Pengurusan Lemah Penyebab Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Sabah 57%

                      Walther Philip Michael

Borneo Herald 
11.39PM MYT, 12-1-2026


KUALA PENYU : Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Sabah sebanyak 57% adalah yang tertinggi dalam Malaysia dan ini amat merugikan.

Menurut bekas calon Star DUN Kuala Penyu, Walther Philip Michael, hal itu disebabkan isu pengurusan dan paip bocor di pelbagai tempat di negeri itu.

Katanya walaupun Ketua Menteri Sabah bahkan Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan berusaha meningkatkan kecekapan bekalan air, masalah air terus juga menghantui Sabah.

"Cadangan memperbadankan Jabatan Air Sabah untuk meningkatkan kecekapan, dengan bantuan Persekutuan, nampaknya belum menyelesai masalah air Sabah.

"Banyak air hilang sebelum sampai kepada pengguna, kebanyakannya akibat paip pecah dan sambungan haram," katanya di sini hari ini.

Menurut Walther lagi, pojek Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang berjalan belum menampakkan impak menyeluruh untuk menangani masalah pengurusan air Sabah.

Katanya, ramai pengguna Sabah kesal dan kecewa kerana kerajaan terus gagal meningkatkan pengurusan air dan mengurangkan kerugian.

Katanya lagi, 18 projek air yang sedang dilaksanakan, termasuk LRA Kogopon dan Empangan Air Cinta Mata, sepatutnya dapat mengatasi masalah ketidakcukupan air, sekurang-kurangnya pada masa terdekat.

"Perdana Menteri sendiri menegaskan Sabah menerima peruntukan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu air namun ia belum menampakkan hasil setakat ini.

"Masalah air di Sabah sebaliknya terus kritikal, seperti sering dialami penduduk dan yang berlarutan di Kuala Penyu, Kinarut dan Wilayah Persekutuan Labuan," tambahnya.#Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment