Top posts

Featured Posts

Suria Sabah tidak selamat?

Ezra Haganez
KOTA KINABALU : Selepas kompleks membeli-belah terkemuka Sabah, 1Borneo Hypermall, disyaki menjadi tempat penularan wabak TB bulan lepas dan menyebabkan pengunjung khuatir dengan tahap keselamatan di kompleks membeli belah itu, kini giliran kompleks membeli-belah Suria Sabah pula menjadi kurang selamat untuk dikunjungi.

Bagaimanapun ini bukan wabak tuberkulosis atau TB yang mengancam keselamatan pengunjung tetapi peragut yang juga dipercayai berpunca dari pendatang haram yang semakin berleluasa di kawasan kompleks berkenaan.

Dilaporkan hampir tiap hari ada yang mengadu menjadi atau hampir menjadi mangsa ragut dan gangguan budak-budak malahan orang dewasa Filipina yang berkeliaran mencari mangsa.

Dalam satu kejadian, seorang pengunjung yang datang membeli-belah di Suria Sabah pada hari pertama tahun baru 2014 menjadi mangsa ragut ketika berada di Metrojaya dalam kompleks itu.

Kejadian berlaku sewaktu seorang perempuan bersama bayi kecilnya ditemani adik perempuannya sedang melihat cadar di kedai berkenaan. Beliau menggantungkan beg tangannya di kereta bayinya (stroller). Menurut saksi, seorang rakan peragut mengalihkan perhatiannya dengan menjatuhkan cadar ke lantai.

Perempuan berkenaan yang sedang mendukung bayi cuba mengambil cadar yang terjatuh tadi dan meletakkannya semula ke tempat asal. Pada ketika itu seorang lelaki lain (rakan peragut) dengan pantas mengambil beg tangan perempuan yang disangkutkan pada kereta bayi.

Adik perempuan mangsa dan seorang pengunjung lain cuba mengejar peragut dan rakan subahatnya bagaimanapun kedua-dua lelaki dipercayai Filipin itu pergi ke arah yang berlainan.
Salah seorang mereka juga dilihat menggunakan telefon bimbit berwarna pink, juga dikhuatiri barang curi.

Salah seorang peragut kemudian dilihat telah melarikan diri menggunakan bot laju dan menuju ke arah Pulau Gaya manakala seorang lagi dapat dikejar. Suria Sabah yang dibina di gigi air terletak bersebelahan pangkalan bot-bot Pulau Gaya.

Ketika mereka mendekati rakan subahat peragut, dia mengeluarkan pisau dan mencabar mereka supaya mengikutnya masuk ke Pasar Filipina berdekatan.

Mereka tidak menyahut cabaran itu kerana khuatir dengan keselamatan mereka sebaliknya mereka pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

Dalam satu kejadian lain yang dilaporkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Likas, Junz Wong, menerusi laman facebooknya, pada lewat petang 6 Januari lalu, seorang remaja perempuan lepasan tingkatan enam menjadi mangsa ragut ketika pergi ke tandas bahagian 'basement' kompleks membeli-belah tersebut.

Menurut mangsa yang enggan namanya disiarkan, dia sedang berjalan menuju ke tandas seorang diri apabila diserang oleh seorang peragut yang cuba menarik beg tangannya dari arah belakang.

Beliau bagaimanapun melawan cubaan ragut penjenayah tersebut dan mujurlah ada sepasang pengunjung lain yang baru keluar dari tandas dan menyebabkan peragut terkejut seterusnya melarikan diri dengan tangan kosong.

Mangsa yang mengalami luka di pergelangan tangan dan pehanya kemudian mendapatkan rawatan di Permai Klinik.
Sehubungan ini Junz dalam laman facebook beliau menasihatkan para pengunjung lebih berhati-hati apabila berada di mana-mana tempat khususnya yang ramai kumpulan pendatang asing.
Beliau juga menyeru tahap keselamatan dapat dipertingkatkan khasnya di tempat-tempat yang dikenal pasti dicurigai, demi keselamatan dan keselesaan warganegara,

No comments:

Post a Comment

Search This Blog