Top posts

Featured Posts

Dr Edwin Mampu Buat Kejutan di Kapayan, Sifat Sederhananya Menarik, Kata Ramai...


Borneo Herald

4.49PM MYT, 6-11-2025




Oleh Jayden Lisandu

PENAMPANG: Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Kapayan, Dr Edwin Jack Bosi, mungkin boleh buat kejutan di kerusi panas itu jika rakyat suka seorang yang sederhana dan "tulen" dalam penampilannya.

Beliau dijangka menghadapi calon dari parti-parti Warisan, GRS dan Bebas di kerusi bandar yang dianggap 50-50 Kadazan / Cina itu.

Dr Edwin pernah menjadi ADUN Kapayan dari 2013 hingga 2018. Beliau memenangi kerusi itu atas tiket DAP tapi kemudian berpindah ke Parti Kerjasama Anak Negeri pada tahun akhir penggalnya.

Kemunculan kembali beliau dan bakal menghadapi inkumben Adun Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang, pasti membawa kepada perbandingan antara keduanya dari segi personaliti dan potensi penuh masing-masing.

"Saya kembali bukan untuk mengejar kuasa, sebaliknya meneruskan tanggungjawab, serta berbakti dengan tulus ikhlas dan penuh azam," kata Dr Edwin pada "flyers"nya yang sedang beredar dalam kawasan Kapayan.

Selain Jannie, beliau juga dijangka berhadapan dengan calon 'BlackWave' (dipercayai bekas ahli DAP), kumpulan Bebas yang diketuai Datuk Verdon Bahanda iaitu adik Datuk Wetrom Bahanda, Timbalan Presiden KDM, yang telah memilih Dr Edwin sebagai calon KDM di Kapayan.

Teka-teki siapa lawan Dr Edwin di Kapayan bakal terjawab dalam masa beberapa hari lagi. Seorang pemimpin pelapis DAP, Henry Shim, juga disebut bakal mengganti Jannie.

Warisan pula masih belum memuktamadkan calon sama ada antara Pritchard Gumbaris atau seorang calon dari Tionghua.

Ramai pengundi Kapayan berpendapat siapa pun Adun mereka yang penting ialah penampilan orang itu dalam masyarakat, dan sama ada senang didekati atau tidak.

"Kami mahu Adun yang dekat dengan kami. Kami tidak mahu yang banyak berlakon, banyak 'sunging' atau banyak cakap tapi tidak menyantuni kami apabila mereka terpilih jadi Adun.

"Memanglah kami tidak begitu memilih bangsanya, asalkan dia senang dicari, dan dia pandai guna posisinya nanti lebih-lebih lagi jika dia dari parti tempatan kerana itu sentimen orang Sabah sekarang," kata seorang pemilih yang hanya mahu dikenali sebagai Abui.

Dalam hal ini, Dr Edwin agak beruntung memandangkan sentimen rakyat Sabah yang sedang menolak parti Malaya (seperti DAP), namun undi di Kapayan seperti kawasan lain akan tetap terbahagi.

Cabaran undi terpecah antara KDM, Warisan, BlackWave dan parti-parti lain itu mungkin mempengaruhi keputusan akhir pada hari mengundi pada 29 November 2025 ini.

Parti GRS menaruh harapan undi penyokongnya kekal pada rakan sekutunya DAP, bagaimanapun orang Sabah sedang menolak parti luar dan dikatakan ramai menghala ke pintu atau pagar kawasan Warisan, parti diterajui Datuk Shafie Apdal, yang pada satu masa adalah sekutu DAP juga. Bahkan Jannie dari DAP pernah menang dulu ketika DAP mengguna lambang Warisan.

Dr Edwin, menyifatkan dirinya lambat masuk gelangang, namun hakikat beliau kini sedang menyelinap di setiap sudut dan ruang di Kapayan adalah satu kelebihan kepadanya. 

"Keadaan macam 50-50. Rakyat macam anti-parti Malaya. Orang kita macam nampak undur-undur dari Warisan. Pengundi Cina macam belum obvious diorang punya take on Warisan. 

"Hari itu diorang bilang kalau ada alternative mungkin they go for alternative if credible..." komen Dr Edwin kepada Borneo Herald ketika ditemui di Kapayan baru-baru ini.

Terdapat 49,597 orang pengundi dalam kawasan Kapayan yang terbahagi kepada tujuh daerah mengundi iaitu Donggongon, Hungab, Kapayan, Kapayan Barat, Kapayan Timur, Kobusak dan Nosoob.#~ Borneo Herald™

Awas SCAMMER Pilihanraya di Sabah. Seperti Tebu, Manis di Pangkal, Tawar di Hujung Bahkan Mungkin Pahit

               Wang ada hantu, kata mereka.

