Top posts

Featured Posts

Sabah Kecam Pemimpin Umno Persenda Paderi dan Sister Roman Katolik

Borneo Herald
3.10PM MYY, 15-9-2026

Oleh Datuk Dr Mohd Irwansyah Abdullah
SAYA mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Datuk Noorazli Said yang menggunakan watak seorang paderi Katolik dan seorang biarawati sebagai bahan jenaka berunsur seksual dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Bagi saya, ini bukan soal sama ada seseorang itu mempunyai selera humor yang berbeza atau sama ada kenyataan tersebut dimaksudkan sebagai jenaka. 

Apabila tokoh agama, kehidupan keagamaan dan Kitab Suci dijadikan bahan jenaka yang berunsur seksual, ia sudah melampaui batas kewajaran dan rasa hormat yang sepatutnya kita amalkan dalam sebuah negara berbilang agama seperti Malaysia.

Lebih membimbangkan, jenaka tersebut disampaikan di pentas sebuah perhimpunan politik nasional dan kemudiannya dikaitkan pula dengan Mazmur 129. Rujukan tersebut amat mengelirukan kerana kandungan sebenar Mazmur 129 tidak membawa maksud seperti yang digambarkan dalam jenaka berkenaan.

Kitab Suci bukan bahan untuk diputarbelitkan demi mendapatkan gelak ketawa. Paderi dan biarawati bukan watak untuk diseksualkan atau dipermainkan bagi menyampaikan analogi politik.

Saya ingin tegaskan bahawa sebagai seorang wakil rakyat dari Sabah, saya amat memahami kepentingan menjaga keharmonian dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan budaya. 

Di Sabah khususnya, kita telah lama menunjukkan bahawa perbezaan agama bukan penghalang untuk kita hidup bersama dalam keadaan aman, saling menghormati dan saling membantu. Sebab itu, kita tidak boleh membiarkan budaya mempermainkan agama menjadi sesuatu yang normal dalam politik.

Saya juga ingin bertanya: Jika jenaka yang sama dibuat dengan menggantikan paderi dan biarawati Katolik dengan tokoh agama daripada agama lain, adakah kita akan menganggapnya sebagai sekadar gurauan? Kita tidak boleh mempunyai dua standard dalam soal sensitiviti agama. 

Jika kita mahu agama kita sendiri dihormati, maka kita juga wajib menghormati agama orang lain. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina atau memperlekehkan kepercayaan orang lain. Kebebasan berpolitik pula tidak bermakna seseorang pemimpin boleh menggunakan agama sebagai bahan untuk meraih tepukan dan ketawa daripada khalayak.

Saya mengambil maklum bahawa Datuk Noorazli Said kemudiannya menyatakan kesediaan untuk memohon maaf sekiranya kenyataannya telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan, sambil mengatakan bahawa beliau tidak berniat menghina mana-mana agama.

Namun, dalam isu yang menyentuh agama dan maruah penganutnya, saya berpandangan bahawa permohonan maaf perlu dibuat secara jelas, terbuka dan tanpa syarat, khususnya kepada masyarakat Katolik dan komuniti Kristian yang telah tersinggung dengan kenyataan tersebut.

Jangan hanya minta maaf kerana semata - mata hendak meredakan keadaan tetapi hasrat minta maaf itu juga harus disertakan jiwa sebenar untuk menjulang keharmonian negara. Jangan mulut cakap lain, perwatakan buat lain.

Saya juga menyokong supaya pihak berkuasa menilai perkara ini secara profesional dan adil, termasuk meneliti keseluruhan konteks kenyataan tersebut serta penyebarannya di media sosial, sekiranya terdapat asas untuk siasatan di bawah undang-undang yang berkaitan. 

Saya menyeru kepada seluruh warga Katolik dan umat Kristian seluruh negara untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang - undang terhadap Datuk Noorazli Said.  Rakyat Malaysia dan Kerajaan Malaysia kena bagi isyarat jelas bahawa mana - mana individu yang memperkudakan perkara 3R harus diambil tindakan tegas demi perpaduan Negara Malaysia yang tercinta ini.

Pada masa yang sama, saya menyeru semua pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab apabila menyentuh perkara berkaitan agama. Kita boleh berbeza parti. Kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh berdebat dengan hebat mengenai dasar, ekonomi, pembangunan dan masa depan negara.

Tetapi agama rakyat jangan dijadikan bahan permainan politik.
Malaysia dibina atas kepelbagaian. bahawa rakyat daripada pelbagai agama dan latar belakang boleh hidup bersama dengan aman apabila kita memilih untuk menghormati antara satu sama lain. Jangan kerana mahu mendapatkan satu gelak ketawa dalam dewan politik, kita sanggup melukakan hati ribuan malah jutaan penganut agama. 

Hormati agama. Hormati tokoh agama. Hormati Kitab Suci. Hormati penganutnya.
Itulah asas keharmonian Malaysia yang mesti kita pertahankan bersama.

Datuk Dr Mohd Irwansyah Abdullah @ Derreck ialah Pengerusi Cawangan Wilayah Sabah, Persatuan Pengguna Harapan Malaysia (PPHM) dan juga Ketua Kawasan Parlimen Gabungan Bebas Merdeka (GBM) Putatan.#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment

Search This Blog