Top posts

Featured Posts

Pembalakan 1,000 hektar bakal tambah kronik masalah bekalan air Ranau, kata aktivis

                            Jalibin Paidi


LIONEL GURING, 18-5-2023
Ranau : Seorang aktivis masyarakat Ranau hari ini mempersoalkan keputusan kerajaan negeri Sabah meluluskan 1,000 hektar untuk pembalakan di sini kepada sebuah syarikat dari Putatan.

Jalibin Paidi ketika dihubungi Borneo Herald hari ini, berkata pembalakan di kawasan seluas itu pasti mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan juga penduduk.

"Dari mana boleh dapat kawasan seluas 1,000 hektar di kawasan Nampasan Lama dan Tiang Lama? Kawasan kampung di situ tidakpun sampai 500 hektar masing-masing.

"Mungkinkah kawasan ini melarat hingga ke kampung-kampung lain berhampiran dalam Mukim Suminimpod di mana kedua-dua kampung ini terletak," ujarnya.

Jalibin yang juga bekas pengetua sekolah, mengenal pasti tiga sungai penting bakal tercemar teruk jika pembalakan di situ dibenarkan ialah Molout, Widu dan Liwagu.

"Banjir lebih teruk boleh berlaku nanti yang akan memusnahkan tanam-tanaman penduduk serta infrastruktur di sepanjang Sg Liwagu.

"Pusat eko-pelancongan yang sedang berkembang maju dan mendapat tarikan pelancongan antarabangsa di Kg Tiang Lama juga akan turut terjejas," katanya.

Kata Jalibin lagi, sumber ikan sungai yang banyak kampung di sepanjang sungai-sungai Molout, Widu dan Liwagu juga akan terjejas teruk.

"Terpenting, banyak anak sungai yang menjadi sumber bekalan air paip graviti juga akan terjejas, tercemar atau kering," katanya sambil menambah tindakan kerajaan GRS itu akan menyebabkan masalah bekalan air di Ranau bertambah kronik.#

No comments:

Post a Comment

Search This Blog