Borneo Herald 
8.36AM MYT, 5-11-2025

Siri Literasi Politik Sabah 101
AWAS Para penipu dalam politik sedang berkeliaran di kedai :

Oleh Dr Kanul Gindol
SERINGKALI pada setiap pilihanraya terutama di Sabah, ramai yang bernafsu menjadi calon Yang Berhormat akan menjadi mangsa skem atau penipuan. Salah satu penipuan pilihanraya itu membabitkan orang yang menjanjikan wang ringgit yang banyak terutama kepada "bakal-bakal" calon.
Berikut salah satu modus operandi yang saya perjelas poin demi poin :

1. Katakan ada satu parti kecil Sabah atau satu kumpulan Bebas atau sebarang grup yang ada seorang ketua "scammer". Dia akan mempromosi platformnya kepada mereka yang sedang mencari 'tiket' bertanding.

2. Kerja "scammer" lagak pemimpin atau ketua yang boleh bergaya sedikit. Mungkin dia sentiasa berpakaian kemas dan memprojek imej boleh diharap. Perkataanya tersusun rapi. Tutur katanya kekadang disulami senyuman kecil yang meyakinkan.

3. Scammer ini akan merekrut bakal calon-calonnya dan kepada sebahagian calon dia akan menjanjikan wang dari Parti atau grupnya dalam lingkungan RM200,000 atau RM300,000 kepada setiap bakal calon. Namun beliau akan meminta bakal-bakal calon itu menunjukkan kepadanya mereka sendiri mesti ada minimum RM100,000 atau RM80,000 untuk digunakan sebagai persiapan awal.

4. Ketua scammer itu akan berjanji duit bakal dikeluarkan oleh penaja atau sponsor parti mereka mungkin dalam minggu terakhir sebelum Penamaan Calon, atau mungkin juga selepas saja Penamaan Calon. Bakal-bakal calon ini pula amat mengharapkan dana itu untuk mereka belanjakan menghadapi kempen dan pengundian. Ada juga yang bakal tertipu sebab scammer ini ada yang berani berjanji setiap calon akan menerima RM3 juta. Duit ini memang meningkatkan nafsu..

5. Scammer itu mungkin akan meminta bakal-bakal calon tersebut menyumbang kepada parti lagi, katakan hanya RM5,000 seorang. Ini hanya jumlah yang kecil berbanding RM300,000 atau RM3 juta yang bakal mereka 'terima' dari 'sponsor'. Bayangkan jika 35 orang bakal calon derma hanya RM5,000 itu sudah berjumlah RM175,000!

6. Kutipan scammer inilah yang dia guna untuk bergaya ke sana sini musim PRN ini.. tinggal di hotel sana sini, bermesyuarat di sana sini, dan menemui lebih ramai bakal calon.
Saya tahu ada ketua scammer politik ini yang mudah mendapat "sumbangan" dari bakal calonnya sendiri. Bakal calon ini pula ada yang sudahpun tertipu oleh scammer sehingga dia telah menyerahkan sejumlah wang mungkin mula-mula hanya RM3,000 tapi kemudian RM5,000 kemudian RM10,000.

7. Yang sebenarnya, apabila bakal-bakal calon itu sudah menghantar Borang Pencalonan, di sanalah bermula timbul pelbagai alasan duit sponsor yang dijanjikan sebenarnya sedang diurus atau tiada! Scammer akan berpura-pura dia juga jadi mangsa, kena skem oleh kononnya "sponsor" yang lari. Yang sebenarnya tidak wujud "sponsor" itu. Jika pun wujud, mana dia bahagi-bahagi duit itu kepada calon-calonnya. Dia ngap seorang diri, mungkin bersama dengan seorang dua lagi bakal calon lain yang sentiasa bersamanya. Ataupun jika betul ada itu beratus juta dari sponsor, mana mungkin scammer tidak dahulukan anak bini adik beradik iparnya dulu lah yang jadi calon !  

8. Pilihanraya ini adalah "free enterprise" siapa pun boleh bertransaksi. Berhati-hatilah rakan-rakanku semua.#~Borneo Herald™




Nizam tolak ancaman undang-undang tidak berasas Albert Tei, ikrar pertahan kepentingan awam



               Datuk Nizam Abu Bakar Titingan 

Borneo Herald
8.00AM MYT, 5-11-2025


KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menolak dengan tegas surat tuntutan yang dikeluarkan oleh Datuk Albert Tei, sambil menyifatkan ancaman undang-undang itu sebagai tidak berasas dan bertujuan mengekang tanggungjawab beliau untuk bersuara mengenai isu kepentingan awam.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, berkata pendiriannya adalah “jelas dan tidak berganjak”, sambil menegaskan bahawa kenyataannya dibuat demi kepentingan awam, berasaskan kebenaran, serta disampaikan dalam keadaan berkeistimewaan yang layak dilindungi undang-undang.

