Top posts

Featured Posts

Shafie tetamu luar biasa pada majlis "Membina Masa Depan Bersama" anjuran Keuskupan Keningau

Shafie Apdal (bertanjak) bersama hadirin sedang mendengar mesej Uskup Datuk Cornelius Piong pada majlis semalam di Keningau.

Borneo Herald 
9.37PM MYT, 1-11-2025


Dr Kanul Gindol melaporkan sendiri pengalamannya dijemput Shafie mengikuti majlis makan malam ini di Tuarid Tatal semalam..

KENINGAU : Semalam (31 Okt 2025) di Kg Tuarid Tatal, Keningau mungkin ada 5,000 manusia berhimpun meraikan satu majlis yang dinamakan Memperbaharui Iman Kita, Membina Masa Depan Kita Bersama-Sama yang diadakan di Dewan Kekitaan Rumah Retret Keuskupan Keningau..

Hadirin adalah wakil seluruh keuskupan Keningau. Rata-rata 30 orang dari setiap paroki keuskupan Keningau , yang antara lain meliputi Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan dan Sipitang.

Dua tetamu utama majlis ialah Bishop Keningau, Datuk Cornelius Piong dan tokoh dermawan terkenal, Datuk Victor Paul.

Namun tetamu utama ketiga yang tidak terjadual dalam program tetapi sebenarnya juga jemputan "khas" ialah seorang pemimpin Sabah yang kini semakin diperhati dan diteliti oleh orang ramai, seorang yang pada saya amat luar biasa.. Datuk Shafie Apdal.

Hanya tiga pemimpin atau tokoh inilah yang  berucap dalam majlis ini, kecuali pengerusi majlis sendiri, seorang wanita muda yang petah mengacarakan majlis yang bermula jam 5.30 petang itu.

Tidak lama selepas Uskup dan filantropis duduk, Shafie dan rombongannya (yang mengisi satu meja tersedia) tiba disambut hangat seperti ketibaan dua tokoh berkenaan. 
Saya bersama rakan aktivis dari Camos, Daniel John Jambun dan juga bekas Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong, ketika sedang menunggu rombongan Shafie.

Yang menarik pengamatan saya ialah pihak penganjur mengenakan tanjak ringkas kepada Shafie sejurus beliau tiba, sedangkan Uskup dan Victor tidak diberikan tanjak.

Pada saya, ini merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan dari pihak tuan rumah kepada Shafie sebagai seorang pemimpin tempatan yang semakin mendapat perhatian, atau dalam kata lain seorang yang kehadirannya dinantikan dan dialu-alukan.

Bisikan dan cerita dari orang ramai juga mula kedengaran bahawa Shafie sebenarnya sudah sekian lama menyantuni umat Kristian terutama RC bukan saja di keuskupan Keningau tapi juga tempat lain. Dikhabarkan beliau juga baru-baru ini pun sempat juga singgah di kawasan yang sama bersama umat Katolik yang menganjurkan satu majlis lain, jika tak silap seperti tamu.

Juga, jika tak silap pendengaran saya, Shafie juga telah menghulurkan sumbangan ikhlas di situ, namun tiada sesiapa meminta ia dihebahkan termasuk tuan punya badan juga difahamkan enggan kerja-kerja amal dihebah-hebahkan, namun kerana ramai juga saksi, maka tiadalah kita dapat menutup kebaikan mereka.

Walaupun ucapan Shafie pada malam semalam hanyalah 11 minit (dari 6.19pm-6.30pm), namun mesej perpaduan, persaudaraan dan kasih cinta dari beliau amatlah ketara. Shafie juga turut memohon maaf kepada semua umat jika ada kata-katanya yang menyinggung perasaan sesama manusia selama ini. Memohon maaf begini ketaralah menggambarkan keperibadian beliau seorang pemimpin yang amat merendah diri dan jujur lagi lurus.

Pada saya, mesej ucapan yang serupa seirama dari Victor dan Bishop Cornelius menggambarkan majlis malam semalam - Memperbaharui Iman Kita, Membina Masa Depan Kita Bersama-Sama - benar-benar tepat pada tempatnya.

Selepas jamuan, kesudian Shafie melawat di banyak meja dan bersalaman serta melayan semua orang yang berselfie dengan beliau turut mengujakan rakyat yang hadir.

Kehadiran Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan beberapa rakannya (walaupun beliau datang sedikit lewat ketika majlis sudah bermula) turut dapat perhatian Uskup yang menyebut nama beliau di penghujung ucapannya.

Saya berterima kasih kepada Shafie kerana turut menjemput saya, jika tidak dijemput, sudah tentu saya terlepas peluang menikmati majlis Keningau ini, hidangannya, muzik hebatnya, mesej-mesej yang baik dan persahabatan.. 😀#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment

Search This Blog