengan, rasuah dan ketidaksamaan. Pemimpin datang dan pergi — tetapi institusi mesti kekal,” katanya.

8️⃣ Seruan Sebenar — Selamatkan Sabah

Ignatius menegaskan bahawa seruan perjuangan Warisan, “Selamatkan Sabah”, adalah jauh lebih bermakna berbanding slogan kosong seperti “Sabah for Sabahans” atau “Rumah Kita, Kita Jaga”.

“Seruan Warisan bukan sekadar sentimental — ia bersifat perjuangan sebenar. Kita mesti menyelamatkan Sabah daripada ketagihan kebergantungan, rasuah, dan pengkhianatan terhadap hak negeri. Itulah makna sebenar ‘Selamatkan Sabah’,” katanya lagi.#Borneo Herald™

Presiden Suara Mahasiswa Sabah, Sudirman, ditahan polis


Borneo Herald 
2.05PM MYT, 28-10-2025


Kenyataan / dakwaan dari Suara Mahasiswa UMS baru tadi :

KAMI ingin memaklumkan bahawa saudara Sudirman Arshad atau Aiman (Presiden Suara Mahasiswa Sabah) kini ditahan secara tidak sah oleh pihak polis sekarang di bawah:

1) Akta Hasutan
2) Seksyen 509 Kanun Keseksaan

Beliau pada asalnya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan di bahagian siasatan & penguatkuasaan trafik, namun secara mengejut telah dikepung di balai oleh sebilangan anggota polis dan dipaksa untuk menjalani soalsiasat mengenai Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0.

Polis telah melanggar Notis 111 serta persetujuan antara Aiman dan IO bertugas untuk soalsiasat dijalankan pada November 2025, kini Aiman ditahan, diintimidasi bersendirian tanpa peguam yang mewakili.
Tindakan penahanan ini adalah tidak wajar dan mencurigakan, memandangkan panggilan rasmi pada 1 November dikeluarkan terhadap beliau sebelum ini.

Kami menggesa pihak polis untuk membebaskan saudara Aiman dengan segera dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta hak asasi individu.
Antara mesej diterima Borneo Herald berhubung penahanan Aiman itu hari ini.

Penahanan tanpa sebab yang jelas ini hanya menimbulkan persepsi bahawa undang-undang sedang disalahgunakan untuk menekan aktivis dan anak muda yang bersuara.#~Borneo Herald™

Search This Blog