Tiga Anak Muda Sabah Pilih Jalan Mendidik, Bukan Mengejar Populariti

Dari kiri : Reky Chee Hau Jun, Allysha Bingkasan dan Frezerian Rayner Karim Adam

Borneo Herald
1.45PM MYT, 13-5-2026



KOTA KINABALU: Ketika ramai anak muda sibuk mengejar populariti di media sosial, tiga pendidik muda dari Sabah tampil dengan misi berbeza – mendidik kanak-kanak melalui pendekatan fonik kreatif dan interaktif. 

Frezerian Rayner Karim Adam turut dibantu oleh dua rakannya Reky Chee Hau Jun dan Allysha Bingkasan yang mana kini giat memperkenalkan kaedah Jolly Phonics bagi membantu perkembangan literasi awal kanak-kanak. 

Mereka percaya setiap anak mempunyai potensi untuk membaca dengan lebih menyeronokkan apabila menggunakan kaedah yang sesuai. 

“Bagi kami, mendidik bukan sekadar mengajar huruf dan bunyi, tetapi membina keyakinan, emosi dan minat belajar sejak usia muda,” kata Frezerian ketika ditemui selepas sesi kelas bacaan di Kota Kinabalu. 

Frezerian dan Allysha mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak, manakala Reky pula berpengalaman dalam bidang TESL (Teaching English as a Second Language). 

Perbezaan itu menjadi kekuatan apabila mereka bergabung untuk memperkasa pendidikan fonik di Sabah.

Perjalanan mereka bermula dengan kelas bacaan berasaskan rumah (home-based reading), sebelum mendapat sambutan daripada ibu bapa yang melihat keberkesanan kaedah fonik dalam membantu anak-anak menguasai kemahiran membaca. 

Antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah memperkenalkan kaedah fonik kepada masyarakat yang masih kurang memahami kepentingannya. 

Namun, dengan kreativiti dan suasana pembelajaran menyeronokkan, mereka berjaya menarik minat kanak-kanak untuk belajar membaca dengan lebih yakin. 

“Kejayaan sebenar bukanlah tentang seberapa terkenal seseorang itu, tetapi berapa ramai kehidupan yang mampu disentuh dan diubah melalui pendidikan,” jelas Reky Chee. 

Ketiga-tiga pendidik ini berharap usaha mereka menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Sabah untuk tampil sebagai pendidik yang bukan sahaja mengajar, tetapi memberi impak positif kepada masyarakat. 

Mereka percaya perubahan besar dalam masyarakat bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak, dan setiap usaha kecil hari ini mampu mencorakkan masa depan generasi akan datang.#~Borneo Herald™