Beliau menegaskan bahawa sebagai wakil rakyat, beliau mempunyai tanggungjawab untuk membangkitkan isu-isu penting yang melibatkan rakyat Sabah dan bersedia mempertahankan kenyataannya di forum yang sewajarnya.

“Asas kepada kenyataan saya adalah berdasarkan fakta yang sudah direkodkan secara umum,” katanya dalam kenyataannya semalam merujuk kepada latar belakang individu yang mengeluarkan ancaman tersebut.

Nizam menjelaskan bahawa individu berkenaan berdepan dengan isu undang-undang dan etika yang serius, termasuk didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menawarkan rasuah, disaman oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd atas dakwaan penipuan dan konspirasi untuk mencederakan, serta dakwaan dirinya sebagai “pemberi maklumat” telah dinafikan secara terbuka oleh SPRM yang mengesahkan penglibatannya dalam kesalahan tersebut.

“Adalah prinsip asas bahawa tindakan fitnah memerlukan reputasi yang perlu dilindungi. Memandangkan terdapat tuduhan dan pengakuan undang-undang yang serius telah direkodkan secara umum, dakwaan kononnya reputasinya terjejas adalah tidak berasas,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri menambah bahawa sekiranya tindakan undang-undang diteruskan, isu sama ada individu tersebut mempunyai reputasi yang wajar dilindungi akan diputuskan oleh mahkamah.

Nizam menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kepentingan Sabah dan rakyatnya daripada individu yang cuba melemahkan Kerajaan Negeri dan agensi-agensinya.

Beliau turut memaklumkan bahawa peguamnya telah diarahkan untuk mempertahankan diri dengan tegas terhadap sebarang tuntutan dan akan memfailkan tuntutan balas sekiranya tindakan undang-undang diteruskan.#~Borneo Herald™

Jika Kerajaan PH—BN Rayu Keputusan 40%, Mereka Berniat Hapus Hak Sabah, Kata Aktivis

Daniel John Jambun ketika berucap di Membakut semalam.

Borneo Herald
7.40AM MYT, 5-11-2025


MEMBAKUT : Presiden Gerakan Perubahan Sabah (CAMOS), Daniel John Jambun, memberi peringatan tegas bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40% hasil bersih Sabah adalah satu langkah politik terancang untuk menafikan hak rakyat Sabah.

“Kerajaan Persekutuan merayu bukan kerana Sabah salah — tetapi kerana Putrajaya tidak mampu mengakui bahawa Sabah benar,” katanya ketika berucap pada satu majlis bersama rakyat di Membakut semalam.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini hanya mengesahkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, iaitu hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D. Namun, katanya, sejak 60 tahun lalu, kerajaan pusat telah mempermainkan hak Sabah seolah-olah ia boleh ditawar atau ditangguhkan mengikut kepentingan politik.

“Jika keputusan itu kekal, kerajaan pusat terpaksa membayar berbilion ringgit tunggakan kepada Sabah. Itulah sebab sebenar mereka merayu. Mereka takut — bukan pada mahkamah, tetapi pada kebenaran,” katanya.

Daniel turut menegaskan bahawa langkah rayuan ini mencerminkan budaya sentralisme dan ketakutan Putrajaya terhadap kuasa autonomi Sabah.

“Kita dijanjikan rakan kongsi setara di bawah Perjanjian Malaysia 1963, tapi realitinya Sabah dijadikan wilayah yang bergantung dan dikawal. Mereka bercakap tentang MA63, tetapi yang diamalkan hanyalah manipulasi dan penangguhan,” katanya.

Dalam ucapannya, Daniel juga memberi peringatan politik kepada rakyat Sabah supaya tidak tertipu dengan pakatan parti-parti lama yang cuba muncul semula selepas pilihan raya akan datang.

“Saya ingin ingatkan — sudah ada cakap-cakap bahawa kalau PH, BN dan GRS menang semula dan membentuk kerajaan NegeriSabah, mereka akan lantik ketua menteri Sabah daripada PH — calon yang akan bertanding di kerusi Merotai.

Tujuannya jelas — untuk melemahkan perjuangan hak 40% Sabah dan menenggelamkan isu ini di bawah kawalan politik mereka,” katanya dengan nada amaran.

“Inilah sebabnya kita mesti berjaga-jaga. Apa yang mereka tidak dapat hapuskan di mahkamah, mereka akan cuba matikan secara senyap melalui rundingan politik selepas pilihan raya,” tegas Daniel.

Beliau menambah, selama kerajaan pusat menangguhkan pelaksanaan hak 40% ini, Sabah terus kehilangan berbilion ringgit dana pembangunan.

“Setiap tahun kita rugi dana yang sepatutnya membina hospital, sekolah, dan jalan raya. Setiap ringgit yang ditahan bermakna satu lagi peluang rakyat Sabah yang terlepas. Keadilan yang ditangguhkan adalah pembangunan yang dinafikan!” katanya lagi.

