Oleh Jayden Lisandu
TUARAN : Parti Warisan hari ini mendapat suntikan semangat di Tuaran apabila 1,167 dari pelbagai parti dan golongan muda menyertai parti itu dan menyerahkan borang kepada Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal.Ahli Majlis Tertinggi PBS, Datuk Dr Joseph Lee, bekas Timbalan Presiden Usno, Matbeh Ismail dan bekas Ketua Cabang PKR Tuaran, Ombilod Onul, adalah antara yang menyerahkan borang ahli hari ini.
Kira-kira 800 orang hadir pada majlis "Jelajah DSSA" itu walaupun dalam keadaan hujan. Antara yang turut hadir ialah timbalan presiden Warisan, Datuk Darel Leiking, Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Junz Wong, ketua bahagian Warisan Tuaran, Datuk Aliasgar Basri, dan pimpinan kanan yang lain.
Shafie dalam ucapannya selama sejam 10 minit, menyentuh banyak perkara berhubung sejarah Sabah, kegagalan pimpinan yang ada serta tawaran Warisan jika ia kembali memerintah sekali lagi.
"Sabah ini paling banyak parti politik. Orang luar suka memecahbelahkan orang kita... Tapi bukan saya yang membuat keputusan nanti. Kamu yang akan membuat keputusan..
"Masa depan anak-anak ini penting. Jangan kamu fikirkan masa depan saya," katanya sambil menunjuk kepada beberapa kanak-kanak yang ada bersama ibubapa mereka di majlis itu.
Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Sulabayan, turut menegaskan perlunya rakyat Sabah bersatu mengundi Warisan yang bergabung terus dengan rakyat untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat negeri itu.
"PAS boleh memerintah Kelantan lebih 40 tahun tanpa gabungan, dan Umno boleh memerintah Johor, kenapa pula Warisan tidak boleh memerintah di Sabah," katanya sambil menambah sukar bergabung dengan parti-parti lain kerana mereka lebih mementingkan keperluan diri mereka berbanding apa yang dimahukan rakyat Sabah.
"Bila kamu ada masalah air, adakah Datuk Zahid Hamidi datang atau bila kamu perlukan bekalan elektrik, adakah Datuk Anwar Ibrahim datang? Begitu juga jika kamu perlukan ikan, adakah Datuk Mohd Sabu datang?" katanya lagi.
Menurut Shafie kerajaan Warisan akan memperkenalkan peraturan kepada semua pemimpinnya nanti iaitu apabila mereka dilantik Menteri mereka tidak boleh menjalankan perniagaan seperti kerja kontrak, mereka mesti menumpukan kepada tugas sebagai menteri.
Begitu juga jika mereka ingin juga terlibat mengurus projek-projek maka mereka harus memilih meletak jawatan sebagai menteri terlebih dahulu.
Katanya budaya rasuah dan mengkayakan diri sendiri di kalangan pemimpin politik mesti diperangi habis-habisan, sebaliknya kerajaan pimpinannya mesti memperkenal insisiatif-inisiatif baru untuk mempertingkat ekonomi negeri dan memberi pekerjaan atau peluang niaga kepada rakyat.
Beliau menyebut antara usaha itu ialah membuka kilang tayar Sabah, membuat tong gas sendiri, membina kilang membuat ubat-ubatan seperti dibuat di Selangor, mendirikan sebuah universiti Sabah, mendirikan hospital Sabah Medical Centre mengambil contoh Subang Medical Centre.
Shafie juga berjanji mengembalikan Artikel 6(7) Perlembagaan Negeri bila Warisan memiliki majoriti cukup kerana ia mengembalikan kuasa jelas untuk melantik seorang ketua parti yang menang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri sebagai Ketua Menteri.
Shafie yang merupakan Ketua Menteri Sabah dari Mei 2018 hingga September 2020 itu, mempertahankan pencapaiannya berjaya menyerahkan banyak geran tanah kepada rakyat walaupun memegang pemerintahan Sabah hanya dua tahun.
Antara lain katanya kerajaan Warisan berjaya memberi 480 geran tanah di Tambunan, 2,800 di Keningau dan lebih 400 geran tanah di Nabawan.#~Borneo Herald™
No comments:
Post a Comment