Oleh Jayden Lisandu, 5-9-2025
KOTA KINABALU : Warisan akan mewujudkan "ombudsman" untuk mendengar dan menyelesai rungutan rakyat terhadap prestasi negara amnya terutama sekali jabatan atau agensi kerajaan negeri, apabila ia membentuk kerajaan nanti.Pada masa ini Warisan sudahpun "mewujudkan" ombudsman bayangan iaitu Setiausaha Agung parti itu sendiri, Datuk Loretto Padua.
Menurut jurucakap pasukan ombudsman Warisan, Datuk Honorsius Bosuin, ombudsman dalam beberapa bulan kebelakangan sebenarnya sudahpun menjalankan pendengaran rungutan "ala-town hall meeting" di beberapa tempat di Sabah.
"Ombudsman yang turut dianggotai sepasukan pembantu sebenarnya telah mula membuat pendengaran antara lain di Kg Lumadan pada Julai 2025, di Kg Pononoburan, Tambunan, di Liawan, Sindumin dan Kg Bandau Membakut," jelas beliau kepada Borneo Herald.
Menurut Honorsius lagi, program "outreach" ombudsman ini direstui presiden Warisan sendiri, Datuk Shafie Apdal, sebagai satu jalan kerajaan baru Sabah nanti mendengar dan menyelesai sebarang komplen umum terhadap mana-mana agensi kerajaan, bahkan juga pihak swasta.
"Ombudsman" ialah seseorang yang dilantik sama ada oleh kerajaan atau dewan perundangan dan biasanya beliau dan kakitangan pejabatnya menerima gaji dari kerajaan.
Ombudsman ini boleh mengkhusus kepada satu aspek saja misalnya hanya ombudsman perumahan, dan boleh juga menyeluruh bergantung kepada syarat pewujudan peranan ombudsman itu sendiri.
Bagaimanapun, ombudsman adalah seseorang yang neutral dan tidak memihak kepada kerajaan, pihak swasta mahupun si perungut. Ombudsman menerima rungutan dan akan berusaha mencari penyelesaian yang adil dan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam sesuatu rungutan atau konflik yang timbul.
Khidmat ombudsman dalam menyelesai sesuatu masalah adalah percuma, dan walaupun keputusan ombudsman itu berpengaruh dalam memperkukuh tata kelola, ia hanya nasihat yang tiada kuasa perundangan untuk dikuatkuasakan seperti keputusan sesebuah mahkamah.
Dalam erti kata lain, ombudsman ini menyelesaikan sesuatu rungutan atau komplen berhubung agensi kerajaan atau swasta menerusi perundingan, perbincangan dan penyiasatan.
Institusi ombudsman ini mula-mula diperkenalkan oleh Sweden pada tahun 1809 lagi dan kini banyak negara telah mewujudkannya terutama di Eropah, tetapi juga di negara lain termasuk negara-negara Afrika, juga di Filipina, Thailand dan Costa Rica. Negara Komanwel seperti New Zealand dan Australia sudah ada ombudsman sejak tahun 1970-an lagi.
Pasukan ombudsman Warisan yang diketuai Loretto masa ini dibantu oleh Honorsius, Terence Siambun, Terence Au, Ahmad Hassan, Ignatius Matayun, Matthew Yong dan Romeo Lajawi.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment