Top posts

Featured Posts

Kenyataan Penuh Pendirian Warisan Ranau terhadap isu cari gali emas di kawasan Kg Bongkud, Ranau

           

             Markos Situn, Ketua Warisan Ranau

RAMAI orang tertanya tanya apakah pendirian Warisan Ranau terhadap isu lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk mencari gali emas di Bukit Tompong, Kg Bongkud, Ranau, yang telah mengundang pelbagai reaksi baik daripada pihak individu, NGOs mahupun pihak yang mewakili parti parti politik. 

Sebagai seorang yang berasal dari Kg. Bongkud, saya terpanggil untuk membuat kenyataan ini bukanlah atas kepentingan politik tetapi atas keperihatinan terhadap kesan buruk yang bakal dihadapi oleh rakyat setempat akibat daripada aktiviti carigali yang bakal dilaksanakan. Kelambatan kenyataan ini adalah disebabkan bahawa Warisan amat berhati hati dalam apa jua yang diperkatakan demi mengelakkan daripada prasangka buruk serta diputar belitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Warisan bukan seperti parti parti lain yang sanggup melakukan apa saja termasuk berbohong serta membuat fitnah dengan tujuan menjatuhkan pihak lawan demi agenda politik kotor mereka. Warisan berpegang teguh kepada prinsip kebenaran. Pendirian Warisan adalah jelas, kita sokong apa yang baik untuk rakyat. Di sebalik itu, kita akan bantah dan bangkang apa yang memudaratkan kesejejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Sebagai sebuah negeri yang sedang membangun, Kerajaan Negeri Sabah tidak kira siapa penerajunya mestilah berhak mencari jalan meningkatkan hasil pendapatan bukan hanya melalui pertanian, perdagangan, perindustrian dan pelancongan tetapi juga menerokai sumber sumber alam semulajadi seperti hasil perhutanan, minyak dan galian demi menampung serta membiayai kemajuan dan pembangunan fisikal yang diperlukan oleh rakyat Sabah yang semakin meningkat. Kita tidak pertikaikan usaha itu. Kita kena akur kerana itu adalah hakikat dan realitinya. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana kita dianugerahkan kekayaan semulajadi yang tidak wujud di negeri negeri lain di Malaysia. Sayang sekali sekiranya kerajaan gagal untuk mengurus sumber tersebut untuk kepentingan rakyat.

Walaupun semua kegiatan ekonomi termasuk perlombongan itu perlu, tidak kira di manapun, namun ianya harus dilaksanakan secara berhati hati. Selain daripada mengkaji kesan dari segi baik buruknya, saya berpendapat bahawa kerajaan juga harus melibatkan rakyat terlebih dahulu melalui perbincangan demi mendapatkan persetujuan terutama di kawasan yang mempunyai densiti penduduk yang amat padat. Kekecohan yang berlaku sudah tentu tidak akan timbul sekiranya dalam apa juga perancangan kerajaan, sentiment rakyat harus diambil kira terlebih dahulu.

Lombong Tembaga Mamut sudah cukup untuk memberi kesedaran serta pengajaran kepada kita. Kesangsaraan yang dialami oleh rakyat akibat Lombong Tembaga Mamut adalah jauh lebuh buruk jika dibandingkan dengan menafaat yang dinikmati oleh rakyat Ranau. Masalah bekalan air, pencemaran alam sekitar, jangkitan pelbagai jenis penyakit kronik, kehilangan tanah, hakisan, bencana alam banjir, tanah runtuh dan ketidaktentuan iklim adalah antara gejala gejaja yang timbul akibat daripada lombong tersebut. Penderitaan itu akan kita rasai sehingga ke generasi generasi akan datang. Kita tidak mau kesangsaraan tersebut diburukkan lagi dengan kewujudan satu lagi aktiviti perlombongan, apa tah lagi ianya dijalankan ditengah tengah perkampungan.

Penerangan yang diberikan oleh Yang Berhormat ADUN N38 Paginatan baru baru ini amat dialu alukan. Walau bagaimanapun kenyataannya bahawa lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan itu hanyalah untuk mencarigali emas sahaja (prospecting for gold only) dan bukan melombong (not mining) adalah bagi saya tidaklah begitu meyakinkan. Harus diingat bahawa setiap kelulusan mencarigali itu sekiranya pencarian berhasil mesti diikuti dengan aktiviti melombong. Apa gunanya berbelanja besar untuk mencari emas sekiranya tidak bertujuan untuk melombong, tambahan pula sudah diketahui umum bahawa ada ura ura terdapatnya deposit emas di kawasan tersebut. Tidak wujud perbezaannya, sama ada lessen tersebut masih di peringkat prospecting atau melombong kerana kedua duanya tidak mendatangkan kebaikan. Bagi saya, lebih baik buat bantahan diperingkat awal daripada berbuat demikian apabila sudah terlambat.

Berdasarkan kepada faktor faktor yang disebutkan maka saya berpendapat bahawa bantahan keras terhadap pelaksanaan aktiviti carigali tersebut mempunyai justfikasi serta merit yang kukuh. Oleh yang demikian, ingin ditegaskan di sini bahawa Warisan Ranau akan sentiasa menyokong serta berdiri teguh di belakang rakyat terutama masyarakat Kg. Bongkud dan di sekitarnya untuk mendesak kerajaan supaya tidak meneruskan aktiviti cari gali itu demi kepentingan rakyat. Mengikut maklumat terbaru yang saya terima, kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan lesen mencarigali tersebut. Sekiranya ini benar, maka saya menyeru masyarakat setempat tidak perlu lagi mengungkit isu tersebut demi keharmonian semua pihak. Saya berharap pengumuman tentang pembatalan lesen itu dapat dikeluarkan dalam masa yang terdekat demi meredakan keadaan.

Negeri Sabah sebenarnya mempunyai sumber kekayaan yang tiada tolok bandingnya dari segi nilai malahan lebih tinggi nilainya dari apa juga jenis sumber alam sama ada minyak, emas, berlian atau permata. Sekiranya kita perolehi sumber itu maka saya percaya dan yakin bahawa segala masalah rakyat Sabah, baik dari segi politik, ekonomi dan social akan dapat diselesaikan. Sumber kekayaan yang saya maksudkan adalah Perjanjian Malaysia 63 (MA63) asas pembentukan Malaysia. Tiada MA63 maka tiadalah Malaysia. Pendek kata, apa yang perlu adalah pelaksanaan MA63 secara keseluruhan demi melenyapkan suara suara sumbang yang menuntut bahawa negara Malaysia adalah milik satu satu bangsa sahaja.

Jika MA63 terlaksana kandungan pelbagai jenis galian seperti emas, tembaga, besi dan sebagainya tidak perlu digali. Kesemua itu boleh kita simpan dahulu untuk generasi akan datang. Pendapatan hasil daripada pelaksanaan syarat syarat dalam MA63 sudah memadai untuk menampung kesejahteraan hidup kita keakhir hayat. Kita sudah ada 20 peratus pendapatan minyak setiap tahun tidak termasuk tututan lebih satu trilion tunggakan semenjak 1976 dan hasil 40 peratus daripada kutipan cukai, hasil pertanian serta perladangan, pelancongan dan perikanan. Bayangkan menafaat yang dinikmati oleh rakyat jika perlaksaaan MA63 tercapai. Malahan rupa dan bentuk muka bumi Sabah pun akan berubah disebabkan oleh kemajuan dan pembangunan yang pesat.






Pencapaian perjuangan menuntut hak Sabah melalui pelaksanaan MA63 boleh dicapai sekiranya rakyat Sabah berbilang kaum bersatupadu dalam satu wadah perjuangan yang jitu.
Warisan adalah satu satunya parti tempatan tulin yang berpendirian tegas, ikhlas, dan konsisten memperjuangkan hak hak Sabah melalui pelaksanaan MA63. 

“WE ARE HERE TO BUILD A NATION, NOT A PARTICULAR RACE OR RELIGION”
“IN GOD WE TRUST, UNITE WE MUST”

MARKOS SITON
Ketua Bahagian 
Parti Warisan P. 179 Ranau

No comments:

Post a Comment

Search This Blog