Daniel menutup ucapannya dengan menyeru semua rakyat Sabah untuk bersatu mempertahankan hak negeri, tanpa mengira parti.

“Hak 40% bukan hadiah daripada Kuala Lumpur. Ia adalah hak perlembagaan kita — hak yang mesti ditegakkan dan tidak boleh digadaikan. Kalau kita biarkan, generasi akan datang akan terus jadi mangsa,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin di Membakut.#~Borneo Herald™

Perbelanjaan Membazir GRS Dedahkan Hipokrasi “Gaji YB Tidak Cukup Makan”

                             Johnny S H Liew 

Borneo Herald 
11.01AM MYT, 4-11-2025


KOTA KINABALU : Gerakan Perubahan Sabah (CAMOS) hari ini mengecam keras kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas rekod pembaziran, ketirisan dan kos projek yang melambung — yang kini menjadi punca sebenar kepada kemerosotan kewangan negeri serta munculnya mentaliti “gaji YB tidak cukup makan” dalam kalangan pemimpin GRS.

Penyelaras CAMOS Kota Kinabalu, Johnny S H Liew, berkata projek “naik taraf” Taman Bukit Padang bernilai RM20 juta — yang mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan dan masih belum siap sepenuhnya — menjadi bukti terkini terhadap budaya perbelanjaan mewah, perancangan lemah, dan sikap tidak bertanggungjawab terhadap wang pembayar cukai.

“Apabila anda belanjakan RM20 juta hanya untuk tampal sana-sini sebuah taman awam, dan jutaan lagi untuk nombor plat khas serta papan iklan, tetapi ahli politik masih mengadu gaji tidak cukup — itu menunjukkan jenis mentaliti yang sedang mentadbir Sabah,” kata Johnny.

Beliau berkata masalah sebenar bukanlah gaji wakil rakyat yang rendah, tetapi terlalu ramai dalam pentadbiran GRS ketagih kepada pembaziran, amalan kronisme dan kontrak melambung.

“Pemimpin yang sama menangis kononnya ‘gaji YB tidak cukup makan’ ialah orang yang meluluskan projek bernilai berjuta-juta tanpa ketelusan dan akauntabiliti. Inilah kerajaan yang hidup atas duit rakyat tetapi masih mendakwa diri mereka lapar,” tambahnya.

Johnny berkata pendedahan Ketua Audit Negara mengenai RM20 bilion ketirisan dan pembaziran menggambarkan krisis tadbir urus di mana sumber yang sepatutnya untuk rakyat telah disalurkan kepada ketidakcekapan dan rasuah.

“Setiap satu ringgit yang dibazirkan adalah satu ringgit yang dicuri daripada hospital, sekolah, peniaga kecil dan komuniti luar bandar. Ketika rakyat Sabah bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat, kerajaan GRS terus menumpukan dana kepada projek imej separuh masak dan pembaziran,” katanya.

CAMOS turut menggesa audit forensik penuh terhadap semua projek yang dibiayai kerajaan sejak tahun 2020, termasuk projek Taman Bukit Padang, kontrak papan iklan, serta lesen khas nombor plat, dengan menuntut agar pecahan kos dan senarai kontraktor didedahkan kepada umum.

“Cukup-cukuplah dengan alasan dan aksi bergambar. Rakyat Sabah mahu tadbir urus bersih, bukan pemimpin yang berpura-pura miskin sambil duduk di atas timbunan pembaziran wang rakyat,” tegas Johnny.

Beliau menegaskan bahawa tadbir urus baik bukan soal menaikkan gaji ahli politik — tetapi soal mengembalikan integriti, menghentikan ketirisan, dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi keuntungan peribadi.#~Borneo Herald™


Tunjukkan Bukti: Rakyat Sabah Mahukan Kejujuran, Bukan Simbolik Pra-Pilihan Raya

                               Matbeh Ismail

Borneo Herald 
10.46AM MYT, 4-11-2025


KOTA KINABALU :  Bekas Timbalan Presiden USNO Sabah, Matbeh Ismail, hari ini menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberikan penjelasan penuh dan ketelusan terhadap dakwaan pengambilalihan 25% pegangan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd seperti diumum Jabatan Ketua Menteri Sabah pada 31 Oktober baru lalu.

Matbeh memberi amaran bahawa masa pengumuman serta ketiadaan pendedahan kewangan menimbulkan keraguan serius bahawa langkah itu mungkin sekadar gimik politik pra-pilihan raya, bukannya pencapaian sebenar ke arah pemerkasaan ekonomi Sabah.

Beliau menegaskan bahawa walaupun rakyat Sabah menyambut baik sebarang inisiatif yang memperkukuh penglibatan negeri dalam sektor minyak dan gas, kerajaan perlu membuktikan dengan jelas bahawa urus niaga terbaru ini mempunyai nilai sebenar dan bukan sekadar persembahan politik.

