Top posts

Featured Posts

SAPP DESAK SABAH SOKONG PENUBUHAN RCI

Oleh: DATUK LIEW TECK CHAN

MERUJUK kepada buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir, di muka surat 143, Abdul Mutalib Bin Mohamed Daud telah membuat affidavit saksi tentang kebenaran berlakunya kegiatan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan songsang kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) serta pemberian taraf Penduduk Tetap kepada orang Filipina. Beliau telah dijemput dalam Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat mengenai Integriti, Parlimen Malaysia pada 9 Februari 2007.

Sila ikuti ucapan penuh saya di Dewan Undangan Negeri Sabah;

Tuan speaker,

Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai Ucapan Dasar Kerajaan yang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah pada 21hb April, 2011.

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada TYT Yang DiPertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin ke atas perlantikan sebagai TYT Yang DiPertua Negeri Sabah ke-10

Seterusnya saya ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak atas perlantikan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang baru.

Tuan Speaker,

Pertama sekali saya ingin menyentuh perkara mengenai fenomena banjir yang seringkali melanda beberapa kawasan di Negeri Sabah. Selain daripada harta benda yang musnah yang lebih sedih juga ramai sekolah-sekolah terpaksa ditutup disebabkan banjir yang melanda sekolah sekolah berkenaan. Murid-murid terpaksa tidak dapat kesekolah dan sememangnya membawa kesan yang tidak baik terhadap pembelajaran murid-murid yang terganggu.

Tuan Speaker,

Sebagai contoh, di mana sebuah sekolah milik penuh kerajaan iaitu SK Kalang Kanar di Daerah Tenom sering kali mengalami masalah banjir yang serius. Kejadian ini berlaku oleh kerana kedudukan sekolah berkenaan di tempat yang rendah dan berhampiran dengan sungai. Kita sedia maklum bahawa ramai juga sekolah yang dalam situasi yang sama.

Justeru itu, pihak kerajaan seharusnya melihat permasalahan ini sebagai perkara yang sangat penting dan patut diberi keutamaan untuk ditangani segera kerana ianya bukan sahaja menimbulkan masalah kepada murid dan guru sekolah itu tetapi juga melibatkan kerosakan infrastruktur sekolah berkenaan.

Saya difahamkan bahawa peti suis elektrik juga ditenggelami air banjir dan ini boleh mengundang bahaya kepada seluruh warga sekolah itu sendiri. Sebagai makluman, SK Kalang Kanar merupakan satu-satunya sekolah yang menyimpan rekod tertinggi kekerapan dilanda banjir dimana tahun ini sahaja sekolah tersebut telah mengalami banjir sebanyak tiga kali.

Saya cadangkan kepada Jabatan Pendidikan supaya sekolah ini dipindah ketapak yang lebih sesuai demi keselamatan dan keselesaan murid-murid sekolah berkenaan.

Tuan Speaker,

Seterusnya Perkara (Kedua) mengenai Keselamatan di Dalam Negeri :

Sepertimana kita semua sedia maklum bahawa masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah satu masalah yang menghantui pemikiran dan mengundang permasalahan keselamatan di persekitaran kita.

Gejala sosial, masalah dadah, dan jenayah sering membabitkan PATI. Sebagaimana yang kita namakan ‘ibu kepada segala masalah’. Masalah ini sudah berpuluh tahun belum dapat ditangani dengan baik dan masalah PTI masih berlarutan sehingga hari ini di merata tempat di seluruh Sabah.

Dalam pada itu ada pula orang yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan untuk mengeksploitasikan kehadiran PATI di Sabah sebagai bahan dagangan untuk mencari keuntungan dengan pemberian Mykad, lebih dasyhat daripada itu pula ada orang tertentu menggunakan PATI sebagai keuntungan politik.

Memandangkan Kedaulatan Undang-Undang dan Perlembagaan Negara telah dicabuli oleh pihak tertentu dengan pemberian Kerakyatan Malaysia secara tidak sah kepada warga asing melalui kad pengenalan; namun pihak berkenaan tidak ada mengambil tindakan ke atas beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh pihak NGO, Parti-Parti Politik dan individu bersabit dengan tuduhan-tuduhan terhadap orang-orang tertentu yang terbabit dalam sindiket projek kad pengenalan seperti yang tercatit dalam buku terbitan Mutalib MD, bertajuk 007- Lelaki Malaysia Terakhir.

Tuan Speaker,

Merujuk kepada buku 007- Lelaki Malaysia Terakhir, muka surat 143, Abdul Mutalib Bin Mohamed Daud telah membuat affidavit saksi tentang kebenaran berlakunya kegiatan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan songsang kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) serta pemberian taraf Penduduk Tetap kepada orang Filipina. Beliau telah dijemput dalam Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat mengenai Integriti, Parlimen Malaysia pada 9 Februari 2007.

Dalam buku tersebut terdapat Akuan Berkanun oleh seorang bekas tahanan ISA, Akob Damsah @ Yakub Damsah bekas pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Sabah di mana dalam temu ramahnya telah menyatakan nama-nama orang kenamaan.

Tuan Speaker,

Menurut kenyataan dalam buku tersebut juga terdapat lagi seorang bekas tahanan ISA, Hj. Jabar Khan @ Yaser Arafat bin Napi telah mengaitkan orang kenamaan yang ada terlibat dalam menguruskan pengundi hantu semasa pilihanraya umum yang lalu.

Oleh kerana nama-nama orang kenamaan ini dikaitkan maka ianya menjadi kes ‘berprofil tinggi’ yang wajar disiasat demi keadilan kepada semua pihak untuk membela diri. Pertuduhan ini adalah amat serius yang bersangkut paut dengan penggunaan orang asing khususnya pendatang tanpa izin yang jelas mengancam keselamatan dan kedaulatan negara dalam jangka masa panjang.

Tuan Speaker,

Rakyat Sabah khasnya dan Rakyat Malaysia amnya telah dikejutkan dengan tersiarnya berita dalam akhbar bahawa seorang ‘Rakyat Malaysia’ bernama Datu Mohd. Akjan Datu Ali Mohammad telah mengangkat sumpah kesetiaannya setelah ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang ke-33 dengan gelaran Paduka Mahasari Maulana Al-Sultan Sharif Ul-Hashim II, Dr. Sharif Mohammad Akjan Muizzuddin Waadaulah Ibni Al-Mahrum Sultan Ali Mohammad Pelalun pada 2 Februari 2011 di Likas, Sabah dengan disaksikan oleh sekumpulan individu lebih kurang 60 orang termasuk Pegawai Kanan Kesultanan Sulu dari Provinsi Sulu di Selatan Filipina.

Sebagai mana yang diketahui bahawa beliau adalah bekas tahanan ISA atas tuduhan pemalsuan kerakyatan dan pengeluaran kad pengenalan. Beliau juga adalah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia bahagian Sabah (PEKIDA) dan juga sebagai Ketua Hal-Ehwal Antarabangsa PEKIDA.

Dengan itu, kerajaan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara ini bahawa ‘Rakyat Malaysia’ yang diragui ini yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu yang ke-33 walhal kepulauan Sulu adalah dalam Negara Filipina manakala pertabalan diadakan dalam Negara Malaysia yang berdaulat.

Tuan Speaker,

Oleh kerana perkara ini adalah sangat penting, orang ramai memandangkan ianya menjejaskan hubungan kedua-dua negara di antara Malaysia dengan Filipina; maka kes ini hendaklah disegerakan atas sebab Keselamatan Negara kita.

Dengan dakwaan Datu Mohd. Akjan bahawa kerajaannya mempunyai ramai rakyat terutamanya yang berketurunan Tausug, bukan sahaja di Provinsi Sulu tetapi tetapi juga di sebahagian Pulau Borneo, termasuk sebahagian Sabah. Ini dengan sendirinya menimbulkan tuntutan haknya ke atas Negeri Sabah.

Tuan Speaker,

Tujuan saya untuk membangkitkan perkara ini adalah untuk kepentingan awam, demi keadilan kepada semua pihak, demi martabat dan maruah rakyat Sabah dan demi mempertahankan Kedaulatan Negara. Maka adalah wajar bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dan menyelesaikan masalah ini sebab ia bukan sahaja menjadi masalah negeri Sabah tetapi ia adalah masalah nasional dan ia harus ditangani secara serius oleh pihak kerajaan Persekutuan.

Adalah menjadi tanda tanya mengapa kerajaan Persekutuan tidak mahu atau enggan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja setelah diminta oleh berbagai pihak. SAPP juga telah mengadakan kempen tanda tangan untuk RCI dan sebuah memorandum juga telah diserahkan kepada Perdana Menteri dengan tanda tangan rakyat Sabah yang melebihi 50,000 orang.

Adalah diharapkan kerajaan negeri juga mengambil inisiatif untuk meminta kerajaan Persekutuan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja dapat diwujudkan segera.

Sekian dan terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog