Borneo Herald
5.21PM MYT, 30-10-2025
RANAU : Seorang pemimpin pemuda sebuah parti lokal yang juga disebut-sebut "bakal calon" di Keranaan dikatakan telah menimbulkan huru-hara dan tidak senang dalam satu karaoke di sini semalam apabila dia mula "berceramah" politik di karaoke tersebut.
Suasana karaoke di Pasir Putih dekat sini dikatakan berubah kecoh selepas pemuda itu bertindak menjadikan bilik karaoke sebagai ‘pentas ceramah segera’ kira-kira jam 11 malam tadi.
Keadaan bertambah panas dan berakhir dengan insiden fizikal berikutan pemuda itu yang disertai rakan-rakannya tidak "menghormati" pengunjung karaoke berkenaan.
Mereka dikatakan singgah di karaoke berkenaan selepas menghadiri satu program parti yang berlangsung di Dewan Tokong Ranau sebelum itu.
Pemuda terbabit dikatakan masuk ke bilik karaoke dengan penuh semangat, namun bukannya memilih lagu, tetapi terus mencapai mikrofon dan berucap mengenai politik, seolah-olah sedang berkempen menjelang Pilihanraya Negeri.
Tindakan tersebut bukan sahaja merosakkan "mood" pengunjung lain, malah menimbulkan rasa kurang senang kerana ramai hadir untuk menyanyi dan melepaskan tekanan, bukan mendengar ‘manifesto versi karaoke’.
Seorang pelanggan kemudian menegur pemuda terbabit agar tidak menjadikan pusat hiburan sebagai gelanggang politik, tetapi teguran itu dikatakan memburukkan lagi keadaan.
Menurut saksi, berlaku pertikaman lidah apabila pemuda itu didakwa membalas dengan kata-kata sinis dan provokatif, kemudian mengakibatkan ketegangan memuncak dan berlaku tolak-menolak antaranya dan rakan-rakannya serta memukul pelanggan yang menegurnya.
Pelanggan itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka, hidung dan dada, sebelum beberapa individu campur tangan meleraikan pergaduhan.
Menurut sumber, satu laporan polis juga dibuat dan difahamkan siasatan sedang dijalankan di bawah kesalahan mengganggu ketenteraman awam.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment