| Menteri Kesihatan memberi amaran bahawa selepas  tarikh itu tidak ada lagi sebarang tempoh lanjutan.  | 
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran bahawa   selepas tarikh itu tidak ada lagi sebarang tempoh lanjutan diberikan   kepada pihak kontraktor dan mereka perlu menyiapkannya pada masa yang   ditetapkan.
Katanya, kelewatan projek itu disebabkan oleh beberapa masalah selain   sebahagian tingkat di bangunan itu mempunyai pesakit yang mana   keselamatan mereka perlu diutamakan.
“Kementerian telah memberi lanjutan masa dan saya berharap pihak   kontraktor dan juga Jabatan Kesihatan Negeri dapat bekerja keras dalam   menyegerakan projek terbabit,” kata Liow kepada media selepas mengadakan   lawatan kerja ke tapak projek pembangunan menara kembar QEH 1 di sini  kelmarin.
Liow berkata, QEH II memerlukan sebanyak 455 buah katil yang mana   setakat ini terdapat 150 buah katil yang digunakan dan 81 buah katil  lagi di tingkat 7A yang sudah siap diubahsuai menjadikan jumlah  keseluruhan katil yang ada sebanyak 231 buah katil.
Jelasnya, terdapat tiga bahagian untuk projek berkenaan iaitu  bahagian  A, penambahan tempat letak kereta; B, lif ‘on call’ untuk  doktor dan C,  pengubahsuaian tingkat enam, tujuh dan sembilan.
“Bagi bahagian A dan B ia sudah siap sepenuhnya dan bagi tempat letak   kereta kita sedang dalam permohonan untuk Sijil Menduduki (OC),”  katanya sambil menambah sebanyak 320 ruang letak kereta disediakan untuk  pesakit dan kakitangan hospital.
Kos binaan QEH II RM76.2 juta
Kesemua kos bagi projek pembangunan di QEH II melibatkan sebanyak  RM76.2  juta. Sebelum ini, bangunan QEH II adalah dikenali sebagai Sabah  Medical Centre (SMC), sebuah hospital swasta. Kerajaan membeli   bangunan ini dengan harga RM370 juta dua tahun lepas apabila bangunan   lama QEH yang dibina lebih 20 tahun lalu tidak selamat didiami.
Bangunan lama QEH setinggi lapan tingkat itu diroboh bagi memberi laluan untuk pembangunan projek menara berkembar QEH 1.
Selain itu katanya, pembinaan bagi Jabatan Pengimejan dan penambahan   tiga Bilik Pembedahan (OT) di QEH I sudah pun siap sepenuhnya dengan   masing-masing melibatkan kos sebanyak RM12 juta dan RM3 juta.
Mengulas mengenai projek pembangunan menara kembar QEH 1, Liow   menjelaskan, disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan dengan keadaan  hujan lebat, projek berkenaan agak terlewat daripada jadual yang  ditetapkan.
“Pada asasnya ia mengikut seperti yang dijadualkan, namun disebabkan   hujan lebat ia agak terlewat lebih kurang 10 hari. Namun, saya faham  tentang keadaan itu dan akan membuat pemantauan mengenainya,” jelasnya.
Projek yang melibatkan bangunan 10 tingkat itu dijangka siap pada   Disember 2012 dengan melibatkan kos sebanyak RM364 juta dan bakal  memuatkan sebanyak 660 buah katil.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr. Yusof Ibrahim;   Pengarah Hospital QEH, Dr. Zubaidah Ahmad Babji dan Pengerusi MCA Sabah,  Datuk Edward Khoo Keok Hai yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua  Menteri Sabah.
No comments:
Post a Comment