Top posts

Featured Posts

Tunjukkan Bukti: Rakyat Sabah Mahukan Kejujuran, Bukan Simbolik Pra-Pilihan Raya

                               Matbeh Ismail

Borneo Herald 
10.46AM MYT, 4-11-2025


KOTA KINABALU :  Bekas Timbalan Presiden USNO Sabah, Matbeh Ismail, hari ini menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberikan penjelasan penuh dan ketelusan terhadap dakwaan pengambilalihan 25% pegangan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd seperti diumum Jabatan Ketua Menteri Sabah pada 31 Oktober baru lalu.

Matbeh memberi amaran bahawa masa pengumuman serta ketiadaan pendedahan kewangan menimbulkan keraguan serius bahawa langkah itu mungkin sekadar gimik politik pra-pilihan raya, bukannya pencapaian sebenar ke arah pemerkasaan ekonomi Sabah.

Beliau menegaskan bahawa walaupun rakyat Sabah menyambut baik sebarang inisiatif yang memperkukuh penglibatan negeri dalam sektor minyak dan gas, kerajaan perlu membuktikan dengan jelas bahawa urus niaga terbaru ini mempunyai nilai sebenar dan bukan sekadar persembahan politik.

“Kita sudah dengar pengumuman seperti ini sebelum ini — 50% pegangan dalam Samarang PSC, 10% dalam LNG9, dan 25% dalam SAMUR — tetapi hingga kini tiada ketelusan mengenai berapa sebenarnya Sabah memperoleh hasil daripada semua ‘pegangan ekuiti’ tersebut,” kata Matbeh..

“Sebelum mengajak rakyat bergembira, Ketua Menteri perlu membuktikan bahawa SMJ Energy benar-benar telah membayar dan memiliki saham-saham ini, bukan sekadar menandatangani satu lagi memorandum yang lebih menguntungkan masa politik daripada ekonomi Sabah,” katanya lagi.

Matbeh turut menekankan bahawa kenyataan JKM itu hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya negeri dijangka diadakan — tidak mengandungi butiran penting tentang bagaimana Sabah membiayai pengambilalihan tersebut, nilai penilaian yang digunakan, atau sama ada urus niaga itu telah disahkan dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Jika urusniaga ini benar-benar berlaku, maka kerajaan perlu menerbitkan terma pembelian, sumber pembiayaan, dan rekod audit yang menunjukkan pemilikan Sabah.

"Jika tidak, ini kelihatan seperti satu lagi penceritaan pra-pilihan raya untuk mencipta ilusi kemajuan,” katanya.

Matbeh turut mengingatkan bahawa PETRONAS PFLNG 3, kemudahan LNG terapung bernilai AS$3.1 bilion di pesisir Sipitang, hanya dijangka beroperasi pada tahun 2027 — bermakna sebarang hasil sebenar kepada Sabah hanya akan dinikmati lama selepas pilihan raya.

“Rakyat Sabah sudah muak dengan pengumuman tanpa hasil. Apa yang kita mahu bukan sekadar pegangan simbolik, tetapi pemerkasaan fiskal sebenar — di mana negeri memperoleh, mengawal, dan membuat keputusan sendiri,” ujar beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa Sabah tidak boleh terus diperdaya dengan simbolisme ekonomi yang tidak membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.

“Pemilikan Sabah terhadap sumbernya mesti bersifat nyata, bukan retorik. Jangan kelirukan pengumuman dengan pencapaian,” tegasnya lagi.#~Borneo Herald™



No comments:

Post a Comment

Search This Blog