BERSIH dan Pemimpin Siswa Gesa Polis Bebaskan Pemimpin Siswa Yang Ditahan Hari Ini di IPD KK

Borneo Herald
2.00PM MYT, 4-3-2026


Oleh Fadhil Kasim, Tawau
(1) KAMI menggesa pembebasan serta-merta Sudirman Arshad, Mahasiswa Hubungan Antarabangsa UMS yang kini ditahan polis ketika hadir hari ini di IPD Kota Kinabalu untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

(2) Siasatan ini adalah berhubung perkongsian Sudirman yang menjelaskan bahawa kedudukan TYT Sabah bukanlah kuasa mutlak dan boleh dipecat melalui mekanisme yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sabah dengan sokongan dua per tiga Dewan Undangan Negeri. Kenyataan tersebut mempunyai asas undang-undang yang kuat, jelas dan teliti.

(3) Menjelaskan fakta perlembagaan bukan satu jenayah. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, semua jawatan tertakluk kepada peruntukan perundangan sebagai mekaniskme semak dan imbang. Mengkriminalisasikan wacana perundangan rakyat hanya akan menjejaskan ruang kebebasan bersuara dan menyekat budaya intelektual masyarakat.

(4) Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar Ibrahim dan pentadbiran negeri Sabah di bawah Hajiji Noor tidak boleh terus berselindung di sebalik slogan reformasi sementara pada masa yang sama membiarkan undang-undang represif dan keji digunakan untuk membungkam rakyat yang bersuara. Jika benar komited kepada perubahan, hentikan segera intimidasi politik, tarik balik siasatan yang bermotif menakutkan awam, dan buktikan bahawa reformasi bukan sekadar retorik penuh kepalsuan.

(5) Bersih bersolidariti penuh bersama Sudirman Arshad dan seluruh mahasiswa yang berani berdiri di barisan hadapan mempertahankan hak bersuara, menjunjung prinsip keadilan dan tidak gentar menyatakan kebenaran demi maruah rakyat dan demokrasi negeri ini.

(6) Kami turut menggesa pemansuhan segera Akta Hasutan 1948 yang saban tahun digunakan autoriti sebagai alat menekan, menakut-nakutkan dan mengintimidasi para aktivis. Undang-undang lapuk ini tidak selari dengan semangat demokrasi seharusnya meraikan kebebasan ekspresi dan bersuara seperti yang dijamin perlembagaan negara.

Fadhil Kasim ialah seorang pemimpin siswa UMS dan juga naib pengerusi Bersih Sabah#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment