Penggerak Politik "Gabungan Bebas Merdeka" Dilancarkan Di Tuaran Hari Ini

Borneo Herald 
11.00PM MYT, 14-8-2026



Oleh Jayden Lisandu, Tuaran
TUARAN : Sebuah pergerakan politik bebas yang menggelar diri mereka "Gabungan Bebas Merdeka" [ GBM ] telah dilancarkan di sebuah restoran Tuaran di sini hari ini, bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia dan Sabah.

Gabungan para pemimpin lokal Sabah itu mengambil tema ✓Merdekakan Malaysia Dari Rasuah, dan ✓Merdekakan Sabah dan Sarawak Dari Belenggu Kesulitan sebagai pati utama panggilan politik perubahan mereka.

Pemandu falsafah perjuangan GBM, Dr Kanul Gindol, ketika melancarkan pergerakan itu dalam satu majlis ringkas berkata GBM lahir dari kesedaran bahawa Sabah memerlukan gelombang baru politik untuk perubahan dan pembaharuan.

"GBM dengan ini merupakan pergerakan politik yang pertama mengusulkan kepada rakyat negara ini supaya Borneo terutama sekali Sarawak yang sudah membuktikan kebolehan tadbir urus, agar diberi laluan memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia selepas pilihanraya umum (PRU) tidak lama lagi.

"Kami mengusulkan seseorang yang bijaksana dari Sarawak dipilih untuk dilantik Perdana Menteri Malaysia pada PRU kali ini, dan GBM berusaha mencari jalan bagi impian ini untuk melonjak mencapai beberapa matlamat yang amat sukar diselesai atau dipenuhi selama lebih 60 tahun ini," katanya pada majlis ringkas yang dihadiri sembilan aktivis, termasuk seorang dari Sarawak.

Katanya, Sarawak ada 31 ahli Parlimen manakala Sabah 25 dan seorang dari Labuan, namun jika pun hanya 15 ahli parlimen Sabah bergabung dengan 31 MP Sarawak ia sudah cukup kuat dengan 46 MP boleh menentukan fokus negara membantu Sabah dan Sarawak di samping menoktahkan rasuah pejabat tertinggi, apatah lagi jika 57 MP bergabung membuat perubahan drastik.

Beliau juga memberi contoh, walaupun PAS kelihatan tidak ingin bersama lagi dengan DAP dan PKR, mereka juga pernah dalam kerajaan campuran sebelum itu, dan yang sebenarnya adalah lebih mudah bagi PAS atau PN menyokong seseorang pemimpin Islam dari Sarawak menjadi Perdana Menteri dari sekali lagi bersama dengan DAP atau PKR misalnya.

"Sama ada orang Sarawak ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia itu soal lain, apa yang pasti pada malam keputusan PRU itu nanti satu kata sepakat perlu diperolehi pada malam itu juga. Dan kita di GBM akan kempen untuk PM dari Borneo tak kira berapa banyak lagi PRU sehingga kita dapat peluang itu. Saya fikir Sabahans akan sangat teruja dengan idea PM dari Sarawak itu sebab juga mereka selalu memuji pimpinan Sarawak dan mengeluh rasuah berleluasa walau silih berganti PM dari Malaya," ujarnya lagi.

Menurutnya GBM bersedia menggerakkan rakan-rakan aktivis di 26 kawasan Parlimen termasuk Labuan supaya mereka boleh mendengar sendiri komen dan aspirasi orang Sabah secara terus terang dari lubuk hati mereka, dan dari situ membantu mereka mencari jalan terang.

"Selama ini semua Perdana Menteri adalah dari Malaya dan kita boleh lihat sendiri, pada hari ini pun kita baca laporan bermacam rasuah, penyelewengan kuasa dan wang terus berleluasa di semua tempat termasuk di pejabat paling tinggi. Sampai bila begini? Siapa lagi yang kita mahu percaya dari sana? Masalah kita hanya dipertimbang, diperhalusi, dibawa ke mesyuarat..habis satu penggal masih tak selesai.

"Sudah tiba masanya Sarawak dan Sabah menerusi inisiatif rakyat sendiri melancarkan gelombang baru, gelombang pembaharuan di Sabah khususnya di mana para pemimpinnya tidak sehaluan, dan nampaknya masih terus mengharapkan yang tidak dapat diharapkan atau  dipercayai lagi," katanya sambil menambah Sabah tidak boleh mengharapkan penyelesaian dan pembaharuan dari pihak atau pendekatan yang terus-menerus salah dan sengaja tidak menyelesaikan.

Dr Kanul berkata selepas beliau bertemu rakan lamanya Anthony Mandiau di Kota Marudu minggu lalu beliau memberitahu Anthony 'Perdana Menteri Malaysia mesti dari Sarawak kali ini, tidak boleh lagi terus-menerus dari Malaya saja' tema tersebut telah mendapat sambutan hangat orang ramai yang sangat memberangsangkan.

"Makanya kami percepatkan pertemuan ringkas ini hari ini. Ada beberapa lagi rakan pemimpin tidak dapat hadir, dan oleh itu saya akan berusaha bertemu mereka termasuk dari Sandakan, Tawau dan Pensiangan," katanya lagi.

Katanya, beliau tidak terperanjat ramai orang Sabah berminat menyokong gerakan politik itu kerana rata-rata orang Sabah kini melihat Sarawak sebagai model yang terbaik apabila pemimpin negeri itu berjaya mentadbir urus negeri dengan sangat baik dan memajukan.

"Banyak orang sebut mengenai Sarawak.. pengeluaran minyaknya, Air Borneo, pelabuhan Bintulu, siapnya Lebuhraya Pan-Borneo, bajet negeri cecah RM15 bilion, sedangkan Sabah hanya RM6 bilion, dan sudah dekat 10 tahun laluan Pan-Borneo paling strategik dari Berungis Tuaran ke Inanam dan Kota Kinabalu tidak pandai siap-siap sedangkan ia laluan utama semua ke ibu negeri termasuk dari utara, dari Ranau, Sandakan, Tawau semua lalu di situ tapi jalannya sangat teruk tak pandai siap-siap, duluan siap di bahagian yang tidak begitu mendesak...

"Kita juga telah menyaksikan Sabah gagal ambil peluang kukuhkan kerajaan Sabah pada PRN lalu apabila gagal membentuk kerajaan campuran GRS-Warisan yang sepatutnya majoriti solid untuk parti tempatan Sabah, tak perlu lagi pihak luar. Lain dicakap, lain dibuat. Itulah dia yang telah berlaku dan akan berlaku lagi selagi orangnya sama," katanya.

Peguam Peter Marajin merupakan Pengerusi Kehormat dan Penasihat GBM.#Borneo Herald™




 

No comments:

Post a Comment