Top posts

Featured Posts

Lapan pegawai imigresen diseret ke mahkamah

SHAH ALAM: Seramai lapan pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan rasuah berhubung urusan kemasukan warganegara Indonesia ke Malaysia.


Kesemua tertuduh berusia lingkungan 21-31 tahun dan seorang daripadanya wanita, di dakwa atas pertuduhan sama namun di hadapkan dalam mahkamah berasingan di sini hari ini.

Lapan pegawai terbabit didakwa menerima suapan daripada beberapa individu terlibat sebagai upah bagi memudahkan urusan kemasukan para penumpang warganegara Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut nilai yang mana lebih tinggi.

Jumlah suapan RM122,140
Mereka melakukan kesalahan itu dari 21 April hingga 17 Jun 2010 dengan jumlah keseluruhan suapan diterima kelapan-lapan tertuduh adalah sebanyak RM122,140.

Salah seorang tertuduh, Md Shahrizal Che Dan, 26, pegawai yang bertugas di bahagian perkapalan, Pelabuhan Klang Selatan, berdepan dengan 31 pertuduhan iaitu yang tertinggi berbanding pegawai lain dengan sogokan berjumlah RM51,760.

Sementara tertuduh wanita Nor Shahazlina Sulaiman, 25, didakwa atas satu kesalahan kerana menerima satu suapan sebanyak RM2,900.


Kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan dan hakim Esmadi Hussin menetapkan 5 Mei depan bagi sebutan kes mereka.

Esmadi kemudian menetapkan Md Shahrizal dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi 31 pertuduhan tersebut, manakala Nor Shahazlina RM6,000 dengan seorang penjamin.

Nor Shahazlina memohon agar wang jaminan dikurangkan dari RM10,000 kepada RM3,000, namun ditolak hakim memandangkan kesalahan yang dihadapinya adalah serius dan sepatutnya wang jaminan yang dikenakan atas kesalahan itu adalah sebanyak RM20,000.

Seorang lagi tertuduh iaitu Mohd Izuan, 25, turut berdepan 25 pertuduhan dengan nilai suapan sebanyak RM31,690.

Lima tertuduh lain termasuklah Mohd Khairul Haqimie Kamaruddin, Ahmad Zahed Abd Alim, Azmir Mahadi, Mohd Hafiz Zakaria dan Mohd Huzzail Ahmad.

Bagi empat tertuduh yang lain, Mohd Khairul, Ahmad Zahed, Azmir Mahadi dan Mohd Hafiz, mahkamah menetapkan 8 April (esok) sebagai sebutan kes.

Manakala dua tertuduh lain, Mohd Huzzail dan Mohd Izuan, kes mereka akan disebut semula pada 27 April depan.

Keenam-enam tertuduh itu, masing-masing dikenakan ikat jamin antara RM4,000 hingga RM5,000 dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog