KENYATAAN AKHBAR DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI EXCO HAL EHWAL ISLAM, ADAT-ADAT MELAYU, INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM
Bahagian  Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan  sepasukan  anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat  pemeriksaan ke atas  sebuah gereja di Damansara Utama berdasarkan hasil  maklumat yang  diterima. Maklumat tersebut menyatakan terdapatnya  kehadiran orang Islam  di dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di  gereja tersebut.
Anggota  Penguatkuasaan JAIS bersama anggota  polis telah menjalankan pemeriksaan  di premis terbabit walaupun  dihalang oleh pihak penganjur. Penganjur  utama yang dipercayai beragama  Islam telah berunding selama hampir 1 jam  bersama ketua operasi agar  pemeriksaan ke atas tempat dan individu  tidak dilakukan sehingga majlis  tersebut selesai.
Di dalam majlis  tersebut juga, kelihatan  seseorang sedang mengadakan pengucapan awam,  di mana ucapannya ada  diselitkan dengan perkataan Quran dan ‘pray’.
Setelah majlis  hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis  telah membuat  pemeriksaan meskipun terdapat cubaan menghalang  pemeriksaan dan  melupuskan bahan bukti.
Pegawai penguatkuasa JAIS  dan polis  mendapati ada percubaan dikalangan peserta untuk melarikan  diri melalui  pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang oleh  penguatkuasa JAIS.
Terdapat  seramai 12 orang yang beragama Islam  telah menghadiri majlis tersebut.  Tiada serbuan dan tiada tangkapan  dibuat. Sebaliknya pemeriksaan  dilakukan hanya selepas rundingan dengan  pihak penganjur diadakan.  Mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di  Bahagian Penguatkuasaan  JAIS untuk siasatan lanjut.
Berpandukan  kepada siasatan awal  mereka yang terlibat boleh didakwa dibawah Seksyen  10 Enakmen Jenayah  Syariah 1995. Selain daripada itu terdapat  bukti-bukti kegiatan  penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut  agama Islam.
Siasatan lanjut bagi kedua-dua kesalahan ini akan diteruskan.
PEJABAT  EXCO HAL EHWAL ISLAM, ADAT-ADAT MELAYU, INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN  AWAM, TINGKAT 2, BANGUNAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH 
No comments:
Post a Comment