Hak Sarawak Jangan Rebut, Bukan Untuk Dirunding, Premier Beri Amaran Kepada Persekutuan

Borneo Herald
8.00AM MYT, 6-12-2025


KUCHING : Kerajaan Sarawak menegaskan dengan nada paling keras bahawa setiap inci dasar laut, bawah tanah dan pelantar benua dalam sempadan negeri adalah hak sah Sarawak. Hak ini bukan hasil tuntutan politik semasa, tetapi hak berdaulat yang dijamin undang-undang, termaktub dalam dokumen pembentukan Malaysia sendiri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengingatkan Persekutuan bahawa tiada satu fasal pun dalam MA63 atau Akta Malaysia 1963 yang memberikan hak milik pelantar benua Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

Beliau menyatakan dengan tegas bahawa sebarang tafsiran yang cuba menafikan hak Sarawak adalah bertentangan undang-undang, salah dari segi sejarah, dan tidak sah dari segi perlembagaan.

“Hak Sarawak Tidak Boleh Diceroboh. Titik.” Premier

“Saya ulang: hak Sarawak ke atas pelantar benua adalah mutlak, tidak boleh dipisah, dan tidak boleh dirunding. Dasar laut serta bawah tanah negeri ini sudah menjadi hak Sarawak melalui Kanun Tanah 1958 sejak Hari Malaysia 1963. Ini fakta undang-undang, bukan pandangan,” tegas Premier.

Dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri semalam, beliau menekankan bahawa:

 • Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan melindungi sempadan Sarawak.
 • Persekutuan tidak boleh mengubah sempadan negeri tanpa persetujuan DUN.
 • Sebarang percubaan dianggap pelanggaran perlembagaan yang serius.

Akta Pelantar Benua 2009: Bukti Hitam-Putih Hak Sarawak

Pindaan Akta Pelantar Benua 2009 mengesahkan bahawa negeri mempunyai hak substantif terhadap dasar laut dan bawah tanah dalam sempadannya. Undang-undang ini diselarikan dengan MA63 dan Perlembagaan Negeri Sarawak, sekali gus mengukuhkan kedudukan undang-undang Sarawak.

“Sarawak telah mengurus minyak dan gasnya sejak zaman British. Hak ini lama wujud sebelum Persekutuan mengambil apa-apa peranan. Tiada sesiapa pun berhak menggugatnya dari segi undang-undang, mereka tidak ada locus standi untuk berbuat demikian,” jelas Premier.

Perkara 47(2) Perlembagaan Negeri Sarawak yang menjadi lampiran sah dalam MA63 memperincikan batas kuasa negeri, termasuk pelantar benua.

Mencabar Hak Sarawak = Melanggar MA63 + Perlembagaan Negeri + Perlembagaan Persekutuan

Premier memberi amaran bahawa sesiapa yang cuba mempertikaikan hak Sarawak secara langsung melanggar:

 1. MA63, asas pembentukan Malaysia,
 2. Perlembagaan Negeri Sarawak, dan
 3. Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan Sarawak mempunyai kuasa perundangan tersendiri melalui:

 • Ordinan Perlombongan Minyak 1958,
 • Ordinan Pengagihan Gas 2016,

yang memberikan Sarawak kuasa mutlak mengawal penerokaan dan pengekstrakan hasil bumi dalam wilayahnya.

“Oleh itu, setiap entiti sama ada syarikat GLC, agensi Persekutuan atau syarikat luar wajib tunduk kepada undang-undang Sarawak. Undang-undang negeri tidak boleh diketepi, tidak boleh dipijak.”

Sarawak Tidak Akan Mengalah – Undang-Undang Menyebelahi Negeri

“Sarawak tidak akan berundur walau seinci. Hak negeri ini bukan sekadar tuntutan politik; hak ini dilindungi undang-undang tertinggi negara,” tegas Premier.

Premier menutup dengan kenyataan yang lebih keras:

“Kedaulatan tanah, sumber dan pelantar benua Sarawak adalah hak sejarah, hak undang-undang dan hak perlembagaan. Hak ini bukan untuk dirunding, bukan untuk dipersoal, dan bukan untuk direbut. Sarawak akan mempertahankannya sepenuhnya,” katanya.

Tambahan ulasan oleh Dr Kanul Gindol, seorang pemerhati veteran politik Negeri~Persekutuan :
Sarawak membentangkan Bajet 2026 berjumlah RM12.9 bilion, yang terbesar dalam sejarahnya, berbanding hasil sebanyak RM13.1 bilion.

Sebagai perbandingan semasa, Bajet Sarawak ini sekali ganda lebih besar daripada Bajet Sabah, dan jauh meninggalkan bajet negeri-negeri Malaya yang hanya di sekitar RM600 juta (seperti Melaka, Negeri Sembilan, Perlis) hingga RM3 bilion (Pulau Pinang RM1 bilion, Johor RM2 bilion dan Selangor RM3 bilion).

Ini bermakna 11 kerajaan negeri di Semenanjung selama ini terlalu bergantung menunggu Bajet Persekutuan untuk pembangunannya. Merekalah yang selalu mengambil hak Sabah dan Sarawak selama lebih 60 tahun ini.
                            Dr Kanul Gindol 
Ini juga telah mengakibatkan Sabah dan Sarawak terus terkebelakang dari segi pembangunan. Namun Sarawak telah berjaya mengorak langkah awal untuk menutup jurang ini dengan menambahkan hasilnya menerusi beberapa inisiatif cukai.

Sarawak juga dijangka melaksanakan inisiatif cukai baru berhubung pelepasan karbon dan pencemaran. Mereka telah menggubal undang-undang mengenainya mengikuti usaha Kerajaan Persekutuan dalam hal ini.

Sarawak dijangka mula mengutip hasil dari inisiatif ini mulai tahun depan 2026.

Sabah belum lagi menggubal undang-undang yang sama, ini bermakna akan ketinggalan lagi. Itulah perlunya Sabah mempunyai seorang ketua yang bijak dan cepat mendapatkan bantuan para pegawai yang pintar termasuk Peguam Negerinya, seperti Sarawak.

Jika Sabah hanya mendapatkan "nasihat" dari peguam negeri yang menyatakan hak berperlembagaan 40% terhadap hasil cukai Sabah hanyalah 'aspirasi' atau keinginan saja, maka sukarlah bagi Sabah Maju Jaya ke depan. Pok stagnan saja, atau "putungan" itu-itu sahajalah..#~Borneo Herald™

No comments:

Post a Comment