“Kita sudah dengar pengumuman seperti ini sebelum ini — 50% pegangan dalam Samarang PSC, 10% dalam LNG9, dan 25% dalam SAMUR — tetapi hingga kini tiada ketelusan mengenai berapa sebenarnya Sabah memperoleh hasil daripada semua ‘pegangan ekuiti’ tersebut,” kata Matbeh..

“Sebelum mengajak rakyat bergembira, Ketua Menteri perlu membuktikan bahawa SMJ Energy benar-benar telah membayar dan memiliki saham-saham ini, bukan sekadar menandatangani satu lagi memorandum yang lebih menguntungkan masa politik daripada ekonomi Sabah,” katanya lagi.

Matbeh turut menekankan bahawa kenyataan JKM itu hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya negeri dijangka diadakan — tidak mengandungi butiran penting tentang bagaimana Sabah membiayai pengambilalihan tersebut, nilai penilaian yang digunakan, atau sama ada urus niaga itu telah disahkan dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Jika urusniaga ini benar-benar berlaku, maka kerajaan perlu menerbitkan terma pembelian, sumber pembiayaan, dan rekod audit yang menunjukkan pemilikan Sabah.

"Jika tidak, ini kelihatan seperti satu lagi penceritaan pra-pilihan raya untuk mencipta ilusi kemajuan,” katanya.

Matbeh turut mengingatkan bahawa PETRONAS PFLNG 3, kemudahan LNG terapung bernilai AS$3.1 bilion di pesisir Sipitang, hanya dijangka beroperasi pada tahun 2027 — bermakna sebarang hasil sebenar kepada Sabah hanya akan dinikmati lama selepas pilihan raya.

“Rakyat Sabah sudah muak dengan pengumuman tanpa hasil. Apa yang kita mahu bukan sekadar pegangan simbolik, tetapi pemerkasaan fiskal sebenar — di mana negeri memperoleh, mengawal, dan membuat keputusan sendiri,” ujar beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa Sabah tidak boleh terus diperdaya dengan simbolisme ekonomi yang tidak membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.

“Pemilikan Sabah terhadap sumbernya mesti bersifat nyata, bukan retorik. Jangan kelirukan pengumuman dengan pencapaian,” tegasnya lagi.#~Borneo Herald™



Shafie tetamu luar biasa pada majlis "Membina Masa Depan Bersama" anjuran Keuskupan Keningau

Shafie Apdal (bertanjak) bersama hadirin sedang mendengar mesej Uskup Datuk Cornelius Piong pada majlis semalam di Keningau.

Borneo Herald 
9.37PM MYT, 1-11-2025


Dr Kanul Gindol melaporkan sendiri pengalamannya dijemput Shafie mengikuti majlis makan malam ini di Tuarid Tatal semalam..

KENINGAU : Semalam (31 Okt 2025) di Kg Tuarid Tatal, Keningau mungkin ada 5,000 manusia berhimpun meraikan satu majlis yang dinamakan Memperbaharui Iman Kita, Membina Masa Depan Kita Bersama-Sama yang diadakan di Dewan Kekitaan Rumah Retret Keuskupan Keningau..

Hadirin adalah wakil seluruh keuskupan Keningau. Rata-rata 30 orang dari setiap paroki keuskupan Keningau, yang antara lain meliputi Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan dan Sipitang.

Dua tetamu utama majlis ialah Bishop Keningau, Datuk Cornelius Piong dan tokoh dermawan terkenal, Datuk Victor Paul.

Namun tetamu utama ketiga yang tidak terjadual dalam program tetapi sebenarnya juga jemputan "khas" ialah seorang pemimpin Sabah yang kini semakin diperhati dan diteliti oleh orang ramai, seorang yang pada saya amat luar biasa.. Datuk Shafie Apdal.

Hanya tiga pemimpin atau tokoh inilah yang  berucap dalam majlis ini, kecuali pengerusi majlis sendiri, seorang wanita muda yang petah mengacarakan majlis yang bermula jam 5.30 petang itu.

Tidak lama selepas Uskup dan filantropis duduk, Shafie dan rombongannya (yang mengisi satu meja tersedia) tiba disambut hangat seperti ketibaan dua tokoh berkenaan. 
Saya bersama rakan aktivis dari Camos, Daniel John Jambun dan juga bekas Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong, ketika sedang menunggu rombongan Shafie.

Yang menarik pengamatan saya ialah pihak penganjur mengenakan tanjak ringkas kepada Shafie sejurus beliau tiba, sedangkan Uskup dan Victor tidak diberikan tanjak.

Pada saya, ini merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan dari pihak tuan rumah kepada Shafie sebagai seorang pemimpin tempatan yang semakin mendapat perhatian, atau dalam kata lain seorang yang kehadirannya dinantikan dan dialu-alukan.

Bisikan dan cerita dari orang ramai juga mula kedengaran bahawa Shafie sebenarnya sudah sekian lama menyantuni umat Kristian terutama RC bukan saja di keuskupan Keningau tapi juga tempat lain. Dikhabarkan beliau juga baru-baru ini pun sempat juga singgah di kawasan yang sama bersama umat Katolik yang menganjurkan satu majlis lain, jika tak silap seperti tamu.

Juga, jika tak silap pendengaran saya, Shafie juga telah menghulurkan sumbangan ikhlas di situ, namun tiada sesiapa meminta ia dihebahkan termasuk tuan punya badan juga difahamkan enggan kerja-kerja amal dihebah-hebahkan, namun kerana ramai juga saksi, maka tiadalah kita dapat menutup kebaikan mereka.

Walaupun ucapan Shafie pada malam semalam hanyalah 11 minit (dari 6.19pm-6.30pm), namun mesej perpaduan, persaudaraan dan kasih cinta dari beliau amatlah ketara. Shafie juga turut memohon maaf kepada semua umat jika ada kata-katanya yang menyinggung perasaan sesama manusia selama ini. Memohon maaf begini ketaralah menggambarkan keperibadian beliau seorang pemimpin yang amat merendah diri dan jujur lagi lurus.

Pada saya, mesej ucapan yang serupa seirama dari Victor dan Bishop Cornelius menggambarkan majlis malam semalam - Memperbaharui Iman Kita, Membina Masa Depan Kita Bersama-Sama - benar-benar tepat pada tempatnya.

Selepas jamuan, kesudian Shafie melawat di banyak meja dan bersalaman serta melayan semua orang yang berselfie dengan beliau turut mengujakan rakyat yang hadir.

Kehadiran Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan beberapa rakannya (walaupun beliau datang sedikit lewat ketika majlis sudah bermula) turut dapat perhatian Uskup yang menyebut nama beliau di penghujung ucapannya.

Saya berterima kasih kepada Shafie kerana turut menjemput saya, jika tidak dijemput, sudah tentu saya terlepas peluang menikmati majlis Keningau ini, hidangannya, muzik hebatnya, mesej-mesej yang baik dan persahabatan.. 😀#~Borneo Herald™

Rakyat Kecewa Dengan GRS, Bukan Dengan Warisan Kata Majamis

                           Majamis Timbuong

Borneo Herald 
6.10PM MYT, 3-11-2025


KOTA MARUDU : Parti Warisan hari ini menolak dakwaan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bahawa kemasukan beberapa bekas pemimpin GRS ke dalam Warisan merupakan “gelombang kekecewaan”, sambil menegaskan bahawa kenyataan itu sebenarnya mencerminkan ketakutan GRS terhadap kebangkitan gerakan rakyat sebenar di seluruh Sabah.

Ketua Bahagian Parti Warisan Kota Marudu, Majamis Timbuong, berkata kenyataan Nizam mencerminkan sikap sebuah kerajaan yang tidak lagi mampu mengekalkan kesetiaan dan keyakinan dalam kalangan ahli sendiri, lalu memilih untuk menghina dan menuduh bagi menutup kegagalan dalaman mereka.

“Apabila orang mula meninggalkan GRS, bukan kerana mereka kecewa tidak dapat jawatan — tetapi kerana mereka kecewa dengan kerajaan,” kata Majamis.

“Mereka telah melihat sendiri bagaimana GRS gagal menunaikan janji, gagal mempertahankan hak Sabah, dan gagal memimpin dengan integriti. Inilah gelombang sebenar — gelombang kesedaran rakyat,” katanya lagi.

Naratif GRS Runtuh Kerana Kegagalannya Sendiri

Majamis menegaskan bahawa mereka yang kini dihina sebagai ‘golongan kecewa’ oleh Nizam sebenarnya dahulu diangkat tinggi oleh GRS sebagai “pemimpin akar umbi yang setia” — satu bentuk hipokrasi politik yang ketara.

“Semasa mereka bersama GRS, mereka dipuji. Bila mereka keluar, terus dilabel tamak dan kecewa. Itulah standard berganda GRS — kesetiaan diukur berdasarkan kepentingan semasa,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa perpindahan ini bukan kes terpencil, tetapi sebahagian daripada gelombang kekecewaan yang meluas dalam kalangan ahli GRS dan rakyat Sabah secara keseluruhan.

“Ini bukan soal cita-cita peribadi. Ini tentang kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Hajiji yang kini dilihat lemah, elitis dan jauh daripada rakyat,” tambahnya.

Gelombang Harapan, Bukan Gelombang Kekecewaan

Majamis menegaskan bahawa apa yang berlaku hari ini bukanlah “gelombang kekecewaan” seperti didakwa, tetapi gelombang harapan dan pembaharuan — apabila semakin ramai pemimpin dan rakyat menyertai perjuangan Warisan demi maruah dan hak Sabah.

“Gelombang Warisan ialah suara rakyat Sabah yang mahu keadilan dan maruah negeri ini dikembalikan.

“Kami tidak mengejar jawatan, kami membina semula kepercayaan," katanya.

Kekecewaan Sebenar Bertimbun Dalam GRS

“Kalau Nizam mahu bercakap tentang kekecewaan, lihatlah ke dalam GRS sendiri,” tegas Majamis.

“Kekecewaan sebenar ialah melihat hak 40% hasil negeri masih tidak ditunaikan, kos sara hidup meningkat, dan pemimpin GRS masih sibuk bergaduh tentang kerusi. Kerajaan yang gagal mengurus, tetapi pandai mencari alasan," tegas Majamis.

Beliau menambah bahawa rakyat Sabah kini semakin sedar dan bersedia untuk perubahan, manakala peningkatan sokongan terhadap Warisan menandakan peralihan daripada rasa kecewa kepada tekad untuk memperbetulkan hala tuju negeri.

“Panggil apa sahaja — gelombang, gerakan, kebangkitan — hakikatnya jelas: rakyat Sabah sudah bersedia meninggalkan politik alasan GRS,” katanya.#~Borneo Herald™

Armizan Patut Cermin Diri Sendiri — GRS Sebenarnya Parti Katak Politik, Bukan Warisan


                             Rasinin Kautis

Borneo Herald 
5.33PM MYT, 3-11-2025


KENINGAU : Parti Warisan hari ini menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Papar merangkap Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali yang mempersoalkan konsistensi Warisan dalam isu lompat parti sebagai sangat hipokrit, sambil mengingatkannya bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sendiri dibina atas budaya pengkhianatan dan opportunisme politik yang kini kononnya beliau mahu kecam.

Ketua Bahagian Warisan Keningau, Rasinin Kautis, berkata kenyataan Armizan menunjukkan beliau sengaja melupakan sejarah sebenar, kerana GRS — bukan Warisan — yang membentuk kerajaan pada tahun 2020 hasil daripada perancangan dan siri tindakan lompat parti selepas Pilihan Raya Negeri 2018.

“Kalau Armizan mahu bercakap tentang katak politik, dia patut cermin diri sendiri dahulu,” kata Rasinin dalam kenyataannya di sini hari ini.

“GRS wujud hari ini kerana pemimpin dari Warisan dan Upko telah digoda untuk melompat parti pada tahun 2020 — bukan kerana mandat rakyat. Seluruh kerajaan GRS dibina atas asas lompat parti," katanya lagi.

Warisan Sambut Individu, Bukan Pengkhianatan

Rasinin menjelaskan bahawa penerimaan beberapa individu oleh Warisan baru-baru ini tidak bertentangan dengan prinsip parti, kerana Warisan membezakan dengan jelas antara pengkhianatan mandat rakyat dan penyertaan ikhlas hasil kesedaran politik yang tulen.

> “Ada perbezaan moral antara wakil rakyat yang mengkhianati pengundi mereka, dengan pemimpin yang — setelah menilai semula perjuangan mereka — memilih untuk menyokong perjuangan yang mereka yakini,” jelasnya.

“Warisan tidak pernah merestui pengkhianatan. Apa yang kami sambut ialah individu yang ikhlas dan sehaluan dengan perjuangan untuk membina semula Sabah melalui landasan bersih, adil dan berpandangan jauh.”

Pendekatan Dua Wajah Armizan Terbongkar

Rasinin turut menyifatkan tindakan Armizan sebagai bermuka dua, kerana beliau mempertahankan pemimpin-pemimpin yang melompat masuk ke kem Hajiji, tetapi kini mengutuk pula mereka yang meninggalkan GRS untuk menyertai Warisan.

> “Bila orang melompat masuk GRS, Armizan panggil itu ‘kestabilan’; bila mereka keluar dari GRS dan sokong Warisan, tiba-tiba jadi ‘hipokrasi’,” katanya.

“Kalau Armizan benar-benar percaya pada politik bermoral, dia patut mula dengan mengutuk pengkhianatan politik yang melahirkan koalisinya sendiri.”

Isu Sebenar — Kepimpinan dan Halatuju, Bukan Katak Politik

> “Hakikatnya mudah — orang meninggalkan GRS kerana mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji yang tiada visi, tiada kesatuan dan tiada masa depan,” tegas Rasinin.

“Ini bukan lompat parti secara opportunistik, tetapi hasil kekecewaan terhadap gabungan yang sudah hilang kredibiliti dan arah perjuangan.”

Beliau menambah bahawa semakin ramai yang beralih menyokong Warisan kerana percaya kepada kepimpinan yang jelas halatujunya — berteraskan integriti, inklusiviti dan hak perlembagaan Sabah.

