Awas SCAMMER Pilihanraya di Sabah. Seperti Tebu, Manis di Pangkal, Tawar di Hujung Bahkan Mungkin Pahit

               Wang ada hantu, kata mereka.

Borneo Herald 
8.36AM MYT, 5-11-2025

Siri Literasi Politik Sabah 101
AWAS Para penipu dalam politik sedang berkeliaran di kedai :

Oleh Dr Kanul Gindol
SERINGKALI pada setiap pilihanraya terutama di Sabah, ramai yang bernafsu menjadi calon Yang Berhormat akan menjadi mangsa skem atau penipuan. Salah satu penipuan pilihanraya itu membabitkan orang yang menjanjikan wang ringgit yang banyak terutama kepada "bakal-bakal" calon.
Berikut salah satu modus operandi yang saya perjelas poin demi poin :

1. Katakan ada satu parti kecil Sabah atau satu kumpulan Bebas atau sebarang grup yang ada seorang ketua "scammer". Dia akan mempromosi platformnya kepada mereka yang sedang mencari 'tiket' bertanding.

2. Kerja "scammer" lagak pemimpin atau ketua yang boleh bergaya sedikit. Mungkin dia sentiasa berpakaian kemas dan memprojek imej boleh diharap. Perkataanya tersusun rapi. Tutur katanya kekadang disulami senyuman kecil yang meyakinkan.

3. Scammer ini akan merekrut bakal calon-calonnya dan kepada sebahagian calon dia akan menjanjikan wang dari Parti atau grupnya dalam lingkungan RM200,000 atau RM300,000 kepada setiap bakal calon. Namun beliau akan meminta bakal-bakal calon itu menunjukkan kepadanya mereka sendiri mesti ada minimum RM100,000 atau RM80,000 untuk digunakan sebagai persiapan awal.

4. Ketua scammer itu akan berjanji duit bakal dikeluarkan oleh penaja atau sponsor parti mereka mungkin dalam minggu terakhir sebelum Penamaan Calon, atau mungkin juga selepas saja Penamaan Calon. Bakal-bakal calon ini pula amat mengharapkan dana itu untuk mereka belanjakan menghadapi kempen dan pengundian. Ada juga yang bakal tertipu sebab scammer ini ada yang berani berjanji setiap calon akan menerima RM3 juta. Duit ini memang meningkatkan nafsu..

5. Scammer itu mungkin akan meminta bakal-bakal calon tersebut menyumbang kepada parti lagi, katakan hanya RM5,000 seorang. Ini hanya jumlah yang kecil berbanding RM300,000 atau RM3 juta yang bakal mereka 'terima' dari 'sponsor'. Bayangkan jika 35 orang bakal calon derma hanya RM5,000 itu sudah berjumlah RM175,000!

6. Kutipan scammer inilah yang dia guna untuk bergaya ke sana sini musim PRN ini.. tinggal di hotel sana sini, bermesyuarat di sana sini, dan menemui lebih ramai bakal calon.
Saya tahu ada ketua scammer politik ini yang mudah mendapat "sumbangan" dari bakal calonnya sendiri. Bakal calon ini pula ada yang sudahpun tertipu oleh scammer sehingga dia telah menyerahkan sejumlah wang mungkin mula-mula hanya RM3,000 tapi kemudian RM5,000 kemudian RM10,000.

7. Yang sebenarnya, apabila bakal-bakal calon itu sudah menghantar Borang Pencalonan, di sanalah bermula timbul pelbagai alasan duit sponsor yang dijanjikan sebenarnya sedang diurus atau tiada! Scammer akan berpura-pura dia juga jadi mangsa, kena skem oleh kononnya "sponsor" yang lari. Yang sebenarnya tidak wujud "sponsor" itu. Jika pun wujud, mana dia bahagi-bahagi duit itu kepada calon-calonnya. Dia ngap seorang diri, mungkin bersama dengan seorang dua lagi bakal calon lain yang sentiasa bersamanya. Ataupun jika betul ada itu beratus juta dari sponsor, mana mungkin scammer tidak dahulukan anak bini adik beradik iparnya dulu lah yang jadi calon !  

8. Pilihanraya ini adalah "free enterprise" siapa pun boleh bertransaksi. Berhati-hatilah rakan-rakanku semua.#~Borneo Herald™




No comments:

Post a Comment