Top posts

Featured Posts

Shafie Zahirkan Visi dan Misi Warisan Untuk Sabah

Borneo Herald
1.05AM MYT, 24-11-2025


KOTA KINABALU : Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal, malam ini menzahirkan visi dan misinya untuk Sabah apabila parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN17 29 November 2025 ini.

Misi Warisan ialah untuk "Selamatkan Sabah". Misi ini pula dipandu oleh visi Warisan untuk Sabah iaitu bebas dari kebergantungan, maju dalam pembangunan ekonomi dan sosial, serta makmur untuk semua tanpa mengira bangsa, agama atau daerah.

Dokumen itu merupakan manifesto pilihanraya Warisan untuk PRN17 namun kali ini Warisan tidak menjenamakannya "manifesto" sebaliknya memfokusnya sebagai Misi Selamatkan Sabah

Shafie yang berucap kira-kira sejam setengah pada ceramah mega Warisan di pekarangan KDCA di sini, seperti biasa menyentuh banyak isu semasa dan sejarah Sabah, juga turut memberi sekilas pandang terhadap kandungan utama 'manifesto' PRN17 Warisan.

Para pegawai parti Waisan mengedarkan risalah "Misi Selamatkan Sabah: Edisi Warisan" pada pertengahan ceramah penuh semangat Shafie, seorang teknokrat dan ahli ekonomi, juga seorang yang berpengalaman luas lebih 36 tahun sebagai pemimpin politik.

Borneo Herald yang menerima senaskhah risalah itu mendapati Shafie telah membahagikan Sabah kepada lima zon geografi A, B, C, D dan E di mana setiap zon mempunyai tumpuan ekonomi dan pembangunan serta kekuatan tersendiri.

"Warisan akan memastikan pembangunan ekonomi dan infrastruktur tidak tertumpu kepada satu-satu daerah atau kawasan geografi, sebaliknya menjamin perhatian yang seimbang bagi semua kawasan," katanya.

Pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan infrastruktur telah dirancang untuk mencapai matlamat bagi mewujudkan peluang pekerjaan baru dengan purata pendapatan RM1,800-RM5,000 sebulan.

Kerajaan baru di bawah Shafie itu juga dijangka membuat pelaburan besar bukan saja dalam sektor infrastruktur dan ekonomi tetapi juga sektor sumber manusia, pendidikan dan kesihatan.

Antara lain projeknya ialah membina dua empangan hidro di Kinabatangan dan Segama, Lahad Datu untuk meningkatkan bekalan air dan juga menjana tenaga elektrik.

Pembinaan pelabuhan laut dalam di Kudat juga dirancang bukan saja kerana lebih dekat kepada China, Hong Kong dan Jepun tetapi ia akan menjana pelbagai kegiatan enonomi lain berhubung perkapalan dan pengangkutan di rantau ini.

"Kenapa pula kita mengimport beras Vietnam tapi beras itu dibawa keliling begitu jauh ke Pelabuhan Kelang, kemudian di sana dipek oleh Bernas sebelum dihantar ke Sarawak dan Sabah," katanya.

Pembinaan landasan keretapi juga turut mendapat perhatian Shafie di mana satu rangkaian landasan bakal dibina berperingkat sehingga ia dapat menghubungkan seluruh Sabah dari ibu negeri, Beaufort dan Tenom sekarang sehingga ke Kudat, Sandakan, Tawau, Keningau dan Sipitang.

"Komoditi berat lebih mudah diangkut melalui keretapi kerana keretapi tiada jem serta ia akan menyelamatkan jalanraya Sabah yang sekarang ini sering rosak kerana dilalui lori berlebihan muatan.

"Kita semua tahu kenapa jalanraya Sabah baru saja diturap tapi tidak lama sudah kembali rosak dan berlubang? Ini babitkan ratusan juta ringgit. Ini kerana pihak JPJ tiada penguatkuasaan berhubung berat muatan yang melalui jalanraya kita ," katanya.

Shafie juga berjanji mewujudkan semula dua kementerian iaitu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah seperti ketika beliau Ketua Menteri selama dua tahun pada 2018-2020.

Beliau juga menggariskan pelbagai inisiatif yang ingin dibawa oleh kerajaan Warisan termasuklah mewujudkan ladang pertanian, penternakan, membuka kilang seperti lateks (glove dan tayar), membuat ubat generik, perabot, produk minyak makan dan petroleum, ladang sawah padi Terusan Sapi, hab makanan, universiti pertanian dan hospital.

Shafie juga menegaskan kerajaan Warisan akan berusaha menghidupkan semula SFI sebagai kilang pelbagai produk berasaskan kayu akasia sebab bekalan kayu berkenaan antara yang terbesar di rantau ini.

"Lebih 2,000 orang kakitangan SFI telah kehilangan pekerjaan malah rumah. Kita boleh dapatkan pelabur untuk revive SFI. Takkan kertas dan tisu pun kita tidak boleh buat, kita terpaksa import dari luar," katanya lagi.

Pemprosesan hiliran adalah antara yang mendapat perhatian beliau. 

"Rumpai laut misalnya saya diberitahu produk kita diekport ke Paris untuk diproses menjadi produk kecantikan. Kita boleh usahakan dengan pelabur kenapa perlu buka kilang di Paris, kita boleh bawa pelabur buka kilang di sini," katanya.

Untuk ini, katanya, menukarkan sumber asli kepada pendapatan yang lumayan (monetising raw materials), membasmi kemiskinan, menjana kekayaan serta memacu ekonomi seluruh Sabah merupakan antara cita-citanya.

Beliau juga mengumumkan timbalannya, Datuk Darel Leiking telah dipertanggungjawabkan mereformasi Yayasan Sabah dan memastikan tanahnya memberi hasil kepada rakyat Sabah termasuk dalam bentuk biasiswa kepada pelajar Sabah dan bukannya hanya memberi hasil kepada syarikat seperti Benta Wawasan Sdn Bhd dan Sabah Softwoods Sdn Bhd.

Dianggarkan tidak kurang 2,000 orang pelbagai kaum hadir pada ceramah malam ini yang turut dihadiri Darel, dan calon-calon Warisan dari Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan#~Borneo Herald™







No comments:

Post a Comment

Search This Blog