“Cubaan Armizan mempersoalkan konsistensi Warisan hanya mendedahkan rasa tidak yakin dalam GRS sendiri,” kata Rasinin.

“Rakyat Sabah tahu siapa sebenarnya katak politik — mereka yang mengkhianati mandat rakyat pada tahun 2020 dan kini berpura-pura memberi ceramah tentang moral politik,” katanya.#~Borneo Herald™


Armizan Mengelirukan Rakyat — Warisan Tidak Gagal Dalam Projek Air Kogopon; Kelewatan Kerajaan Persekutuan dan Kelemahan GRS Menjadi Punca

Azhar Matusin, ADUN Darau merangkap Bendahari Agung Warisan Negeri.

Borneo Herald 
12.58PM MYT, 3-11-2025


KOTA KINABALU : Parti Warisan hari ini menafikan dakwaan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, bahawa kerajaan Warisan terdahulu “gagal menyiapkan” Projek Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 bernilai RM300 juta, sambil menyifatkan kenyataannya sebagai mengelirukan dan tidak jujur dari segi politik.

Bendahari Agung Parti Warisan, Azhar Matusin, berkata Armizan sengaja memutarbelitkan garis masa projek untuk menutup kelewatan dan kegagalan berterusan kerajaan GRS dalam menangani masalah bekalan air di Papar.

“Projek Kogopon Fasa 2 telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan mula dilaksanakan pada tahun 2019, iaitu kurang setahun selepas Warisan membentuk kerajaan,” kata Azhar.

“Kemajuan projek terganggu akibat kelewatan pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020–2021, dan kejatuhan kerajaan Warisan pada Julai 2020 — jauh sebelum projek itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.”

Azhar turut menegaskan bahawa kenyataan Armizan sendiri mengakui punca sebenar kelewatan adalah kegagalan Kerajaan Persekutuan menyiapkan Notis Perubahan (NOC) bagi pelarasan kos, memandangkan projek tersebut dibiayai melalui pinjaman mudah Persekutuan.

“Itu membuktikan kelewatan berpunca daripada birokrasi Persekutuan, bukannya kegagalan Warisan. Tiada kerajaan negeri — sama ada Warisan atau GRS — yang boleh meneruskan projek tanpa kelulusan Persekutuan,” tegasnya.

“Namun, daripada mengakui hakikat itu, Armizan memilih untuk memanipulasi isu ini demi kepentingan politik.”

Warisan Letak Asas — GRS Hanya Tumpang Nama

Azhar menjelaskan bahawa projek naik taraf Kogopon Fasa 2 serta projek pengambilan air Kg Kabang adalah kesinambungan daripada inisiatif yang dirancang dan direka bentuk semasa pentadbiran Warisan pada tahun 2019–2020 melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Warisan yang menyediakan asas perancangan dan memastikan projek-projek ini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). GRS hanya meneruskan pelaksanaan yang sudah dirancang oleh Warisan dan kemudian menuntut pujian,” jelas Azhar.

“Kalau Armizan mahu berbangga dengan kelulusan projek, beliau seharusnya jujur mengakui asasnya dibina oleh Warisan.”

Beliau menambah bahawa walaupun GRS telah memerintah sejak tahun 2020, projek Kogopon Fasa 2 hanya mula dibina pada Ogos 2023, manakala projek pengambilan air Kg Kabang hanya bermula pada tahun 2024 — menunjukkan bahawa kelewatan sebenar berlaku di bawah pentadbiran GRS, bukan Warisan.

GRS Gagal Menunaikan Tanggungjawab

“Selepas empat tahun, rakyat Papar masih berhadapan dengan paip kering, pencemaran klorida dan catuan air,” kata Azhar.

“Daripada mengambil tanggungjawab, Armizan memilih untuk menyalahkan kerajaan terdahulu — taktik lama untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan GRS sendiri.”

Beliau juga mengecam cubaan Armizan menyalahkan bekas Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan, sambil menyifatkannya sebagai serangan politik murahan.

“Semua orang tahu Ahli Parlimen tidak mempunyai kuasa meluluskan pinjaman mudah Persekutuan. Projek ini berada di bawah Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) — bukan di bawah pejabat Ahli Parlimen,” tegasnya.

Fokus Pada Penyelesaian, Bukan Alasan

“Rakyat Papar perlukan air bersih, bukan alasan lama yang diulang-ulang,” kata Azhar.

“Warisan tetap komited kepada penyelesaian struktur — memberi kuasa kepada negeri untuk merancang dan mengawal sistem air dan tenaga sendiri tanpa perlu menunggu kelulusan Persekutuan yang tiada kesudahan.”

“Sudah tiba masanya GRS berhenti menulis semula sejarah dan mula menunjukkan hasil sebenar,” beliau menegaskan.#~Borneo Herald™


Search This Blog