Top posts

Featured Posts

SAPP Tenom bidas kenyataan Akjan pertahan bantahan RCI

TENOM: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Pusat Rudy Sulaiman Mairi, membidas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah Datu Akjan Ali Muhammad yang cuba mengaitkan perintah Allah dan Nabi Muhammad sebagai bahan terbarunya semata mata untuk mempertahan bantahannya terhadap RCI adalah bersifat terdesak dan keterlaluan.

Katanya, tidak ada bezanya dari segi perintah Allah jika pun rakyat di negeri ini menuntut hak keadilan dengan penubuhan RCI supaya kekeliruan mahu pun segala kecelaruan dapat diselesaikan dengan baik. Maka dengan cara sedemikian merupakan satu petunjuk yang baik mengikut perintah Allah.

"Saya juga seorang Islam, sememangnya tahu apa batasan batasannya termasuklah hukum hakam dalam Islam. (Jadi)…perkara lain yang ditekankan Akjan supaya mentaati pemimpin pemimpin BN kerana bantahannya dengan penubuhan RCI..ia sesuatu yang ganjil dalam sistem demokrasi yang diamalkan dinegara ini, sedangkan tindakan mereka (BN) membelakangi hak asasi rakyat, maka rakyat berhak untuk tidak mentaatinya," kata Rudy dalam satu kenyataan disini pada Isnin.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pemuda SAPP Zon Pedalaman menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Akjan yang dilaporkan baru baru ini sebagai berkata, bahawa Perkida pertahankan bantahannya terhadap penubuhan RCI dengan alasan bahawa RCI tidak mampu menyelesaikan masalah berhubung pendatang asing tanpa izin (PATI) dan peningkatan populasi diSabah.

Selain itu Akjan menambah bahawa Pekida merupakan NGO Islam yang terbesar dinegara ini dan ianya mematuhi perintah Allah, antaranya menyeru orang Islam agar taat kepada Tuhan, Nabi Muhammad dan kepada pemimpin pemimpin mereka khususnya Barisan Nasional (BN).

Rudy menegaskan bahawa dakwaan Akjan kononnya RCI tidak mampu untuk mencari punca kepada isu lonjakan populasi di Sabah kerana bayi dilahirkan setiap hari merupakan satu andaian semata mata yang sengaja dicanang Akjan untuk alasannya menidakkan penubuhan RCI daripada dilaksanakan kerajaan.

"Seperti yang dijelaskan oleh banyak pemimpin diSabah sebelum ini bahawa penubuhan RCI bukan bertujuan untuk bermusuhan dengan kesukuan dan etnik diSabah tetapi RCI merupakan landasan terbaik untuk menyiasat lambakan ratusan ribu Kad Pengenalan yang dikeluarkan menerusi "pintu belakang" termasuk untuk mengetahui siapakah dalangnya. Lagi pun, penubuhan RCI merupakan sebahagian daripada proses undang undang mengikut Perlembagaan Negara," tegas Rudy.

"Macam mana Akjan tahu bahawa RCI tidak mampu untuk mencari punca masalah tersebut sedangkan ia masih di peringkat perancangan dan belum dimulakan lagi…malahan RCI bukanlah dikendalikan oleh seorang dua tetapi sebaliknya ia dibarisi di kalangan pakar pakar undang undang, pesara pesara penjawat tertinggi awam dan juga golongan professional," tambah Rudy lagi.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog